FAMILI

Strategi anak makan sayur

Strategi anak makan sayur

Satu kelebihan kaedah Jessica adalah ‘menyembunyikan’ sayuran di dalam menu makanan anak dalam bentuk puri.


KEBANYAKAN kanak-kanak enggan mengambil sayur.


MENOLAK makanan bersayur atau sayuran adalah sebahagian daripada cabaran ibu bapa dalam menyediakan menu makanan si kecil.

Kerenah dan sikap cerewet anak dalam memilih makanan, ada ketikanya boleh membuatkan ibu bapa letih dan pening kepala. Di mana-mana sahaja di dunia misalnya Amerika Syarikat, ibu bapa juga terpaksa berdepan dengan isu yang sama.

Pelbagai kaedah dan ganjaran turut ditawarkan semata-mata untuk mendapatkan anak mengunyah bahan yang dinamakan sayuran ini. Tetapi, hasilnya masih kurang memuaskan.

Seperti juga kebanyakan ibu bapa lain, seorang ibu kepada tiga orang anak, Jessica Seinfeld percaya masalah ini boleh diatasi.

Jessica yang juga isteri kepada pelawak terkemuka, Jerry Seinfeld, turut berdepan dengan kemelut hidangan antisayuran dalam kalangan anak-anaknya sendiri.

Malah, kata Jessica, menjadi ibu sesungguhnya satu peluang untuk mencabar keupayaan diri dari semasa ke semasa.

Hasil daripada itu, maka berputiklah rahsia penyediaan hidangan yang enak dan bernutrisi untuk anak-anaknya menerusi penghasilan buku sulungnya, Deceptively Delicious.

Kejayaan ini menandakan berakhirnya masalah anak cerewet makan yang terlalu memeningkan kebanyakan ibu bapa.

Buku berbentuk himpunan resipi-resipi ringkas, mudah disediakan dan bernutrisi ini adalah hadiahnya untuk ibu-ibu sepertinya.

Dalam Deceptively Delicious, jalan bahasa, cara kerja, ilustrasi dan gambar-gambar menarik menambat hati si pembaca. Apatah lagi, resipi-resipi berwarna-warni yang pasti membuatkan anak atau si kecil anda kecur air liur.

Jessica memilih dan menggunakan bahan-bahan ringkas serta mudah disediakan. Malah, yang penting, sajian ini akan dimakan oleh si anak.

Bagaimana rupa resipinya? Satu kelebihan kaedah Jessica adalah dengan 'menyembunyikan' sayuran dalam menu makanan anak dalam bentuk puri. Atau dalam erti kata lain, sayuran yang telah dikisar halus dan dipadankan dengan warna makanan utama.

Bukankah dengan cara ini, anak sukar membezakan rasanya? Ini sekali gus menyebabkan si kecil tidak akan menolak makanan kegemaran biarpun sudah dicampurkan dengan puri sayuran?


MENDIDIK anak memakan sayur memerlukan strategi tersendiri.


Strategi bijak Jessica ini juga tercetus sewaktu memasak untuk anak-anaknya sendiri. Jadi, daripada ibu bapa berputus asa sepenuhnya dalam hal mendapatkan anak mengamalkan pemakanan sihat, buku ini seharusnya menjadi rujukan semua.

Antara menu menarik yang terkandung dalam buku setebal 204 muka surat itu termasuk spageti dan bebola daging, lagsana, mufin lemon beri biru serta kebab ayam aloha.

Dalam resipi roti pisang misalnya, puri cauliflower akan dimasukkan manakala spageti dan bebola daging pula, sekurang-kurangnya satu jenis puri ditambahkan.

Selain mengajar dan mengasah kemahiran anda menghasilkan puri, Jessica turut menasihatkan agar dapur dilengkapi peralatan asas memasak.

Mesin pemproses makanan mini, jam dapur dan pengukus nasi adalah antara peralatan yang dimaksudkannya. Cawan pengukur juga diperlukan untuk mendapatkan ukuran tepat untuk puri dan beg-beg plastik bagi penyimpanan puri.

Process time in ms: 47