SUKAN
Yob sudah serik

"KAMI sudah serik."
Itu antara reaksi salah seorang daripada sepuluh pemain Perak yang dilapor bakal menyertai pasukan lain pada kempen Liga Malaysia (Liga M) yang bermula 3 Januari depan.
Pemain berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, rata-rata pemain Perak mula bimbang dan gelisah ekoran masalah tunggakan gaji yang menimpa skuad Seladang itu.
"Situasi itu pasti mencetuskan rasa kurang senang di kalangan pemain sehingga kami membuat keputusan untuk berhijrah," katanya.
Pemain berkenaan mendakwa Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain bagi bulan Julai, Ogos dan September.
Katanya, Pafa hanya membayar tunggakan gaji bagi bulan Jun sahaja sebelum skuad Seladang beraksi di Beirut, Lebanon bagi menghadapi kempen Piala AFC hujung bulan lalu.
"Tak tahulah bila mereka (Pafa) akan melunaskan tunggakan itu," jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan bahawa beberapa tonggak utama Perak berhasrat mengubah haluan masing-masing selepas kecewa dengan masalah gaji tertunggak.
Difahamkan, pemain tengah, K. Nanthakumar serta dua penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad dan Mohd Nasril Nourdin telah dilamar Selangor.
Benteng pertahanan Perak bertambah parah apabila Mohd. Khairi Zainuddin berhasrat menyarung jersi Terengganu sementara Chan Wing Hoong sedang diintai pasukan Brunei.
Pemain tengah berpengalaman, Danial Fadly Abdullah yang berasal dari Perlis pula dijangka pulang semula menyarung jersi skuad Singa Utara itu.
Penyerang muda berbakat, Razali Umar Kandasamy turut dilapor disambar sebuah pasukan kelab dari Lembah Klang.
Sebelum ini, penyerang, Mohd. Khalid Jamlus dan pemain pertahanan kebangsaan, Ahmad Azlan Zainal telah menandatangani kontrak dengan Kelantan.
Mungkin Perak boleh menarik nafas lega apabila hanya dua pemain tengah, Mohd. Hardi Jafaar dan Shahrulnizam Mustafa yang tidak dipancing pasukan lain kerana masih mempunyai kontrak.



Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak