RENCANA UTAMA
Fantasi gelap Halim
‘Stephen King Malaysia’, Tunku Halim, 44, berkata lebih sukar untuknya menjadi penulis dengan label ‘kerabat diraja’.

Menjadi seorang putera raja bukan semudah yang kita sangka, terutamanya jika si putera memilih untuk menjadi seorang penulis.
"Tidak (mudah) sama sekali. Saya seorang penulis. Jika saya seorang ahli perniagaan, mungkin menjadi sebahagian daripada keluarga diraja dapat membantu.
"Seorang penulis memerlukan pembacanya untuk menemukan persamaan antara mereka dengan penulis.
"Saya sememangnya sentiasa berada searas dengan pembaca saya tetapi pembaca mungkin masih merasakan jurang kerana saya seorang kerabat diraja.
"Sesetengah orang mempunyai pandangan awal tentang maksud menjadi seorang Tunku. Sedangkan kebanyakan daripada kami menjalani hidup yang biasa saja," ujar penulis genre seram, Tunku Halim Tunku Abdullah, 44.
Menunjukkan komitmen yang tinggi menghasilkan 12 buku dalam pelbagai genre sejak 1991, anak bongsu Almarhum Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman ini bagaimanapun pada hari ini diiktiraf dalam genre seram.
Antara karyanya yang mencapai jualan yang membanggakan ialah Gravedigger's Kiss, 44 Cemetery Road, Vermillion Eye, Dark Demon Rising, dan The Rape of Martha Teoh. Terbaru, beliau tampil memperkenalkan Juriah's Song.
Hasil usaha berdikarinya, anak saudara kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar
Tuanku Abdul Rahman, ini kini sedang menikmati kehidupan impiannya di Hobart, Australia. Beliau baru saja mendiami rumah idamannya yang terletak di pinggir laut.
"Kedudukannya hanya lima minit perjalanan dari laut. Pada waktu malam, saya dapat mendengar bunyi ombak.
"Adakala bunyinya terlalu kuat dan mengganggu tidur isteri saya. Tetapi pada kebanyakan masa, ia lembut menyusup. Saya sukakan kesemua 'moodnya'.
"Saya dapat melihat orang mendayung kayak. Kapal layar dan cruise melintas di depan mata. Tidak kurang juga hidupan laut.
"Pagi ini saya ternampak anjing laut. Hitam dan aktif, ia meluncur dengan penuh bermaya dan harapan. Anak lelaki saya yang paling seronok. Kadang-kadang kami dapat melihat sekumpulan ikan lumba-lumba.
"Memang seronok kalau dapat terserempak dengan 'pengunjung' marin kami. Sekarang saya menunggu ikan paus untuk melawat kami sekali lagi," kongsinya.

Enak menjalani kehidupan yang digambarkannya sebagai tenang di samping isteri, Susan Best, 42, dan dua orang anak, Tunku Kristina, 12, dan Tunku Adam, 8, aktiviti sehariannya menyimpulkan 'kenormalan' hidupnya.
"Saya percaya kepada kehidupan sihat. Saya mengikuti kelas karate dua kali seminggu, melakukan sedikit senaman yoga setiap hari.
"Saya juga mengikuti kelas pilates," ujarnya yang pernah menetap di England sebelum ini.
![]() |
|
|
Gemar menonton siaran berita, Tunku Halim menghantar anak-anak ke sekolah setiap pagi sambil memainkan lagu dari era 70-an dan 80-an, yang pernah dinikmati sepanjang waktu beliau membesar.
"Ada masanya juga saya memasak untuk keluarga, bercucuk tanam. Dan pastinya saya gemar membaca dan membeli buku.
" Ketika berada di Malaysia, saya sering berkunjung ke kedai buku, pergi berenang dan makan dengan banyak. Banyak juga masa saya habiskan di KLCC," ceritanya panjang lebar.
Dek kerana akunya tentang 'cinta' kepada buku dan kedai buku, soalan ini kami ajukan: apa yang paling digemari tentang kedai buku?
"Kedai buku adalah sebuah tempat yang penuh magis. Setiap buku umpama sebuah pintu ke sebuah dunia yang lain.
"Ia boleh jadi fiksyen atau bukan fiksyen, tetapi setiap helaian di dalam buku itu dapat membawa anda jauh daripada diri anda sendiri dalam pemikiran anda.
"Sayangnya, banyak buku yang dibiarkan berhenti percetakannya," jawabnya.
Penulis yang pernah menerima jolokan Stephen King Malaysia ini mula serius menulis pada 1991 setelah berjaya menghabiskan tiga cerita pendek. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pernah merancang untuk menulis cerita seram.
"Apabila saya menulis sebuah cerita, lazimnya ia akan akhirnya mengandungi elemen supernatural.
"Ia tidak semestinya cerita seram, iaitu sebuah cerita yang menakutkan, tetapi pada kebanyakan masa ia akan bersifat begitu.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana ia boleh terjadi,!" kata bekas peguam ini.
Sama ada penulisan dibuat atas pengaruh pengalaman sendiri, jelas Tunku Halim, yang lebih mudah disapa Halim dalam kalangan teman-teman sealiran, tulisan beliau sebahagian besarnya bersandar kepada imaginasi.
"Ia adalah satu bentuk hiburan. Ia bukan tentang sesuatu yang benar-benar berlaku. Tetapi ada beberapa cerita yang saya tulis adalah benar. Ia datang daripada penceritaan teman-teman.
"Seperti roh dalam Juriah's Song, ia merupakan pengalaman sahabat saya dalam usia remajanya," kongsinya.
Kerabat diraja Negeri Sembilan ini, bagaimanapun, kurang gemar genre pilihannya diterjemah sebagai seram kerana, katanya, istilah itu terlalu ringkas.
"Istilah seram sering dikaitkan dengan darah dan luka yang teruk. Saya lebih seronok untuk menggunakan istilah yang digunakan Allan Edgar Poe, iaitu fantasi gelap," katanya yang menjelaskan penulisannya turut berbaur misteri.
Pendukung label glamour Prince of Darkness ini mengakui menulis novel adalah jauh lebih sukar berbanding cerita pendek atau bukan fiksyen.
"Ia (menulis novel) seperti satu perjalanan yang panjang melintas lautan dan gunung-ganang. Cerita pendek pula seperti berkunjung ke pusat membeli-belah. Bukanlah saya mengatakan membeli-belah satu kerja yang amat mudah," kata bapa kepada dua orang anak ini.
Biarpun lebih banyak menghabiskan masa dewasanya di luar negara, jangan disangka beliau sudah melupakan tanah airnya.
"Melaka boleh jadi sangat menakutkan. Ada banyak sejarah di sana. Ramai orang pernah terbunuh di situ.
"Satu lagi tempat yang 'berhantu' ialah Bukit Fraser, Pahang. Banglo-banglo di situ agak menyeramkan.
"Ada banyak tempat yang menyeramkan (sebenarnya), dan kebanyakannya terdiri daripada rumah-rumah lama atau bangunan yang dijadikan penjara sewaktu penjajahan Jepun.
"Ada juga sekadar jalan di pinggir hutan atau jalan kosong di bandar pada pukul 2 pagi."





Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak