AKADEMI

Menyerlah gaya kepimpinan

Menyerlah gaya kepimpinan

Sesetengah orang dilahirkan dengan bakat semula jadi tetapi tanpa latihan, dorongan, minat yang mendalam dan pengalaman, bakat seseorang pemimpin tidak mudah terserlah.


MENJADI seorang pemimpin tidak hanya berkisar pada kemahiran apa yang anda miliki, kebijaksanaan anda, apa yang anda tahu dan apa yang anda lakukan. – Gambar hiasan



Anda baharu sahaja melangkah kaki di tempat kerja baru dan setelah beberapa minggu di sana, anda mendapati dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada diri anda, ada banyak perubahan yang boleh anda lakukan untuk memperbaiki cara bekerja yang sedia ada. Masalahnya, apa yang anda cuba lakukan tidak mendapat respons positif dari ketua jabatan anda. Bagaimanakah agaknya reaksi anda apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian?

Mungkin ada di antara anda akan merasa bosan dan terpinggir dan mula mencari pekerjaan baru di mana khidmat yang ingin anda hulurkan akan lebih dihargai. Tetapi mengundur diri cara begini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Jadi, bukankah lebih baik jika anda bertegas dengan pendirian anda dan membuat sesuatu demi kebaikan semua?

Terdapat berbagai jenis pekerja di dalam sesebuah organisasi. Ada sesetengah pekerja tidak suka memerah otak dalam menjalankan tugas harian dan lebih senang menerima arahan daripada ketua. Tetapi ada juga di antara pekerja yang lebih seronok jika dapat menyumbang idea baru untuk melakukan sesuatu ke arah perubahan dan sentiasa ingin maju ke hadapan. Jika anda mempunyai sifat sebegini, anda memang mempunyai harapan cerah untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya.

Sejak kebelakangan ini, banyak yang diperkatakan mengenai isu kepimpinan. Ramai yang percaya bahawa pemimpin yang hebat tidak dilahirkan sedemikian tetapi kehebatan tersebut dibentuk dari awal. Memang ada kebenaran bahawa sesetengah orang dilahirkan dengan bakat semula jadi tetapi tanpa latihan, dorongan, minat yang mendalam dan pengalaman, bakat seseorang pemimpin tidak mudah terserlah. Seorang pemimpin yang hebat boleh mempengaruhi orang ramai demi mencapai sesuatu objektif atau matlamat. Beliau juga mampu menyatupadukan beberapa kumpulan untuk bekerjasama ke arah satu arah dan tujuan.

Pemimpin-pemimpin yang hebat tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang sedia ada. Mereka sentiasa bekerja dan terus belajar untuk memperbaiki selok-belok bidang yang mereka ceburi dan minati.

Kebanyakan orang mengaitkan kepimpinan dengan kuasa. Dengan kuasa yang ada, pemimpin mampu melakukan apa sahaja termasuk memaksa orang bawahan tunduk kepada telunjuk mereka atau menekan dan mengganggu kehidupan orang-orang yang tidak mereka sukai melalui tekanan mental atau fizikal. Keadaan ini memang wujud tetapi ia bukanlah cara kepimpinan yang harus dijadikan contoh. Pemimpin yang hebat perlu bijak menaikkan semangat orang-orang yang mereka pimpin agar turut bekerjasama untuk mencapai matlamat organisasi atau negara. Mereka mampu membuka mata pengikut-pengikut untuk melihat gambaran organisasi secara meluas.

Jadi, bagaimanakah cara anda ingin mempengaruhi orang yang anda pimpin untuk mengikut anda? Orang zaman sekarang sudah banyak terdedah kepada pelbagai informasi yang boleh didapati melalui buku-buku, majalah-majalah, televisyen, radio, internet dan macam-macam lagi. Jadi, mereka ini tidak mudah untuk dipengaruhi dan tidak akan menerima segala cadangan atau arahan tanpa menyuarakan soalan atau pendapat mereka sendiri. Namun, mereka akan mendengar dan mengikut arahan pemimpin jika mereka nampak arah yang ingin dituju dengan jelas. Tetapi mereka akan merasa ragu untuk mengikut pemimpin yang tidak pasti ke mana ia ingin membawa orang-orang yang dipimpin dan sentiasa berdolak-dalik dengan kata-kata dan tindakan ke atas orang yang anda pimpin. Ia boleh dilihat melalui perwatakan anda dan tindak tanduk mereka.

Menjadi seorang pemimpin tidak hanya berkisar pada kemahiran apa yang anda miliki, kebijaksanaan anda, apa yang anda tahu dan apa yang anda lakukan. Anda adalah ibarat cermin kepada pengikut anda. Apa yang anda lakukan menjadi ikutan mereka.

Kajian ada menunjukkan salah satu kunci kejayaan pemimpin adalah kepercayaan dan keyakinan penuh yang diberi oleh pengikut kepada pemimpin mereka. Jika mereka percaya kepada seseorang pemimpin, mereka sanggup 'meredah lautan' dan melakukan apa sahaja untuk membantu pemimpin tersebut mencapai sesuatu matlamat. Kepercayaan ini amat penting kerana apabila timbul keraguan terhadap kepimpinan anda, keadaan akan menjadi tidak stabil dan kucar-kacir. Ini akan membantut usaha anda untuk menyatupadukan pasukan yang anda pimpin.

Kepercayaan dan keyakinan terhadap pemimpin dibina melalui perhubungan yang baik di antara pemimpin dan orang-orang yang mereka pimpin, komunikasi yang jelas dan ketinggian etika seorang pemimpin. Jika kuat dan utuh hubungan anda dengan orang yang dipimpin, maka akan bertambah kuatlah kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kebolehan anda sebagai seorang pemimpin yang boleh mereka harapkan.

Jadilah pemimpin yang adil dan bertanggungjawab. Seorang pemimpin yang hebat tidak akan mengaku bahawa kejayaan yang diraih adalah semata-mata kerana usaha mereka seorang tetapi ia adalah hasil titik peluh dari setiap pekerja yang telah bersama-sama berusaha untuk menjayakan usaha tersebut

Masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca Kosmo!.


Process time in ms: 47