DUNIA

23 maut kerana RM11.11 sen

23 maut kerana RM11.11 sen


BEBERAPA wanita diasak di pekarangan rumah keluarga Haji Syaikhon semalam.


JAKARTA - Majlis pengagihan wang zakat oleh sebuah keluarga hartawan di bandar Pasuruan, Jawa Timur bertukar menjadi tragedi apabila sekurang-kurangnya 23 orang maut manakala sembilan lagi cedera kerana berasak-asak, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang ketua polis tempatan, Harry Sitompul berkata, beribu-ribu orang berhimpun di luar rumah keluarga Haji Syaikhon di bandar yang terletak 800 kilometer ke timur Jakarta untuk menerima wang 30,000 rupiah (RM11.11 sen) setiap seorang.

Pemberian wang zakat itu diadakan pada setiap tahun sempena Ramadan oleh keluarga tersebut.

Menurut seorang saksi, Abdul Rachim, orang ramai dari kampung sekitar Pasuruan mula berhimpun di pekarangan rumah Haji Syaikhon seawal jam 6 pagi waktu Indonesia.


ORANG ramai berasak-asak untuk mendapatkan wang di luar rumah keluarga Haji Syaikhon, Pasuruan semalam.


Pemuda itu memberitahu menjelang dua jam selepas itu, jumlah mereka yang berhimpun bertambah sehingga lebih 2,000 orang.

Lebih ramai orang tiba di lokasi kejadian dan apabila majlis pengagihan wang bermula pada pukul 10 pagi, orang ramai berasak-rasak menyebabkan rempuhan berlaku.

Rakaman televisyen menunjukkan kebanyakan mangsa adalah wanita yang menjerit apabila mereka diasak, ditolak dan dihimpit ke bahagian pagar di luar rumah keluarga Haji Syaikhon.


SEORANG wanita menangis selepas ibunya meninggal dunia dalam kejadian rempuhan di Pasuruan semalam.


Harry berkata, mangsa-mangsa mati akibat dipijak dan kekurangan oksigen.

Seorang wanita, Lusiana yang dirawat di Hospital Besar Pasuruan memberitahu bahawa dia pergi ke rumah keluarga Haji Syaikhon bersama tiga rakannya.

"Terdapat ramai orang di sekitar rumah itu, berlaku insiden tolak-menolak dan kami terperangkap. Saya tidak dapat bertahan lagi dan pengsan," katanya.

Ketika mengulas mengenai tragedi itu, seorang lagi pegawai polis, Senior Komisioner Rusli Nasution memberitahu agensi berita Antara bahawa keluarga Haji Syaikhon tidak meminta bantuan polis bagi mengawal majlis itu.

"Beberapa anggota keluarga itu sedang disiasat. Kami tentunya tidak mahu insiden seperti itu berlaku sekali lagi pada masa depan," katanya.

- Agensi

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 594