RUANG

Tiga teras Khadijah

Tiga teras Khadijah

Apresiasi muzik, kulinari dan dekorasi. Semua cabang seni gaya hidup itu disatukan dalam sebuah restoran yang diusahakan seorang penghibur malar segar.




KEJIRANAN Seksyen 11, Petaling Jaya, Selangor adalah pilihan terbaik buat Khadijah Ibrahim merealisasi impiannya yang satu ini. Sudah lama diketahui umum, ia bukan berkaitan dunia seni suara, tetapi bisnes kulinari.

Selepas menimba pengalaman terbaik mengusahakan sebuah restoran di New Zealand suatu masa dahulu, dia belum puas untuk berkongsi rahsia keenakan masakan dapur keluarganya dengan orang ramai.


PENGABADIAN detik istimewa seorang penghibur berbakat boleh dilihat di sebalik letakan pemegang lilin klasik ini.


Lanjutan pelbagai ulasan menarik dari mulut ke mulut dan di alam siber, EKSTRA berkunjung ke restoran ini untuk melihat sendiri hasil ubah elok sebuah premis yang telah wujud sejak lebih empat dekad lalu.

“Banyak kerja-kerja ubah elok perlu dibuat memandangkan ia merupakan sebuah bangunan lama. Namun, antara ciri yang saya pentingkan adalah ruang gerak yang luas dan selesa. Sebab itulah, konsep hiasan dan pemilihan perabot juga penting,” kata pemilik restoran yang baru beroperasi selama lima bulan itu.


RUANGAN yang dirias seumpama sebuah ruang tamu ini adalah sambutan yang diberikan kepada tetamu restoran sejurus melangkah masuk ke ruang terbuka Khadijah's Kitchen.


Menurut Khadijah, proses merancang tata rias dan konsep restoran tidak mengambil masa yang lama, cuma fasa ubah elok sahaja pada mulanya berhadapan dengan beberapa cabaran teknikal seperti bekalan kuasa elektrik.

Bagi wanita ini yang masih mengubat kerinduan ramai melalui alunan suara lunaknya, minat terhadap perincian hiasan dalaman adalah hasil ikutan dan didikan ibunya.


ANTARA barangan cenderamata yang dijadikan hiasan istimewa di tiang restoran.


“Saya percaya diri kita adalah hasil didikan ibu bapa sejak kecil. Saya meminati muzik kerana bapa saya. Hal-hal mengemas dan menghias rumah pula adalah kegemaran ibu. Maka saya sedikit-sebanyak menerima ‘didikan’ itu, sama seperti minat saya terhadap kemahiran memasak,” ujar Khadijah.

Penghayatan dekorasi di Khadijah’s Kitchen bermula di laluan masuk yang seumpama tangga batu rumah tradisional Melaka. Menjemput langkah seterusnya, idea dekorasi diperinci pada bahagian letakan sofa upholsteri di sebuah ruang terbuka.


TAMPIL ringkas namun masih mengekalkan cita rasa hiasan dalaman pemiliknya.


Bagaikan sebuah aturan di ruang tamu kediaman, penampilannya bertambah cemerlang apabila disertai tumbuhan hidup dan ornamen hiasan ala Inggeris.

“Apa yang anda lihat di restoran ini, sama seperti yang ada di rumah saya sendiri. Memang saya menyukai perabot jati kerana keistimewaannya yang dihasilkan Lombok, Indonesia. Aksesori hiasan meja dan dekorasi tambahan di sini pun banyak diambil daripada koleksi peribadi di rumah,” terangnya yang ramah mempelawa masuk ke ruang berhawa dingin.


KESAN organik yang mewah dijelmakan melalui pemilihan perabot jati bermutu.


Sambil bersandar akibat pukulan gulai asam pedas dan daging masak lemak cili padi yang lazat, pandangan boleh dialihkan sebentar pada persekitaran premis. Selain menghargai kesan seni pada bekas lilin hiasan di atas meja dan seri daun sirih puteri di sudut strategik, olahan rias dinding berjaya menangkap perhatian mata.

Warna tembok hijau zaitun itu tidak dibiar polos tanpa gantungan imej-imej hitam putih yang diabadikan dalam siri bingkai gambar. Ia adalah wajah-wajah artis tersohor negara seperti Sheila Majid, Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Anuar Zain dan ramai lagi. Aksi tersebut dirakam ketika masing-masing dalam persembahan langsung.

Gambar-gambar itu boleh membantu mengisi topik perbualan kalau anda kelu melontar kata ketika menjamu selera bersama si dia tersayang dalam pertemuan romantis!


MAJLIS keraian pasti lebih meriah apabila kedatangan berkumpulan ditempatkan di sudut terbuka dengan aturan meja makan seperti ini.





Daripada apa yang dilihat melalui kunjungan EKSTRA ke Khadijah’s Kitchen, lokasi ini sudah pun menjadi pilihan kegemaran pelbagai strata sosial. Ada anak muda tampil berpasangan, anggota keluarga yang berkumpul mengerat hubungan hinggalah kepada kumpulan korporat yang pulang dari agenda pejabat.

“Selain daripada muzik, bukankah makanan merupakan satu wadah tarikan memanggil orang ramai berhimpun dan menghabiskan waktu kualiti bersama-sama?” Ujar Khadijah yang tidak akan melepaskan peluang beramah mesra dengan pelanggannya jika tidak terikat dengan mana-mana jadual persembahan.

Jelas sekali kombinasi minat tiga teras di Khadijah’s Kitchen, telah menjadi kunci penting untuk membawa restoran ini ke haluan betul bagi sebuah bisnes kulinari yang sukses dan bergaya.

Pendek kata, ikon dunia seni suara ini berniaga kerana kesungguhan, memasak kerana cinta dan menghias kerana mahu memastikan tetamunya tersanjung dan selesa. Di restoran kesayangannya ini, Khadijah Ibrahim meraikan seni menjamu selera dan terus mesra mengalu-alukan kunjungan buat kali yang berikutnya.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31