KESIHATAN

BAIK BURUK

BAIK BURUK


RUANGAN BAIK BURUK pada minggu ini membawakan kepada pembaca mengenai kebaikan ginkgo untuk otak dan bagaimana produk kosmetik boleh menjejaskan kepada kesihatan.




GINKGO UNTUK OTAK

SUMBER alam semula jadi ini sudah diketahui membantu dalam rawatan pesakit yang mengalami kehilangan memori akibat usia tua dan juga penyakit Alzheimer. Ekstrak daun ginkgo biloba seperti yang banyak terkanding dalam produk-produk kesihatan berupaya untuk meningkatkan fungsi kognitif di kalangan warga tua.




Ia juga bermanfaat untuk mengurangkan kesakitan sindrom Reynaud, meredakan simptom vertigo, merawat glaukoma tekanan dan juga sindrom prahaid.

Ekstrak ginkgo biloba yang digunakan dalam ujian klinikal mengandungi dua kumpulan fitokimia iaitu flavonol glikosid (melawan aktiviti antioksida) dan terpene laktone (memberi kesan pencairan darah). Unsur bilobalide, salah satu daripada pecahan terpene laktone juga berfungsi untuk mengaktifkan neuron otak dan ini bagus dalam membantu pembelajaran dan menguatkan ingatan.

Walau bagaimanapun, ekstrak ini mahal harganya dalam dunia perubatan. Ada sesetengah syarikat pengeluaran makanan tambahan terpaksa mengurangkan kandungan ginkgo biloba untuk menjimatkan kos. Lebih teruk, produk mereka mengandungi ekstrak ginkgo biloba yang kurang berbanding yang tertera di label. Oleh itu, pastikan anda memilih jenama yang dipercayai.




ANCAMAN PRODUK KOSMETIK

BARANGAN solek dan penjagaan tubuh sudah maklum mempunyai kesan sampingan tertentu seperti alergi, kecacatan kelahiran, malah kanser. Dari sudut perubatan, tubuh manusia boleh menyerap apa sahaja yang disapu pada kulit dalam jumlah kandungan tertentu.

Tidak mustahil kandungan toksin juga mudah diserap dan ini meninggalkan kesan buruk seperti gangguan sistem imunisasi, gangguan neurologi, penghadaman, hormon yang tidak seimbang, obesiti dan pelbagai masalah kesihatan lain.




Apabila bahan kimia digunakan dalam kosmetik, risikonya tetap ada walaupun unsur pencemaran itu sangat sukar dikesan dengan ujian biasa. Kebanyakan bahan kimia dalam produk penjagaan tubuh mudah diserap kulit. ada di antaranya menunjukkan kesan serapan yang pantas sejurus disapu pada bibir atau tangan.

Banyak syarikat pengeluar produk menggunakan teknologi nanopartikel untuk membantu mempercepatkan kesan serapan. Tidak hairanlah mengapa ada kajian yang menunjukkan penemuan kandungan kosmetik dalam tisu manusia, unsur plastik industri (phtalate) dalam air kencing dan juga komponen minyak wangi seperti xylena dalam lemak badan.

Sementara undang-undang penggunaan bahan kimia diperhalusi dan dikuatkuasa, adakah anda yakin produk yang digunakan sekarang ini bebas ancaman seperti itu?

Process time in ms: 16