HIBURAN
Tidak puas hati pengarahan Saiful Apek - Provokasi itu tidak berasas!

PELBAGAI desas-desus pernah diperkatakan tentang penerbitan filem Shhh...Dia Datang yang merupakan filem arahan sulung artis serba boleh, Saiful Apek.
Sebelum ini filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta ini dikatakan terpaksa menjalani semula penggambaran beberapa adegan kerana penerbitnya tidak berpuas hati dengan hasil kerja Apek.

Kemudian Apek pula dikatakan tidak dapat untuk memenuhi kehendak penerbit jika dipaksa melakukan penggambaran semula kerana kesuntukan masa.
Dan ekoran daripada dakwaan tersebut, hubungan antara Apek dan pengerusi Noradz Productions Sdn.Bhd yang juga penerbit filem ini iaitu Datuk Adzhar Sulaiman dikatakan umpama retak menanti belah.

Namun, semua itu boleh dilihat sebagai cerita yang tidak berasas dan Apek masih menjadi orang kesayangan syarikat berkenaan. Ini terbukti belumpun Shhh...Dia Datang ke pawagam, Apek sudah disambar untuk menjadi teraju utama dua lagi filem terbitan Noradz Productions yang akan datang iaitu Dia Datang Lagi dan Gila Politik. Selain itu juga, sebuah drama komedi berjudul Hua Hua akan turut menggunakan khidmat Apek sebagai pengarah.
Kepada Kosmo! Datuk Adzhar menjelaskan, hubungannya dengan Apek masih seperti biasa tidak seperti yang dihebahkan.
"Akhbar pandai buat provokasi, benda itu tidak betul, Apek pun menafikan. Dia seorang yang kreatif sebab itu saya berani ambil dia sebagai pengarah. Setakat ini tidak ada apa-apa masalah kerana filem Shhh...Dia Datang ini sedang dalam proses suntingan.
"Sebagai penerbit, saya sudah tengok suntingan yang pertama, memang saya ada komen kerana ia tidak begitu menonjol. Kemudian yang kedua saya belum tengok lagi dan berharap agar ia lebih menarik daripada yang pertama. Bagi saya ini merupakan proses yang biasa," katanya.
Berani buat, berani tanggung!
Penerbit yang juga merupakan seorang ahli perniagaan berjaya ini menjelaskan, dia langsung tidak mengambil peduli tentang apa yang diperkatakan orang kerana padanya hal perniagaan harus didahulukan.
"Secara jujur saya tidak pernah terasa hati dengan apa yang diperkatakan media tentang filem atau cerita-cerita yang negatif tentang filem saya. Buat apa saya mahu melenting?
"Saya lihat Datuk Yusof Haslam sebagai contoh kerana saya masih lagi baru. Dia dulu pun pernah dikritik, jadi apabila saya masuk ke dalam perniagaan industri seni saya harus bersedia," ujarnya lagi.
Sungguhpun filem pertamanya itu belum pun muncul di layar perak, produksinya dilihat berani mengambil risiko apabila mempertaruhkan dua buah filem lagi
iaitu Dia Datang Lagi dan Gila Politik tanpa mengetahui sambutan terhadap filem pertamanya.
"Alang-alang sudah buat, dan ada idea, baik saya teruskan supaya kita boleh terus bekerja. Lagipun apa yang saya buat seperti drama adalah berdasarkan permintaan. Jadi selagi ada permintaan selagi itu saya akan terus mengeluarkan drama.
"Macam filem pula, saya kena berani. Sudah adat orang berniaga, kalau tidak berani ambil risiko lebih baik jangan berniaga. Selagi saya boleh buat perniagaan saya buatlah. Apa saja yang boleh buat duit saya akan teruskan," katanya lagi.

Tambah ahli perniagaan yang berpengalaman selama 26 tahun ini lagi, walaupun dia memiliki pengalaman yang luas dalam bidang perniagaan dengan menerajui Noradz Holdings Sdn.Bhd tetapi tegasnya banyak lagi perkara yang harus dia pelajari ketika menguruskan perniagaan yang berkaitan dengan seni.
"Apa yang saya belajar dalam masa terdekat ini ialah, saya dan produksi harus ada publisiti. Maksud saya bukan publisiti murahan ataupun saya ini gila glamor, tetapi dalam industri ini kita tidak boleh kerja sendirian.
"Maksud saya kena ada kerjasama dengan media. Kalau saya buat filem orang tidak tahu, itupun tidak guna juga. Walaupun pihak media buat provokasi, saya ambil ia sebagai teguran, dan tengok di mana kelemahan yang boleh diperbaiki," terangnya lagi.
David Teo versi Melayu?
Dan apabila dia disamakan dengan penerbit terkenal David Teo kerana berani mengeluarkan banyak modal untuk filem pertama dan sedia berhadapan dengan apa juga risiko, penerbit ini hanya tergelak kecil. Tidak pula dia menafikan atau menidakkan kenyataan itu.
"Memang betul, saya tidak kisah kalau orang mahu samakan dengan dia sebab David terlebih dulu berjaya dalam perniagaan berasaskan seni ini. Saya akan cuba mengeluarkan filem serta drama bermutu dari hari ke hari," jelasnya lagi.

Melihat kepada genre filem dan drama yang dikeluarkan oleh produksinya, semuanya berada di bawah genre yang sama iaitu komedi. Dan Adzhar memiliki alasan tersendiri mengapa dia lebih cenderung menghasilkan filem atau drama komedi.
"Ini kerana zaman sekarang orang apabila balik daripada kerja mereka mesti penat dan tertekan. Jadi apabila saya buat filem atau drama yang boleh membuatkan orang tergelak ataupun tersenyum, sekurang-kurangnya penonton yang menonton boleh hilangkan tekanan.
"Setidak-tidaknya saya telah memberi sedikit keseronokan pada penonton. Namun, ini tidak bermakna semua produk daripada produksi saya dengan genre komedi.
"Mungkin pada masa akan datang saya akan buat filem atau drama yang serius atau seram. Kalau ada skrip yang bersesuaian dan saya rasa sesuai dengan keadaan semasa, saya akan buat," tuturnya.
Suka angkat orang lama
Apa yang diperhatikan dalam setiap produknya selain daripada genre komedi, dia dilihat gemar untuk menggunakan khidmat pelakon-pelakon lama.
Jelasnya, itu perkara yang ingin diubah dalam industri seni dengan memberi lebih ruang dan peluang buat pelakon-pelakon lama, kerana katanya tanpa mereka tiadalah pelapis untuk pelakon generasi sekarang.
"Saya lebih suka untuk angkat orang lama dalam produk saya, selagi ada skrip yang sesuai saya akan masukkan mereka. Tidak bermakna saya ketepikan nilai komersial.
"Kalau kita lihat di Barat, semakin tua pelakon itu, semakin mahal bayarannya, tetapi tidak di negara kita. Kebanyakan pelakon lama di bayar murah dan diketepikan saja, itu yang ingin saya ubah," luahnya.
Filem Syyy...Dia Datang akan menemui peminat di pawagam sekitar awal tahun 2009.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.



Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


