NEGARA

4 pengarah didakwa kutip deposit

4 pengarah didakwa kutip deposit


HAZLAN (kiri) dan M. Bakri diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dituduh menerima deposit haram semalam.


KOTA BHARU - Dua syarikat pelaburan, penaung dan empat pengarah dua syarikat itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap pertuduhan menerima deposit berjumlah RM37.08 juta tanpa lesen yang sah.

Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd., yang beralamat di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, di sini dituduh menerima deposit RM34.08 juta daripada 1,451 pelabur di antara 13 September 2006 hingga 7 Jun 2007.

Business Time Dina Sdn. Bhd. yang beralamat di Wisma Harun Mat Saat, Lot 4442-4445, Jalan Padang Tembak, Kampung Beris Panchor, Pengkalan Chepa pula dituduh menerima pelaburan berjumlah RM3 juta daripada enam syarikat di antara 4 Januari hingga 26 Mac 2008.

Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd. diwakili peguam Mohd. Noor Abd. Hamid dan Business Time Dina Sdn. Bhd. yang diwakili peguam Tajuddin Abdullah mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penaung kedua-dua syarikat berkenaan, Harun Mat Saat, 42, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu membantu menguruskan Syarikat Business Time Dina Sdn. Bhd., yang telah menerima deposit daripada beberapa syarikat tanpa lesen yang sah di antara 4 Januari hingga 26 Mac 2008.

Dia juga dituduh membantu dalam pengurusan Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd., yang telah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah antara 13 September 2006 hingga 7 Jun 2007.

Dua pengarah Syarikat Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd., M Bakri Kamaruddin, 47, dan Zainal Md. Yusof, 44, mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah manakala dua pengarah Syarikat Business Time Dina Sdn. Bhd., Hasri Mohd. Noor, 38, dan Hazlan Abd. Hamid, 36, juga mengaku tidak bersalah menerima deposit daripada beberapa syarikat tanpa lesen yang sah bagi tempoh yang sama.

Process time in ms: 32