VARIA

Menguji kepantasan jari

Menguji kepantasan jari


JUARA Rubik's Cube Terbuka Malaysia bakal bersaing di Kejohanan Rubik's Cube Asia di Hong Kong.


BAYANGKAN anda sedang memutar dan memusingkan kiub Rubik dengan pantas untuk menjadikan kesemua enam warnanya tersusun dengan tepat dan sama dalam masa yang singkat.

Mungkin ramai berpendapat, ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan tetapi tidak bagi jaguh kiub Rubik. Ini kerana mereka menganggap cabaran dinilai dari sudut ketelitian dan kesempurnaan. Inilah senario yang berlaku semasa Kejohanan Rubik's Cube Terbuka Malaysia di gedung Toys 'R' Us, Subang Jaya. Kebanyakan pengunjung dan penonton melahirkan rasa teruja dan memuji daya kreativiti dan kepantasan minda para peserta yang berbakat dalam pertandingan tersebut.

Secara amnya, Rubik's Cube Terbuka Malaysia merupakan acara yang dianjurkan oleh gedung permainan terkemuka Toys 'R' Us bagi menggalakkan golongan remaja melakukan aktiviti dalam permainan dan teka silang kata yang merangsang minda dan pembelajaran pada peringkat awal.

Pemenang Kejohanan Malaysia berpeluang memasuki peringkat akhir Kejohanan Asia yang diadakan di Hong Kong pada bulan ini.

Para peserta yang tiba seawal pagi, hadir dengan penuh keceriaan dan sempat melakukan beberapa latihan blok segi empat 3 x 3 x 3 masing-masing. Jari-jemari mereka begitu lembut dan tangkas memutar kiub sehingga boleh mengelirukan pandangan mata individu yang melihat keletah mereka.




Namun begitu, bukan mudah untuk berjaya ke tahap ini, tanpa sebarang latihan dan persedian rapi. Kebanyakan peserta menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk berlatih dan lebih rela menghabiskan masa bersama kiub Rubik berbanding menonton televisyen.

Tidak dinafikan, segelintir peserta berasa gementar dan gelisah tetapi sudah bersiap sedia untuk 'bertempur' dalam permainan yang banyak menguji kehebatan, kemahiran, kelajuan dan tumpuan minda. Setiap peserta diberikan masa 15 saat untuk menilai kiub Rubik sebelum memulakan pertandingan.

Chong Theng Yee, 18, adalah pelajar Universiti Multimedia, Cyberjaya. Beliau berjaya memukau penonton dengan pergerakan jari yang sungguh menakjubkan dan daya pemikiran yang sungguh pantas. Dalam permainan ini, Chong hanya memerlukan masa selama 19 saat untuk menyeesaikan teka-teki kiub Rubik.




Dengan markah purata 25.54 saat selepas lima pusingan dan mengungguli masa terpantas iaitu 19 saat, Chong dinobatkan sebagai juara Rubik's Cube Terbuka Malaysia. Kemenangan ini melayakkannya bertanding di peringkat akhir Kejohanan Rubik's Cube Asia di Hong Kong.

"Gembira kerana memenangi pertandingan ini dan tidak sabar ke Hong Kong untuk meneruskan perjuangan di kejohanan Asia. Saya memang gemar bermain kiub Rubik dan banyak meluangkan masa menguasai seni menyelesaikan teka-teki tersebut.

"Permainan ini menguji fokus mental dan mendorong anda menumpukan perhatian bagi mendapatkan kesemua enam warna yang sama," ujarnya yang gembira dengan kemenangan yang diperoleh.

Sementara itu, tempat kedua digondol oleh Gooi Ying Chyi dengan markah purata 30.18 saat manakala tempat ketiga, dirangkul Goh Choo Hee dengan markah purata 30.24 saat.

Dua lagi peserta yang berjaya menyelesaikan teka-teki tersebut dalam masa kurang 1 minit 40 saat dan layak ke peringkat akhir ialah Chee Tai Yuen dan Lai Thiam Sin.

Menurut Pengurus Negara Toys LiFung Malaysia Berhad, Carol Chua, Rubik's Cube merupakan teka-teki yang menyeronokkan dan direka untuk mencabar minda serta menawan imaginasi pemain dengan mekanisme yang tersendiri.

Tambah beliau: "Seperti permainan kanak-kanak berunsur pendidikan yang terdapat di gedung ini, kami berharap pertandingan Rubik's Cube dapat merangsang kecenderungan mental, mendorong tahap fokus dan menggalakkan remaja tekun berusaha untuk menyempurnakannya."

Process time in ms: 31