RENCANA UTAMA

Teknik merancang keluarga

Teknik merancang keluarga

Mirena bukan sahaja satu kaedah pencegahan hamil, bahkan ia terbukti mampu membantu wanita yang mengalami kedatangan haid yang berat dan sakit.


MIRENA merupakan alat kecil plastik, mudah lentur dan berbentuk T ini disisipkan ke dalam rahim.


DALAM kehidupan moden hari ini, pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan mungkin memilih untuk tidak mempunyai cahaya mata pada awal perkahwinan demi menstabilkan kehidupan sebelum menerima tanggungjawab baru.

Manakala pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata pula akan turut membuat perancangan rapi sebelum menambah kehadiran ahli baru dalam keluarga.

Jika dahulu kebanyakan wanita menggunakan kaedah seperti kondom, pil, suntikan dan implanon sebagai kawalan kehamilan, sebelum beralih kepada kaedah kontraseptif.

Namun, pemodenan dan teknologi terkini yang wujud hampir setiap waktu menjadikan wujudnya pelbagai kaedah lebih baik yang disyorkan oleh pengamal perubatan di negara ini.

Sejajar dengan keperluan gaya hidup masa kini, lebih ramai wanita mengimpikan kaedah kontraseptif yang bebas daripada sebarang kesan sampingan, 100 peratus berkesan dan memudahkan proses kehamilan setelah kaedah kontraseptif tidak lagi digunakan.

Terbaru, antara teknologi yang dikatakan paling efektif untuk pencegahan hamil masa kini ialah kaedah Mirena iaitu alat dalam rahim (IUS) yang disertakan dengan ubat hormon.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur, Dr. Ho Choon Moy berkata, tidak seperti kaedah IUS lain, kaedah ini merupakan suatu kaedah pencegahan hamil yang bertindak lama dan memberikan kesan yang selamat.

"Mirena merupakan alat kecil plastik, mudah lentur dan berbentuk T ini disisipkan ke dalam rahim. Sarung di keliling batang alat ini akan melepaskan dos hormon levonorgestrel yang amat sedikit pada kadar yang tetap.

"Dari hari pertama lagi, Mirena menjadi kaedah pencegahan hamil yang amat berkesan dan dapat digunakan sehingga tempoh lima tahun," katanya.

Bahkan, katanya Mirena lebih unggul daripada kaedah pemandulan lain kerana wanita boleh hamil semula.

Ho menjelaskan, kesan hormon yang dilepaskan menyebabkan mukus atau lendir serviks akan menjadi tebal sehingga sperma tidak dapat menembusi untuk mempersenyawakan telur.

Beliau berkata, pergerakan sperma secara biasa di dalam rahim dan saluran ovari juga menjadi terencat.




Bagaimanapun, lebih menyeronokkan apabila semua perubahan yang dialami oleh rahim ini boleh diubah balik selepas Mirena dikeluarkan. Ini bermaksud, wanita boleh hamil semula tanpa sebarang kesan sampingan dalam tempoh bulan pertama Mirena dikeluarkan daripada rahim mereka.

Yang lebih menarik, Mirena bukan sahaja satu kaedah pencegahan hamil, bahkan ia terbukti mampu membantu wanita yang mengalami kedatangan haid yang berat dan sakit.

Ramai wanita di peringkat pembiakan lanjut terutamanya wanita yang telah melahirkan anak akan beralih kepada haid yang berat dan berpanjangan atau haid yang sakit.

Haid yang berat dan berlarutan ini akan menyebabkan wanita menghidapi anemia atau kekurangan zat besi, sakit kejang otot dan sakit pinggang.

Mengenai putaran haid, Ho berkata, setiap bulan endometrium dalam rahim yang terdiri daripada sel dan kelenjar akan menebal dan proses penebalan ini dikawal atur oleh hormon.

Endometrium yang menebal di peringkat awal kitaran haid sebagai persediaan untuk menerima telur yang tersenyawa.

"Jika persenyawaan tidak berlaku, mukrosa rahim diluruhkan apabila kitaran berakhir dan diperkumuh sebagai darah haid menerusi faraj," katanya.

Justeru, Mirena berfungsi apabila sedikit hormon levonorgestrel dilepaskan ke dalam rahim setiap hari dan kehadiran hormon ini ke dalam rahim akan merencatkan penebalan endometrium.

"Oleh itu, terdapat hanya lapisan endometrium yang nipis untuk diluruhkan. Itu sebabnya darah yang keluar pada penghujung kitaran berkurangan," katanya.

Secara puratanya, selepas satu tahun penggunaan Mirena, kira-kira 10 hingga 20 peratus pengguna Mirena tidak langsung mengalami kedatangan haid.

Ini mungkin membimbangkan kebanyakan pengguna kerana mereka beranggapan kedatangan haid bulanan itu sesuatu yang semula jadi dan sihat, bahkan fungsi haid yang dikatakan untuk pencucian darah kotor dari tubuh wanita.

Ho berkata, pengguna Mirena usah bimbang kerana haid sebenarnya adalah suatu proses membuang lapisan rahim apabila kehamilan atau implantasi telur tersenyawa tidak berlaku.

"Mirena berfungsi untuk merencat penebalan endometrium yang terjadi mengikut kitaran. Ini bermakna pendarahan amat sedikit atau tiada langsung tetapi tidak betul jika ada yang mengatakan haid perlu ada untuk mencuci darah dalam tubuh seolah ia mempunyai proses perkumuhan," katanya.

Beliau berkata, ketiadaan haid juga hanyalah sementara ketika menggunakan Mirena tetapi selepas Mirena dikeluarkan, kedatangan haid akan pulih seperti biasa.


PERANCANGAN untuk menambah ahli keluarga perlu dibuat oleh setiap pasangan. - Gambar hiasan


Kebanyakan pengguna turut menyatakan kebimbangan ketiadaan haid itu menandakan terjadinya kehamilan.

Ho berkata, selain itu, aktiviti hormon juga tidak terjejas walaupun tanpa kedatangan haid.

Menurutnya, ovari tetap melepaskan hormon sepertimana sebelum Mirena disisipkan dan pengovulan tetap berlaku seperti biasa kerana Mirena memberikan kesan setempat sahaja.

Beliau turut menyatakan wanita yang tidak mengalami kedatangan haid selepas memakai Mirena tidak bermakna sudah putus haid kerana fungsi ovari tidak terjejas dan hormon tetap dilepaskan secara normal.

Kemungkinan untuk hamil dengan Mirena adalah terlalu tipis.

Bahkan, menurut kajian yang dilaksanakan ke atas 1,000 wanita yang menggunakan Mirena selama setahun, hanya satu atau dua orang sahaja berkemungkinan hamil. - Bernama

Varia!»

Perancangan pewarisan harta

PEWARISAN harta membolehkan kita membantu saudara-mara miskin atau anak angkat yang tidak dikategorikan sebagai waris dalam hukum faraid. Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31