VARIA

Buah tangan warisan

Buah tangan warisan

Tradisi memberi bunga telur semasa majlis persandingan masih kekal sehingga hari ini. Namun kini, ia tidak terhad kepada telur berkulit biasa, sebaliknya anda boleh memilih sama ada telur pindang atau telur merah.


TELUR pindang semakin popular di seluruh negara.


PERUBAHAN zaman menyebabkan masyarakat meminggirkan banyak daripada amalan budaya tradisi. Namun begitu, ada amalan yang terus kekal seperti memberi bunga telur kepada tetamu pada majlis perkahwinan orang Melayu.

Bunga telur diberikan sebagai menghargai kedatangan tetamu ke majlis perkahwinan. Bagaimanapun sekarang ini, semakin ramai yang menggantikan telur rebus biasa dengan telur pindang yang pada satu ketika dahulu terhad di Johor sahaja atau telur merah yang asal usulnya daripada adat resam Cina.

Siti Aishah Md Kosim, 25, dari Perusahaan Telur Pindang Warisan (ELPIN) berkata, telur pindang yang merupakan makanan tradisional Johor mempunyai rasa dan cara pembuatan yang unik.

"Keunikan telur pindang terletak pada warna dan rasanya. Warna telur pindang yang gelap membuatkannya berbeza daripada telur rebus biasa.

"Rasa yang unik pula adalah hasil daripada pelbagai herba dan ramuan yang digunakan semasa direneh bersama telur," jelas Siti Aishah.

Siti Aishah menambah: "Walaupun berasal dari Johor, namun kini telur pindang semakin kerap dijadikan pemberian kepada para tetamu pada majlis perkahwinan, tanpa mengira negeri mahupun kaum.

"Kalau pada zaman dahulu, kebanyakan tetamu tidak mahu pulang sebelum diberikan telur pindang, saya percaya pada zaman sekarang, peminat telur pindang juga masih ternanti-nantikannya apabila menghadiri majlis perkahwinan," katanya.

Menurut Siti Aishah, menghasilkan telur pindang bukanlah suatu kerja yang mudah kerana ia memakan masa yang lama. Tambahan pula, prosesnya bermula dari peringkat pemilihan telur sehinggalah selesai direbus. Kesemuanya harus dilakukan dengan penuh teliti supaya rasa dan warna telur pindang kekal seperti resipi asal.


AMIDAH sibuk menyediakan telur merah yang ditempah pelanggannya.


Pengasas Perusahaan Telur Pindang Warisan, Jalil Nasir ketika dihubungi menjelaskan langkah-langkah untuk menghasilkan Telur Pindang Warisan.

"Pertama, telur-telur yang segar dan baik sahaja yang akan dipilih dan diambil dari ladang. Terlebih dahulu, kami juga akan memastikan agar ayam yang diternak di ladang diberi makanan berkualiti.

"Kemudian, telur-telur itu akan dicuci sebelum direbus bersama rempah ratus," jelasnya.

Menurut Jalil, sebarang kecuaian dalam proses pembuatan telur pindang mungkin mengundang masalah.

Lebih 10 jenis ramuan rempah dan herba digunakan dengan cara direbus bersama telur untuk menghasilkan telur yang berwarna gelap dan mempunyai rasa eksotik. Antara ramuannya ialah daun manggis, daun senduduk, daun jambu batu, halia, lengkuas, kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih, buah pelaga dan serai.

"Gabungan daun senduduk, daun jambu batu dan daun manggis inilah yang menyebabkan telur pindang berwarna gelap," kata Jalil.

"Sementara lengkuas, halia dan serai pula memberikan rasa yang berbeza daripada telur rebus biasa," katanya sambil menegaskan bahawa tiada sebarang pengawet atau perasa lain yang ditambah pada produknya itu.

Selepas tiga hari, proses merebus akan selesai dan telur akan dipindahkan untuk dibungkus dan diedarkan.

Kesungguhan dan penat lelah Jalil kini berbayar apabila perusahaannya mampu menghasilkan sehingga 25,000 biji telur pindang untuk diedarkan ke lebih 385 kios, stesen-stesen minyak, gerai dan warung serta restoran di seluruh Lembah Klang.

Jalil berkata, perusahaannya ini bukan sekadar untuk memenuhi minat dan mencari keuntungan semata-mata, namun ia juga tertumpu kepada usaha mengekalkan telur pindang sebagai makanan dan buah tangan warisan.

"Kalau Jepun terkenal dengan sushi, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia juga boleh terkenal kerana telur pindang," seloroh Jalil. Beliau juga yakin bahawa telur boleh dijadikan makanan kesihatan pada masa akan datang.

Telur merah pula, yang sering dikaitkan dengan tradisi masyarakat Cina, tidak kurang popularnya dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini.

Pemberiannya pada majlis perkahwinan mahupun majlis keraian lain sering disambut baik dan disukai tetamu. Bagi Amidah Ahmad, 62, yang menjalankan perniagaan membuat telur merah secara kecil-kecilan di Melaka, telur merah sememangnya istimewa mengikut tradisi dan kepercayaan masyarakat Cina.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina tradisional, telur adalah satu simbol kesuburan. Oleh sebab itu, pemberian telur merah seringkali dapat dilihat pada majlis perkahwinan atau menyambut kelahiran bayi.


RAMUAN pelbagai herba untuk telur pindang.


Pada majlis menyambut kelahiran bayi, telur rebus yang diwarnakan dengan pewarna merah akan diberikan kepada saudara mara terdekat dan sebagai balasan, hadiah berupa pakaian bayi atau makanan tambahan seperti pati ayam akan diberikan kepada ibu bayi.

Menurut Amidah, walaupun proses pembuatan telur merah tidaklah serumit penghasilan telur pindang, namun ini tidak bermakna warisan tradisi itu harus dibiarkan begitu sahaja.

"Walaupun hanya dicelup dalam pewarna merah, kepercayaan masyarakat Cina terhadap warna merah sebagai lambang kemakmuran dan kebahagiaan itulah yang menjadi sebab mengapa telur merah masih ada sehingga hari ini," jelas Amidah yang juga mengakui warna merah memang menarik mata sesiapa yang memandang.

Walaupun bergelar usahawan kecil dan hanya dibantu kaum keluarga, Amidah kini mampu menghasilkan sehingga 5,000 biji telur untuk satu-satu tempahan. - Bernama

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15