DUNIA

Dunia selamatkan bank

Dunia selamatkan bank


SEORANG penunjuk perasaan memakai topeng di luar Bank of England, London semalam.


LONDON - Kerajaan-kerajaan di beberapa buah negara semalam melancarkan program menyelamat berikutan bank-bank global kini semakin goyah.

Program menyelamat besar-besaran yang bernilai ratusan bilion dolar itu diharap dapat menstabilkan krisis kewangan dunia terburuk dalam tempoh 80 tahun.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown berkata, keyakinan terhadap pasaran kewangan global hanya akan pulih sekiranya tindakan diambil secara kolektif.

Katanya, para pemimpin dunia perlu membina seni bina kewangan baru seperti oder kewangan baru yang ditubuhkan dalam satu persidangan di Bretton Woods, New Hampshire pada 1944.


SEJUMLAH orang ramai melakukan protes terhadap bank di Madrid semalam.


Di Amerika Syarikat (AS), fokus tertumpu kepada firma kewangan Morgan Stanley yang menyaksikan nilainya jatuh 58 peratus pada minggu lalu setelah Kumpulan Kewangan Mitsubishi UFJ menyuntik pelaburan berjumlah AS$9 bilion (RM32 bilion).

Britain pula berbelanja sehingga £37 bilion (RM220 bilion) untuk membeli sejumlah bank di negara itu sekali gus menjadikan kerajaan Britian pemegang saham terbesar di Royal Bank of Scotland dan Lloyds TSB/HBOS.

Perancis akan menggunakan dua inisiatif bagi membantu bank-bank di negara itu untuk menghadapi krisis kewangan dengan memberi tawaran jaminan antara bank sebanyak 300 bilion euro (RM1.4 trilion) dan dana 40 bilion euro (RM191 bilion) untuk mengambil alih saham syarikat-syarikat tersebut.

Sejajar dengan itu, bank-bank pusat Eropah akan memberi pinjaman yang diperlukan bagi memberi kecairan kepada bank-bank komersial untuk menangani krisis semasa.

Australia dan New Zealand memberi jaminan bahawa simpanan rakyat di bank selamat. - Reuters

Process time in ms: 47