NEGARA

Enggan pulang ke Aceh

Enggan pulang ke Aceh


SEBAHAGIAN warga Aceh mangsa tsunami yang menghabiskan masa di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.



KUALA LUMPUR - "Kalau boleh saya tidak mahu pulang ke Aceh kerana banyak kenangan pahit yang sukar dilupakan terutama bila terbayang saat-saat kematian keluarga tersayang."

Itu luahan pemuda berumur 28 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Azman kepada wartawan Kosmo! mengenai perasaannya yang terpaksa pulang ke tanah airnya semula setelah tempoh perlindungannya di negara ini tamat.

Azman merupakan salah seorang daripada 25,593 pemegang kad Pendaftaran Orang Asing Khas Untuk Etnik Aceh (IMM 13) yang tinggal dan bekerja di negara ini sejak wilayah tersebut dilanda bencana tsunami pada Disember 2004.

Mewakili rakan-rakan senasib, mereka seperti enggan pulang kerana faktor trauma yang masih belum hilang selain keselesaan tinggal di sini.

"Tempoh perlindungan kebanyakan daripada kami di negara ini akan tamat pada penghujung September ini dan paling lama ialah sehingga 2 Januari tahun depan. Semakin hampir tarikh tersebut, hati saya semakin diamuk resah.

"Saya memang rindukan keluarga tetapi sukar untuk dibayangkan jika sekembalinya saya nanti tidak disambut oleh orang-orang yang amat saya sayangi," katanya sambil menyapu air mata yang hampir jatuh dari kelopak mata.

Azman bagaimanapun tidak akan mengingkari arahan kerajaan negara ini yang telah memberikan perlindungan kepadanya dan semua warga Aceh sejak kejadian menyayat hati itu.

"Selain tiada orang-orang tersayang, apa yang merisaukan saya ialah peluang pekerjaan yang tidak banyak di sana untuk kami teruskan hidup," katanya yang berniaga kecil-kecilan di sini.

Rakannya, Zukifli menambah, keselesaan dan sikap baik hati penduduk di negara ini menyebabkan mereka semakin selesa tinggal di sini biarpun rindu pada kampung halaman sentiasa menggamit jiwanya.

"Kami benar-benar bahagia tinggal di sini dan kalau boleh, kami hendak lupakan apa yang telah berlaku sehingga keadaan kami pulih sepenuhnya," katanya.

Jelasnya lagi, ada juga beberapa rakannya yang pernah cuba memohon untuk melanjutkan tempoh tinggal di sini tetapi ditolak.

"Cuba bayangkan bagaimana saya boleh melupakan saat ibu dan adik saya dihempas badai dan hilang di depan mata saya?

"Air mata saya sehingga hari ini belum pernah kering setiap kali teringatkan saat ngeri itu dan saya sering bertanya kenapa tidak nyawa saya diambil sekali?

"Kalau ada belas daripada negara ini, kami mohon supaya tempoh perlindungan kami dilanjutkan lagi." kata Rustam, 31.

Tinjauan Kosmo! mendapati, warga Aceh yang memegang kad IMM3 itu tidak tinggal di satu tempat sebaliknya di beberapa daerah yang paling ramai didiami oleh warga Indonesia.

Ini meliputi kawasan seperti Ampang, Gombak, Klang, Sepang dan Semenyih selain beberapa negeri lain.

Kebanyakannya menjalani kehidupan seharian sebagai buruh binaan dan tidak ketinggalan yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Terdapat juga yang mendominasi perniagaan buah-buahan sebagai memenuhi tuntutan keperluan hidup di negara orang.

Stailo!»

Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31