HIBURAN

Filem <i>Kami</i> tak gagal - <i>2 minggu di pawagam raih RM1.4 juta</i>

Filem Kami tak gagal - 2 minggu di pawagam raih RM1.4 juta


KAMI berkisar tentang kehidupan remaja kota dan disasarkan untuk tontonan audiens di bandar-bandar.


DUA minggu filem Kami ditayangkan, ada yang berpendapat ia tidak berjaya di pasaran. Malah, Kami kelihatan agak 'sendu' daripada sudut promosi dibandingkan dengan sebuah lagi filem tempata yang ditayangkan sepanjang Syawal lalu di pawagam, Senario The Movie.

Ada yang berpendapat kononnya Kami yang diarahkan oleh Effendee Mazlan dan Fariza Azlina adalah filem kurang berkualiti yang menyebabkan ia 'gagal' di pasaran.

Mahu mendapatkan kepastian daripada pihak penerbitan filem ini, Kosmo! telah menghubungi Grand Brilliance Sdn. Bhd (GBSB), syarikat yang menerbitkan filem berkenaan bersama dengan Red Communication.

Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah awalnya agak terkejut dengan pandangan kosong yang diberikan kepada filem ini.




Bagi Ahmad Puad, Kami telah pun berjaya menarik minat golongan remaja sebaik saja ia ditayangkan pada 1 Syawal lalu.

"Siapa kata filem Kami gagal? Untuk kutipan filem ini sahaja hingga hari ini sudah mencecah RM 1.4 juta. Ia tidak gagal.

"Sasaran sebenar kami hanyalah RM 1.5 juta dan sasaran itu semakin dekat. Jadi tiada apa yang perlu dirisaukan. Jadi, kalau tunggu dalam beberapa hari lagi, rasanya sasaran kami tercapai," begitu tegas kata-katanya menangkis persepsi bahawa Kami gagal mendapat sambutan di pawagam.

Tambah Ahmad, dia tidak perlu risau langsung akan keuntungan yang akan dimiliki bagi pihak Grand Brilliance dan Red Communication kerana mereka sudah pun mendapat keuntungan yang besar daripada penjualan tiket setakat ini.

Apatah lagi dengan kos pembikinan yang tidak seberapa iaitu RM1.4 juta ditambah pula dengan tajaan yang diterima mereka, persoalan tentang kerugian tentunya dapat dielakkan.

"Filem ini lebih pada konsep dan budaya urban, ia untuk orang bandar. Barisan pelakon tak adalah terkenal sangat. Pengarahnya pun biasa-biasa saja. Kiranya, pencapaian filem Kami sudah baik buat kami sebagai penerbit. Ditambah pula kami mendapat tajaan daripada Hotlink. Kami tak rugi pun.

"Berbanding dengan filem Gol & Gincu yang hanya mendapat RM600,000, ia satu kemenangan +buat kami.

"Cuma pagi raya pertama dan kedua, saya akui, Kami belum lagi mendapat sambutan. Biasalah tu. Tapi untuk raya seterusnya dalam bulan Syawal, jumlah penonton Kami terus meningkat dari sehari ke sehari," ujarnya.

Jangan bandingkan dengan Senario

Selain itu, Ahmad turut meminta supaya filem Kami tidak dibandingkan dengan sebuah lagi filem yang sedang ditayang di pawagam pada musim perayaan lalu, Senario The Movie.


AHMAD PUAD ONAH


Filem arahan Ahmad Idham itu juga diterbitkan oleh GBSB dengan kerjasama Metrowealth International Group (MIG) dan dikhabarkan kini sudah berjaya mencatat jualan lebih RM4 juta dalam jangka waktu yang sama.

Kejayaan Senario The Movie tidak harus dikaitkan dengan jumlah kurangnya kutipan terhadap filem Kami.

Ini kerana Ahmad Puad merasakan dua filem itu mempunyai audiens yang tersendiri dan Senario The Movie juga punya strategi.

"Filem Kami mempunyai target yang kecil. Kami memang tak jangka pun untuk mendapat pulangan RM3 juta ataupun RM4 juta. Lagipun pihak kami pakai filem HD sahaja sewaktu pembikinan Kami kerana mahu jimat kos. Produksi pun tak rugi. Selain itu pihak kami sudah pun menjual filem ini kepada stesen televisyen dan membuat VCD untuk dijual.

"Lagi satu, jangan membandingkan filem Kami dengan Senario kerana filem itu mempunyai jangkaan audiens yang lebih besar iaitu seluruh keluarga akan menontonnya.

"Bagaimanapun, kami juga mempunyai keuntungan daripada filem Senario juga. Jadi, soal gagal, tidak laku ataupun rugi, langsung tak ada," tegasnya.

Itu hak mereka - Liyana Jasmay

Tatkala diajukan soalan mengenai kegagalan filem Kami meraih perhatian penonton, seorang pelakon filem berkenaan, Liyana Jasmay tidak cepat melatah.


BERISAN pelakon baru dan kurang ternama bukan alasan untuk penonton meminggirkan filem Kami di pawagam.


Baginya, setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza. Apatah lagi untuk menyalahkan orang yang berkata demikian. Bagi Liyana, itu adalah pendapat seseorang individu yang kurang peka tentang makna kejayaan yang sebenar-benarnya.

"Itu hak mereka untuk berkata filem Kami tak mendapat tempat di pawagam, walaupun realiti disebaliknya. Saya tak menganggap itu sebuah penghinaan ataupun dengki. Mungkin mereka tidak bermaksud untuk mengata, ataupun mungkin mereka sememangnya tidak suka dengan filem ini.

"Perlu ingat, tak semua orang suka dengan apa yang kita suka. Jadi terima sajalah. Lagipun, bagi saya bagus juga kerana ia seperti kritikan yang membina buat kami," tuturnya berterus terang.

Baginya, mendapat kutipan RM1.4 juta adalah satu perkara yang membanggakan buat dirinya sebagai pelakon baru.

Dengan kuantiti pelakon dan krew yang kecil, satu prestasi yang membanggakan buat kumpulan produksi ini apabila Kami mencapai sasaran penerbitnya.

"Seronok sangat bila dapat tahu kutipan filem Kami hampir dengan sasarannya. Barisan pelakon dan krew filem ini mempunyai keghairahan dalam menghasilkan sesebuah filem. Dengan bajet yang 'ciput' dan peralatan yang biasa, ia satu pencapaian besar buat kami.

"Target kami pun tak besar, hanya di kawasan Kuala lumpur sahaja dan juga pengikut drama bersiri kami serta konsert jelajah yang pihak produksi anjurkan. Biasanya untuk mencapai target dalam filem urban sangatlah susah. Terkejut juga bila ada orang kata filem Kami tak laku," katanya.


DUA pemegang watak utama dalam filem Kami, Liyana Jasmay dan Zahiril Adzim.


Selain itu, tambah Liyana, apa yang difikirkannya ialah, dengan mengadakan promosi yang kuat di kawasan luar bandar, dia yakin, filem Kami pasti mendapat tempat di hati penonton.

Sehingga ke hari ini Kami masih lagi ditayangkan di pawagam tempatan dengan penampilan pelakon seperti Zayanah Ibrahim, Juliana Evans, Ezany Nizariff dan Nas-T.

Rencana Utama!»

Reggae denyut nadi Jamaica

BOB Marley telah meletakkan muzik reggae di peta dunia dengan lagu-lagu menarik nyanyiannya.

Pemotoran!»

Sehangat aksi di litar lumba

PORSCHE 911 GT3 mengambil masa kurang daripada empat saat bagi mencapai kelajuan 100km/j.

Varia!»

Cerai melalui talak taklik

LAFAZ taklik biasanya diucap selepas selesai akad nikah dan isi kandungannya adakalanya berbeza mengikut negeri. - Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16