DUNIA

Panik landa bursa saham dunia

Panik landa bursa saham dunia


SEORANG broker termenung melihat skrin di Bursa Saham Frankfurt semalam.


LONDON - Bursa saham dunia merudum semalam, mencatatkan kejatuhan terburuk dalam tempoh empat tahun berikutan panik di kalangan pelabur berhubung sama ada pakej untuk menyelamat krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) akan meredakan krisis kewangan global.

Pasaran saham di London, Frankfurt dan Paris merudum lebih enam peratus sebelum melonjak semula manakala bursa saham di Moscow digantung buat kali kedua.

Sejumlah syarikat di Britain kehilangan nilai saham £60 bilion (RM364 bilion) dalam tempoh beberapa minit.

"Terdapat suasana panik," kata seorang penganalisis strategi dengan firma ING, Andrian van Tiggelen.

"Setiap orang berharap selepas pakej menyelamat di AS dan usaha menyelamat dilakukan di Eropah, semua suasana akan kembali tenang tetapi terdapat kebimbangan kuat akan berlakunya teori domino," tambahnya.


BROKER-BROKER saham berkumpul di Bursa Saham New York semalam.


Iceland menggantung perniagaan dalam saham kewangan termasuk tiga bank utama ketika terdapat laporan bahawa kerajaan menyelamatkan sektor perbankan.

Di Asia, indeks bursa saham Tokyo menurun 4.25 peratus ketika Hong Kong jatuh lima peratus, Seoul merosot 4.3 peratus dan Sydney merudum 3.3 peratus.

Indeks bursa saham terbesar Arab di Riyadh menurun hampir 10 peratus dan pasaran saham di beberapa negara di Teluk juga merudum termasuk Kuwait.

Bursa saham di New York turut menurun apabila indeks Dow Jones jatuh di bawah paras 10,000 mata buat pertama kali dalam tempoh empat tahun.

Keadaan itu berlaku ketika pelabur-pelabur bimbang krisis kredit akan mengheret ekonomi menjadi kemelesetan.

Antara saham perkhidmatan kewangan yang jatuh adalah Bank of America sebanyak lebih sembilan peratus.

Ketegangan berterusan dalam pasaran kredit meningkatkan kebimbangan mengenai masa depan ekonomi manakala tindakan menyelamatkan bank-bank di Eropah mencetuskan kebimbangan berhubung institusi kewangan global.


PELABUR-PELABUR meneliti indeks saham di bandar raya Kuwait semalam.


Sementara itu di Brazil, pasaran saham digantung selama beberapa minit ketika dibuka selepas indeks jatuh lebih 10 peratus.

Pasaran saham di Prague, Republik Czech jatuh 8.46 peratus yang merupakan kejatuhan terbesar sejak 1993.

Kejatuhan itu berlaku selepas pakej menyelamat AS diluluskan.

Ia diluluskan berikutan krisis kewangan menyebabkan Bank Lehman Brothers muflis manakala firma gergasi insurans, American International Inc., (AIG) terpaksa diselamatkan oleh Rizab Persekutuan AS. - Agensi

Process time in ms: 47