NEGARA

Hari Mantai Perdana Negeri Sembilan meriah

Hari Mantai Perdana Negeri Sembilan meriah


ORANG ramai berpusu-pusu membeli daging segar yang dijual murah pada Hari Mantai Perdana
di Seremban semalam.


SEREMBAN - Murah dan meriah! Lebih 5,000 pengunjung tidak melepaskan peluang 'menyerbu' bagi mendapatkan pelbagai daging segar lagi murah sempena Hari Mantai Perdana 2008 di tapak lama kem Paroi di sini semalam.

Biarpun, program berkenaan bermula 8 pagi, namun ada yang mula membanjiri tapak tersebut seawal kira-kira 6.30 pagi.

Program Hari Mantai Perdana 2008 yang pertama kali diperkenalkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan Perkhidmatan Vaterinar Negeri Sembilan (JPVNS) dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan daging menjelang Aidilfitri ini.

Mantai adalah istilah tempatan iaitu penjualan daging menjelang Ramadan dan Aidilfitri di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

Katanya, daging lembu dan kerbau yang dibawa secara berperingkat-peringkat oleh JPVNS ke tapak berkenaan, habis dalam tempoh yang singkat.

"Sebanyak 30 ekor lembu yang siap dipotong telah dihantar ke sini pada pukul 10 pagi diikuti tambahan 20 ekor lembu lagi pukul 12 tengah hari.

"Program ini dilihat berjaya dan menerima sambutan yang menggalakkan.

"Inilah peluang untuk orang ramai mendapat daging murah sebelum menyambut Aidilfitri esok," kata beliau di sini semalam.

Turut mendapat sambut ialah gerai menjual ayam apabila hampir 1,000 ekor telah terjual menjelang petang.

Harga sekilogram daging lembu ialah RM15, kerbau (RM18), tulang (RM14), kambing (RM20), rusa (RM30), ayam (RM6), itik (RM12) serta puyuh pelbagai gred dari RM17 hingga RM22.

"Terdapat sedikit masalah dari aspek kelancaran penjualan dan penghantaran bekalan berikutan permintaan yang mendadak pada pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.

"Pun begitu saya amat berpuas hati terhadap program ini dan akan diteruskan lagi pada tahun depan,'' katanya.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15