HIBURAN
Penangan lagu malar hijau

TIGA keperibadian yang berbeza. Azlina bertutur dalam nada yang lembut dan banyak disulam tawa. Khairil pula banyak berkata-kata dan membuahkan tawa dengan cerita silamnya. Manakala Khadijah lebih tegas dalam nada suara yang lembut dan penuh keibuan.
Namun satu yang menyatukan tiga penyanyi lama nan versatile ini adalah kenangan dan pengalaman mereka yang pernah ditempuh sepanjang bergelar anak seni.
Bukan itu sahaja, mereka bertiga serupa dalam menyanyikan lagu-lagu lama kegemaran mereka sewaktu ditemu ramah.
Mereka tidak lokek berbicara tentang itu dan ini, semuanya perihal kenangan lalu dan pendapat serta respons terhadap dunia seni kini. VAZZ satukan mereka dalam menyatakan rasa perihal indahnya lagu-lagu yang disebut malar segar (evergreen).
Apa faktor membuatkan sesebuah lagu itu menjadi malar hijau?
A: Sesebuah lagu itu perlu ada pakej, Maksudnya daripada penyanyi, lagu, melodi dan lirik perlu baik dan berkualiti. Jika ia lengkap, selepas 10 tahun ia akan menjadi malar hijau. Dan lagu tersebut mesti terpahat dalam ingatan pendengar atau peminat.
Saya bernasib baik kerana sewaktu lahir dengan album pada awal tahun 80-an, saya mendapat lagu-lagu yang disukai ramai dan ada yang menjadi malar hijau.
KJJ: Kalau kita lihat, bukan sahaja di sini tapi internasional, sesebuah lagu malar hijau itu berbentuk simple. Dulu sebuah lagu tidak akan lebih empat minit, sekarang verse sahaja sudah panjang.
Lagu yang simple, dengar intro kita sudah dapat tangkap melodinya. Sampai bahagian korus jadi klimaks dan ia senang melekat dalam minda pendengar. Komposer dulu pentingkan melodi tetapi sekarang lebih kepada irama.
KI: Lagu yang diminati ramai dan bertahan selama berpuluh tahun. Sampai sekarang kita masih ingat. Macam lagu-lagu saya juga yang sudah berusia 30 tahun sudah boleh dikategorikan malar hijau.
Lagu seperti ini merangkumi lirik yang bagus, melodi yang tidak susah diingati dan penyusunan lagu yang cantik. Ditambah pula dengan sentuhan jiwa, kena dengan tempat dan boleh membawa kita kepada sesuatu nostalgia.
Bila sebut lagu malar hijau ramai yang lebih menjurus kepada lagu raya. Komen?
A: Ya, bila cakap hal lagu-lagu malar hijau kita akan ingat kembali lagu-lagu raya yang lama. Mungkin sebab kita membesar dengan lagu-lagu tersebut seperti lagu Ahmad Jais, Saloma, Fazidah Joned dan Sharifah Aini. Kita membesar dan setiap tahun lagu itu dimainkan. Melodinya baik dan lirik yang ditulis memang baik. Bagi saya lirik itu sangat penting dan pembawakan penyanyi juga.
KI: Tidak semestinya. Seperti lagu raya saya, saya rasa sudah jadi lagu pasar raya kalau hari raya sudah dekat (ketawa).
Sesebuah lagu one hit wonder boleh menjadi lagu malar hijau?
A: Tengok keadaan, sebab kita mudah lupa akan lagu sebegitu. Kalau lagu malar hijau, kita tidak akan lupa dan akan sentiasa ingat. Cuma tengok kekuatan lagu tersebut.
KJJ: Boleh. Cuma dengan satu lagu hits ia boleh menjadi malar hijau. Dulu sistemnya main single dahulu kemudian meletup.
KI: Boleh. Contohnya seperti lagu Ku Pendam Sebuah Duka dalam album saya. Album itu bagus. Tapi lagu itu yang naik kerana waktu itu orang kaitkan dengan kehidupan peribadi yang sebenarnya hanya kebetulan sahaja.
Dan jika persembahan juga, permintaan utama adalah lagu malar hijau, bukan?
A: Penonton yang lihat persembahan saya memang sukakan lagu lama. Membawakan lagu-lagu lama memang tidak menjadi masalah buat saya. Lagu wajib saya adalah lagu arwah emak seperti Malaysia Baru dan Penggodaan. Rentak lagu Penggodaan itu catchy dan ia rentak dangdut. Sesuai untuk persembahan. Juga lagu Joget Dewa Dewi dan Cahaya.
KI: Tanpa gagal peminat setia saya mahukan lagu Ku Sangka Siang Kiranya Malam, lagu yang menaikkan nama saya. Begitu juga Ku Gembira Di Sampingmu.
Lagu malar hijau kegemaran?
A: Banyak. Kalau lagu internasional saya sukakan lagu-lagu nyanyian Chaka Khan, Diana Ross dan Paattie Austin. Kalau lokal, saya sukakan lagu-lagu balada Khatijah Ibrahim, Sharifah Aini, Rafeah Buang.
Yang saya ingat masa saya di Singapura, saya suka lagu Uji Rashid dan lagu Surat Terakhir oleh Salamiah Hassan. Saya juga sukakan lagu arwah emak saya yang dibawakan Sharifah Aini iaitu Seri Dewi Malam.
KJJ: Saya suka Let It Be (The Beatles), To Love Somebody (lagu wajib nyanyi), kalau Melayu saya sukakan Broery Marantika dengan Angin Malam dan Widuri. Tak lupa juga lagu Carefree iaitu Belaian Jiwa.
KI: Living On A Jet Plane, lagu saya masa sekolah dahulu. Lagu saya menyanyi di atas pentas.
![]() |
|
|
Betulkah jika dikatakan lagu malar hijau adalah lagu yang membuat ramai terusik dek kenangan lama.
A: Itu sudah pasti kerana ia memang bersangkut paut daripada penyanyi hinggalah ke lirik. Dulu masa zaman sekolah, saya akan wajib nyanyi You Make Me Feel Brand New (Stylistic) dan Hari Ini Dan Semalam nyanyian J. Mizan. Dalam perjalanan ke sekolah, mesti nyanyi (ketawa).
KJJ: Lagu malar hijau yang mengusik diri saya adalah nyanyian Bryan Adams - Everything I Do, I Do It For You. Saya dedikasikan pada isteri saya masa hangat bercinta. Lagu Endless Love (Lionel Richie) dan penyanyi Elton John pun memberi pengaruh besar dalam hidup saya. Mereka dahsyat!
KI: Kalau dengar lagu J. Mizan yang bertajuk Hari Ini Dan Semalam, saya terus teringatkan kenangan lama di Singapura. Ingatkan ibu bapa dan adik-beradik. Masa itu saya dan adik-beradik tertanya siapa sebenarnya penyanyi ini. Suara dia unik.
Dan lagu itu membuatkan saya teringatkan persekitaran Singapura serta Pasar Ahadnya yang mempunyai banyak makanan seperti lontong, mi rebus. Kenangan yang tidak boleh lupa.
Mungkin kita boleh sentuh sedikit tentang lirik dahulu dan sekarang? Tema yang diambil atau lirik lagu cinta yang ditulis.
A: Dulu juga banyak lagu yang mendayu dan cinta-cinta. Sekarang yang lebih ke sosial contohnya lagu-lagu rap. Mungkin kerana trend dan cita rasa masing-masing.
KJJ: Dulu simple dan lebih berterus terang. Itu sangat mempengaruhi ketahanan sesebuah lagu. Kalau ada cerita dan terkena dengan orang, orang akan mudah ingat. Contohnya lagu Terbang Helang nyanyian Sharifah Aini. Lagu itu simple tapi helang itu sahaja sudah menggambarkan sesuatu. Simbol diri kita.
KI: Lagu cinta dahulu lebih simbolik seperti lagu duet saya dengan Ramli Sarip (Doa Buat Kekasih). Bukan sahaja kekasih itu teman lelaki atau wanita tetapi mencakupi semua termasuk ayah, ibu dan adik-beradik. Lagu cinta yang dibuat biarlah terarah kepada sesuatu yang baik dan positif.
![]() |
|
SITI Nurhaliza, Ajai dan Dayang Nurfaizah - generasi baru yang muncul dengan identiti tersendiri. |
Penghayatan yang berseni di samping kekuatan vokal dan daya tersendiri yang unik, berbezakah dahulu dan sekarang?
KJJ: Penyanyi dahulu menyanyi dengan pembawaan yang lain. Disulam dengan ekspresi, jiwa dan suara yang bagus seperti Allahyarham Sudirman. Dia sangat berjiwa dan perfectionist. Datuk Sharifah Aini pula banyak bertanya sewaktu dalam studio. Mereka bagus dalam penyampaian.
KI: Kalau sebut pasal feel ini lebih bersifat individu. Saya lihat ramai penyanyi baru kini lebih kepada vokal yang dibentuk. Dahulu kita fikir tentang lirik, melodi sampailah proses rakaman. Kita lalu setiap proses itu dan membuatkan kita mendapat rasa dan jiwa. Dulu sebelum masuk vokal saya akan pastikan penulis lirik juga ada sebab saya mahu sampaikan rasa dengan lirik yang tepat.
KI: Penyanyi sekarang segelintir sahaja yang ada ciri khas atau identiti. Kalau dengar di radio sekarang, kita tidak boleh nak agak siapa penyanyinya. Kenapa? Kerana tidak ada ciri khas dan terlalu ramai. Kalau dahulu dengar suara Sharifah Aini, Francisca Peter, orang dah boleh teka. Penyanyi kini perlu ada identiti. Pernah satu waktu, semua orang nak tiru suara Siti.
Apa komen bila dikatakan lagu sekarang sukar menjadi lagu malar hijau?
A: Kualiti satu, penyanyi pun satu. Contohnya Siti Nurhaliza, dia diminati ramai dan dia mempunyai lagu yang sedap dan sesuai dengan dirinya. Komposer tahu bagaimana nak buat lagu yang cantik dan menjadi kenangan.
Ramai penyanyi sekarang yang saya lihat sukar untuk bertahan. Tapi saya boleh katakan lagu baru akan menjadi malar hijau. Pernah satu ketika semua penyanyi mahu meniru nyanyian Siti dan mereka sukar bertahan dan fenomena ini menimbulkan rasa ralat saya dalam industri. Banyak juga lagu sekarang yang ikut trend.Tapi tidak semua tidak bagus. Kita bagi sepuluh tahun lagi dan lagu sekarang akan jadi malar hijau.
KJJ: Mungkin kerana lagu-lagu ini masih baru. Tapi kalau ada lagu yang melodi dia kena dan lirik bagus, dia boleh bertahan. Saya rasa lagu Irama Malaysia boleh diteruskan menjadi lagu malar hijau.
Pendapat tentang lagu dan komposer baru? Lagu apa yang didengar sekarang?
A: Banyak. Contohnya Ajai. Saya suka sentuhan lagu dia dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Lagunya untuk Dayang Nurfaizah (Seandainya Masih Ada Cinta) juga bagus. Melodi bagus, simple dan sekali dengar sudah menangkap. Lagu Azlan juga bagus kerana dia pandai ikut penyanyi. Contoh terbaru adalah lagu Ramlah Ram yang bertajuk Ketentuan. Saya sebagai penyanyi, dengar pun sudah jiwa-jiwa.
KJJ: Saya lihat Ajai berbakat dengan lagu baladanya. Lagu dia menarik dan mendamaikan. Seperti lagu Hati Ini Telah Dilukai.
KI: Cuba namakan saya komposer sekarang? Saya rasa nyanyian Ramli Sarip dan M. Nasir bagus. Begitu juga lagu Cindai. Buat masa ini itu sahaja. Saya rasa belum ada lagi yang boleh menghasilkan lagu malar hijau.
Kalau penyanyi?
A: Saya sukakan vokal dan cara tersendiri Ziana Zain,Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah. Mereka ini ada ciri khas. sekali dengar kita tahu nyanyian mereka. Noryn dan Jac juga ada trademark dan lagu-lagu mereka ini hits dan terpahat. Itu mustahak. Penyanyi yang baik, mereka akan bertahan. Saya juga suka nyanyian Haziq, dia bagus dan saya kagum dengan vokal dia. Begitu juga Vince yang saya anggap penyanyi kelahiran Akademi Fantasia yang terbaik. Saya juga suka Hazami, Anuar Zain dan Bob.
KJJ: Anuar Zain, Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.
KI: Penyanyi kita ramai yang berbakat. Cuma mereka tidak faham identiti dan tujuan mereka. Kita perlu pastikan diri kita ada visi dan tahu tujuan kita berada dalam industri. Bakat ini anugerah. Dan sampai sekarang saya juga masih belajar dan akan terus belajar.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.






Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


