HIBURAN

Anugerah Skrin mencari jaguh

Anugerah Skrin mencari jaguh


ELEMEN hiburan yang bakal dipersembahkan oleh artis popular akan memberi lebih kehebatan kepada Anugerah Skrin 2008.


UMUM mengetahui matlamat utama Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008) sejak kali pertama diadakan adalah untuk memartabatkan industri drama tempatan dan tahun ini, sudah pastinya akan menjanjikan satu persaingan yang hebat bagi drama-drama tempatan untuk dibawa ke satu aras yang lebih tinggi.

Bakal disiarkan secara terus-menerus melalui TV3 pada 7 November ini pukul 9 malam dari Dewan Merdeka, PWTC, sememangnya merupakan majlis yang dinanti-nantikan oleh seluruh penggiat seni dan lebih bermakna dengan tema ASK 2008 iaitu berlian.

Sudah pasti umum juga ingin tahu kriteria penjurian drama, filem, penerbitan dalaman pada tahun ini yang mungkin berdasarkan ciri-ciri yang telah ditetapkan seperti sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin memberitahu, tiada kelainan kriteria yang dipilih bagi pencalonan-pencalonan lima terbaik.

Namun, ia dilihat berdasarkan plot dan garapan skrip, kekuatan dialog, bahasa dan gaya malah penafsiran dan penghayatan watak.

"Selain itu, pembawaan dan peranan pelbagai watak turut memainkan peranan penting untuk terpilih. Tidak terlepas juga aspek pengarahan dan lakonan, watak dan kesan lakonan.

"Bagi aspek videografi dan penyuntingan teknik visual juga dipandang berat seperti bunyi, penata cahaya dan kesan khas. Sudah pasti kreativiti lakonan yang dibawa oleh pelakon dengan keberkesanan dan konsistensi dalam lakonan," katanya pada sidang media baru-baru ini.

Tambahnya lagi, senarai lima terbaik bagi setiap kategori hanya akan diumumkan pada malam berkenaan manakala senarai juri juga dirahsiakan sehinggalah keputusan diumumkan.

ASK 2008 bakal mempertandingkan 22 kategori berbanding tahun lalu sebanyak 20 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman.


PERTAMA kali bergandingan, Adlin Aman Ramli dan Nurul Syuhada mencari keserasian.


Apa yang menariknya pada tahun ini, menyaksikan dua lagi penambahan kategori diperkenalkan bagi kategori filem iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wamita Terbaik.

"Calon-calon yang dipertandingkan untuk 22 kategori terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2007 sehingga 30 Jun 2008.

"Selain itu, penilaian juga dibuat berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih," jelasnya lagi.

Saban tahun ASK tidak pernah sunyi dengan persembahan hebat daripada selebriti terkenal yang tidak ketinggalan memeriahkan malam gemilang ini.




Kali ini keistimewaan ditonjolkan apabila dengan kemunculan istimewa pelakon Ery Putra, Ady Putra, Emelda Rosmila dan Faradhiya yang pertama kali digandingkan bersama akan menggegarkan pentas dengan menyampaikan lagu medley sambil berdansa.

Selain itu, antara artis lain yang terlibat dalam ASK 2008 iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Noryn Aziz dan ramai lagi.

Pada malam tersebut, selain acara anugerah, penonton di rumah juga dapat menyaksikan acara karpet merah yang akan disiarkan secara langsung pada pukul 7.30 malam.

Gandingan penyampai

Gandingan mantap pertama kali pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada bersama Adlin Aman Ramli yang diberi tanggungjawab besar untuk memeriahkan malam berprestij Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008).

Mereka dipilih sebagai pengacara pada malam yang bertemakan berlian, menyaksikan percantuman pengacara yang lebih serius berganding bahu bersama Adlin yang mungkin seorang pengacara yang dikenali bersikap spontan lawaknya.

Namun, TV3 yakin pertukaran pengacara dari tahun ke tahun setiap kali berlangsungnya ASK dapat memberi suntikan baru dan majlis yang dirai juga sentiasa diwarnai dengan sinaran yang berlainan.

"Kami percaya gandingan kedua-dua pengacara ini mampu 'menghidupkan' suasana majlis supaya lebih berseri-seri. Ini kerana faktor pemilihan pengacara adalah sangat penting dalan sesuatu majlis," jelas Datuk Amrin lagi.

Tambahnya lagi, peluang yang diberikan kepada pengacara yang layak itu sebenarnya menjadikan ia sebagai salah satu platform untuk memperkenalkan ataupun mengetengahkan bakat masing-masing.

"Kita tidak memilih untuk menggunakan pengacara yang sama setiap tahun memandangkan ingin mencuba bakat baru yang ada dalam arena hiburan ini," jelasnya.

Perkara itu turut diakui oleh Nurul, yang berpendapat, kemunculannya sebagai pengacara pada ASK 2008 akan memberi suntikan segar kepada malam anugerah gilang-gemilang itu.

Mana tidaknya, Nurul yang pertama kali diberi peluang keemasan sebegini dalam masa yang sama merasakan dunia pengacaraan yang diceburinya dapat diperluaskan lagi.

"Perasaan takut sudah tentu ada sebab ini merupakan malam anugerah yang cukup besar tetapi ketika menjalani sesi latihan saya merasakan apa yang saya lalui kini tiada masalah kerana berada di samping Adlin cukup menyenangkan.

"Kami boleh bekerjasama antara satu sama lain," ujarnya.

Bagi Adlin pula yang lebih bersikap kelakar ketika di pentas dengan lawaknya bersahaja pula memberitahu, pada malam tersebut dia akan cuba melakukan terbaik dan tidak terlalu mengetengahkan unsur lawak.

"Segala yang berlaku pada majlis itu nanti sudah pasti diharapkan berjalan lancar tetapi persembahan pengacaraan akan disampaikan dengan lebih seimbang.

"Ada serius dan ada lawak, yang pastinya tidak keterlaluan," katanya yang tidak menolak digandingkan bersama Nurul Syuhada.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Varia!»

Sesal penderita HIV positif

SITI gemar berpeleseran di kelab malam sehingga dia akhirnya terjebak menjadi pelacur. Gambar hiasan

Process time in ms: 47