SUKAN
Aksi masih tidak konsisten

AKSI tidak konsisten yang dipamerkan skuad bola sepak negara kini mula menjadi tanda tanya selepas mereka tewas 1-4 kepada Myanmar pada peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Cabaran Grand Royal di Yangon kelmarin.
Biarpun kejohanan itu dianggap sebagai aksi pemanas badan sebelum kempen Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Bangkok, Disember depan, namun hakikat bahawa skuad bimbingan B. Sathianathan itu dibelasah oleh pasukan yang sama ketika mereka menang 4-0 dalam kempen Pestabola Merdeka edisi ke-40 Oktober lalu, sukar sekali untuk ditelan.
Ini sekali gus menimbulkan keraguan mengenai mentaliti sebenar pemain negara apabila menyertai sesuatu kejohanan di luar Kuala Lumpur biarpun ada sedikit peningkatan ketika kempen Pestabola Merdeka sebelum kalah kepada Vietnam pada perlawanan akhir baru-baru ini.
"Saya telah berbincang dengan pemain selepas perlawanan itu dan mereka kini sedar bahawa sesuatu kejohanan di luar negara adalah tidak sama seperti kejohanan di tempat sendiri," kata Sathia kepada Kosmo! semalam.
"Saya katakan kepada mereka bahawa sikap seperti ini tidak sepatutnya ada dalam diri seorang pemain bola sepak jika mahu mencipta kejayaan.
"Mereka perlu lebih disiplin dan sabar dalam setiap gerakan.
"Nasib baik kelemahan itu dikenal pasti pada kejohanan di Myanmar ini dan inilah antara tujuan utama saya mahu kita menyertai kejohanan ini sebelum Piala AFF nanti," ujarnya.
Menurut Sathia, kurangnya disiplin di kalangan pemainnya pada perlawanan kelmarin menjadi antara punca skuad negara tewas di hadapan lebih 30,000 peminat tuan rumah.
"Saya lihat kekuatan mental pemain kita sudah ada sedikit peningkatan. Mereka sudah boleh menyerap tekanan daripada peminat lawan ketika permainan itu berlangsung.
"Cuma saya sedikit kecewa kerana pemain kita tidak berdisiplin di atas padang. Ketika ketinggalan 1-2, mereka melakukan serangan dan lambat turun untuk bertahan.
"Mereka tidak ikut arahan dan terlalu ghairah mencari gol. Ini menyebabkan ruang di barisan belakang terbuka dan Myanmar mengambil kesempatan itu untuk menghukum kita. Bagaimanapun saya akan perbetulkan kelemahan ini pada perlawanan persahabatan dengan Singapura 29 November nanti," kata Sathia lagi.
Pada perlawanan kelmarin, kubu skuad negara dilihat agak longgar tanpa dua tonggak pertahanan, Mohd. Daudsu Jamaludin dan Irwan Fadhli Idrus yang masing-masing menjalani penggantungan dan juga mengalami kecederaan.
"Kita menurunkan S. Subramaniam dan Khairoonisam Sahabudin untuk menggantikan dua pertahanan utama (Daudsu dan Irwan).
"Jelas sekali kombinasi mereka ini masih belum serasi dan saya harap kecederaan Irwan akan cepat pulih sebelum perlawanan persahabatan dengan Singapura," kata Sathia.



Kafe kedai hardware
Teknologi Motion Capture di Aswara
Kebaikan anak dijaga kedua-dua ibu bapa

