REKREASI

Cabaran Pulau Perhentian

Cabaran Pulau Perhentian

Keindahan panorama pokok kelapa yang dibayangi langit membiru dan pasir lembut di pesisiran pantai Pulau Perhentian bakal bertukar menjadi medan pertaruhan bagi kira-kira 180 pasangan peserta Perhentian Island Challenge 2008.


TERDAPAT dua kategori dipertandingkan iaitu elite dan novice yang mana kategori elite memerlukan peserta memiliki kemahiran berenang.


SEBUT sahaja Pulau Perhentian, pasti ramai yang sudah sedia maklum tentang keindahan pantai dan pasir putih yang terdampar di sekeliling pulau ini. Baik di kalangan masyarakat tempatan mahupun pelancong luar negara, Pulau Perhentian sememangnya menjadi destinasi pelancongan pilihan lebih-lebih lagi kepada mereka yang gemarkan aktiviti selam skuba.

Jika Pulau Redang dipromosikan dengan fiesta mencandat sotong, Pulau Kapas sinonim dengan pertandingan swimathon, Pulau Perhentian pula popular dengan acara triatlon ataupun lebih popular sebagai Perhentian Island Challenge (PIC).

Cabaran tahunan bersempena Tahun Melawat Terengganu 2008 ini, menjadi platform dalam menjenamakan pulau paling hujung di Terengganu ini bukan sahaja sebagai destinasi percutian seisi keluarga bahkan medan kembara sukan lasak unggul di rantau ini.

Keindahan panorama pokok kelapa yang dibayangi langit membiru dan pasir lembut di pesisiran pantai Pulau Perhentian bakal bertukar menjadi medan pertaruhan bagi kira-kira 180 pasangan peserta Perhentian Island Challenge 2008.

Pengarah Urusan PIC Adventures Sdn Bhd, Ken Cheah memberitahu cabaran yang diadakan buat kali kelima ini mendapat sambutan hebat apabila hampir 20 peratus penyertaan diterima daripada pasukan luar negara manakala peserta perlu mendaftar secara online bagi mengambil bahagian dalam pertandingan yang berlangsung mulai 17 sehingga 19 Oktober ini.

"Peserta cuma dikehendaki membayar wang pendaftaran sebanyak RM100 dan tambahan sebanyak RM50 bagi penyertaan yang diterima selepas tarikh tutup.

"Perhentian Island Challenge 2008 ini terbuka kepada dua kategori iaitu elite dan novice. Kategori elite terbuka pada pasukan lelaki dan pasukan campuran. Setiap pasukan terdiri daripada dua peserta dan mereka dibenarkan mengambil bahagian dalam satu atau kesemua daripada empat disiplin yang ditetapkan," katanya pada sidang media PIC di Yayasan selangor, baru-baru ini.

Menurut Cheah, kategori novice pula terbuka untuk peserta perseorangan lelaki, perempuan dan keluarga apabila konsep ini adalah lebih kepada perlumbaan santai.

"Disiplin yang disertai merangkumi acara berkayak yang merupakan satu daripada acara yang paling jauh apabila para peserta harus berkayak sejauh 12 kilometer. Acara berkayak ini disertai oleh dua orang peserta untuk setiap kayak manakala mereka harus bijak mengemudi dan mengawal pergerakan kayak supaya tidak tersesat haluan.

"Larian merentas hutan dan sukan air berhalangan antara aktiviti yang perlu diharungi oleh para peserta. Larian merentas hutan akan mengambil masa selama tiga jam sementara sukan air berhalangan pula melibatkan beberapa halangan seumpama jala kargo, ujian misteri, orientasi air, larian guni dan larian kelapa," jelasnya

Ujar Cheah lagi, barisan aktiviti sampingan turut diatur supaya cabaran tahunan ini lebih meriah dan memberi kegembiraan pada para peserta dan pelancongan yang berkunjung ke pulau tersebut.


BARISAN wakil pihak penaja bergambar kenangan pada sidang akhbar PIC 2008 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Dalam pada itu, Kosmo! sempat kongsi pengalaman persiapan bersama dua orang peserta muda yang bakal bertarung pada kejohanan Perhentian Island Challenge 2008.

Seorang remaja yang dikenali sebagai Choy Mun Thow, 14, memberitahu dia penuh yakin bahawa dapat merangkul hadiah utama yang terlepas tangan pada tahun lepas.

"Dari segi persiapan sebelum cabaran, saya telah membuat persiapan rapi dengan bantuan dan tunjuk ajar seorang jurulatih profesional bagi menghadapi cabaran kali ini. Setiap hari, sejurus selesai sekolah saya meluangkan masa kira-kira tujuh hingga lapan jam untuk melakukan pelbagai latihan kecergasan diri antaranya berkayak di Taman Tasik Titiwangsa dan membuat larian jarak jauh di sekeliling kawasan perumahan.

"Sesungguhnya, persiapan ini mencabar namun impian dan sokongan padu kaum keluarga serta rakan membuatkan saya untuk terus berjuang walaupun berhadapan saat-saat getir," ujar pelajar Sekolah Kebangsaan Dato Lokman, Kampung Pandan itu.

Sementara itu, Krishna Kumar, 27, peserta yang selalu menyertai acara larian di peringkat antarabangsa berkata, setelah muncul juara keseluruhan pada tahun 2005 bersama pasangannya Eugene Chan Wai Hong yang merupakan triatlon Malaysia, beliau tidak meletak noktah dan tetap meneruskan hasratnya untuk menyertai cabaran ini pada setiap tahun.

Krishna yang kali ini akan menyertai kategori novice membuat persiapan dengan gigih sehingga meluangkan masa selama 15 jam setiap hari untuk membuat pelbagai latihan lasak bagi menghadapi sukan lasak yang semakin mendapat penyertaan antarabangsa ini.

Hadiah bernilai RM50,000 bakal menanti peserta yang digelar juara Perhentian Island Challenge 2008.

Process time in ms: 16