RENCANA UTAMA

Yayasan Restu perkasa seni khat

Yayasan Restu perkasa seni khat


SETIAP bingkai khat al-Quran di pasaran dipantau ketat pihak berkuasa demi memastikan tiada penyelewengan oleh golongan tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan



SEBAGAI badan bukan kerajaan, Yayasan Restu Malaysia terpanggil untuk bersama-sama bertanggungjawab dalam menentukan kesahihan setiap khat dijual kepada orang ramai.

Namun menurut Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Yayasan Restu, Fauziah Pauzi, tanggungjawab mereka masih terhad kepada produk dikeluarkan oleh yayasan itu sahaja.

"Bagi yang diimport terutama dari China dan Indonesia, kami mengharapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau lebih terperinci sebab takut ada kekurangan," katanya.

Beliau yang dihubungi Kosmo! Ahad menambah, kepelbagaian khat yang ada di pasaran perlu diteliti kesahihannya dan di yayasan itu, mereka mempunyai sistem tersendiri.

"Pakar dan idea yang ada di yayasan ini adalah gabungan antara tempatan dan luar negara. Jadi, kita dapat mengenal pasti kekhilafan yang ada pada setiap khat," kata Fauziah.


BINGKAI mengandungi ayat suci al-Quran semakin mendapat permintaan baik daripada masyarakat Islam. - Gambar hiasan


Ditubuhkan pada tahun 1987, Yayasan Restu kini mempelbagaikan aktivitinya dalam memperkasakan al-Quran dan seni khat dengan mengadakan pelbagai kursus dan bengkel.

"Menerusi agenda sebegini, kami yakin khat yang dijual di pasaran akan lebih dipelihara mutunya di samping menggalakkan masyarakat Islam menghargai seni khat," ujarnya.

Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula, ketiadaan satu akta atau pengawalan khusus dalam menjaga kesucian ayat-ayat yang dicetak atau dinaskhahkan.

Ujar Pengarah Projek, Noor Nirwandy Mat Noordin, pengawalan yang terhad cuma pada naskhah al-Quran membuatkan khat bebas dijual tanpa sebarang pengawasan berteraskan undang-undang.

Tambahnya lagi, perkara ini secara tidak langsung cukup memalukan kerana kegagalan menjaga kesucian ayat-ayat al-Quran meskipun Malaysia adalah sebuah negara Islam.

"Malah sekiranya dibiarkan, bingkai khat sebegini akan bebas dijual oleh orang bukan Islam dan di mana-mana sahaja biarpun di premis yang diragui bersih dari segi syarak," tegasnya.

Justeru, sudah sampai masa pihak tertentu terutama Jakim, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna serta KDN bergabung bagi mempercepatkan kewujudan akta dalam membendung isu lama ini.




Waspada bingkai sesat - KDN pantau khat kaligrafi ayat al-Quran di pasaran

MUNGKIN anda tentu biasa melihat pelbagai jenis bingkai hiasan cantik yang mengandungi ayat al-Quran sama ada di masjid, pejabat, kedai, restoran malah digantung di dinding kediaman.

Usaha pihak tertentu yang mengeluarkan bingkai sedemikian mengajak umat Islam menginsafi kebesaran ajaran Islam di samping memahami keindahan seni kaligrafi Islam.


PAPARAN bingkai ayat al-Quran perlu mendapat kelulusan KDN. - Gambar hiasan


Namun di sebalik itu, mungkin tidak ramai sedar bingkai-bingkai indah terbabit dipantau rapi oleh pihak berkuasa. Bahkan ia perlu mendapat kebenaran sebelum dikeluarkan.

Jangan terkejut kerana ada bingkai kaligrafi itu terpaksa disita daripada pasaran kerana ayatnya didapati terkhilaf dari segi ejaan, baris atau huruf. Malah ada yang sebenarnya bukan ayat suci al-Quran!

Perkara ini didedahkan Ketua Unit Penguat Kuasa Bahagian Kawalan Penerbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Zailani Hashim kepada Kosmo! Ahad di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.




Setiap bingkai yang diedarkan di negara ini perlu melalui pelbagai tapisan ketat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (APTQ).

“Malangnya tidak ramai tahu, bingkai hiasan ini perlu ditapis dan diluluskan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN sebelum boleh dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Proses penapisannya sama seperti naskhah al-Quran malah bingkai itu setelah lulus akan diberi pelekat kebenaran dengan rujukan nombor APTQ yang perlu ditampalkan di bahagian tertentu.

Untuk kerja penyaringan, pelbagai agensi penguat kuasa terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti setiap bingkai yang mengandungi unsur Islam.

Bayangkan, bingkai al-Quran dari Arab Saudi pun ditapis kerana di bawah APTQ, Malaysia cuma membenarkan mushaf tertentu untuk mengelak terpesong daripada ajaran Islam.

Zailani bagaimanapun menambah, masyarakat boleh memainkan peranan dengan membantu KDN jika mendapati ada bingkai hiasan sedemikian di pasaran yang dicurigai.

“Adakalanya kita terlepas pandang kerana jumlah penguat kuasa KDN agak terhad. Kerjasama orang ramai amat perlu dari segi maklumat untuk tindakan susulan dibuat,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berharap pengimport, pengedar atau peniaga bingkai terbabit membuat semakan dengan KDN untuk mendapatkan kesahihan ayat dipaparkan pada produk itu.

“Biarlah rugi sedikit daripada sengaja menjual bingkai yang didapati salah ayat sehingga boleh menjejaskan akidah umat Islam kerana mahu kejar keuntungan dunia,” tegas Zailani.

Rencana Utama!»

Kehamilan berakhir dengan pengguguran

KLINIK swasta di Hanoi menyediakan perkhidmatan menggugurkan bayi secara terbuka di premis mereka.

Pesona!»

Senaman tingkat stamina kanak-kanak

Persekitaran, susun atur dan peralatan yang digunakan dalam gimnasium Zac & Zibbo direka khas untuk keselesaan kanak-kanak.

Varia!»

Jutawan bumiputera Phyto Science

NUR FAZLIN FAHSYA (dua dari kanan) bersama rangkaiannya, Mkrich88 menjana pendapatan menerusi produk keluaran Pyhto Science.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15