RENCANA UTAMA

Cinta lagu 'orang tua'

Cinta lagu 'orang tua'

Lagu-lagu ini adalah lagu orang tua dan ketinggalan zaman, tetapi pada kami, ia mempunyai keindahan tersendiri.


SABIHAH Abdul Wahid (kiri) dan Hasraniza Dollah merasakan jiwa mereka lebih serasi dengan lagu-lagu asli dan tradisional.


KALA remaja dan belia di luar sana bersiulan irama pop dan nuansa muzik moden, terdapat segelintir daripada mereka tegar mengalun lagu-lagu asli khazanah ibunda. Biar disifatkan menongkah arus, namun pendayung yang digenggam erat di tangan tidak akan disongsang beralih arah. 'Perahu' lagu-lagu Melayu asli, walau apa pun berlaku, harus dibawa ke destinasi yang sewajarnya.

Tiada rasa canggung dan tiada rasa jelik. Ibaratnya, lenggok lagu tradisional Melayu asli seperti Seri Mersing dan Tari Tualang Tiga tidak pernah kontang dari nuraninya. Bukan menafikan arus waktu, namun warisan sejati seharusnya disayangi dan dibajai agar terus subur.


HASRANIZA memenangi Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008.


Biarpun masih berusia awal 20-an, Hasraniza Dollah dan Sabihah Abdul Wahid, merasakan jiwa mereka lebih serasi dengan lagu-lagu Melayu asli dan tradisional. Meski lagu-lagu seumpama itu digelar 'lagu orang tua' oleh rakan sebaya, namun ia tidak menjadi halangan untuk mereka menzahirkan kecintaan pada lagu-lagu itu yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.

"Memang orang kata, lagu-lagu ini adalah lagu orang tua dan ketinggalan zaman, tetapi pada kami, ia mempunyai keindahan tersendiri. Kami tidak melakukannya kerana populariti, sebaliknya memperjuangkannya agar ia tidak luput ditelan zaman.

"Kami menyanyikan lagu-lagu yang kami sendiri tidak tahu siapa pencipta dan penyanyi asalnya," kata Hasraniza, 21, yang menjuarai kategori wanita, Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008 ketika ditemui Kosmo!.

Pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) ini diadakan dengan kerjasama RTM.

Hasraniza bukanlah lahir dalam keluarga yang dibesarkan dengan lagu-lagu Melayu asli. Dia lahir di Limbang, Sarawak. Kala lagu Cindai nyanyian Datuk Siti Nurhaliza Tarudin popular sedekad lalu, rasa suka terhadap lagu berirama tradisional mula bertandang. Namun, cintanya kepada irama ini hanya bercambah apabila sekolahnya menganjurkan bengkel lagu asli ketika dia berada di tingkatan 1.

"Hanya setelah sekolah saya menganjurkan bengkel lagu asli, barulah saya mula diperkenalkan dengan lagu-lagu seperti Siti Payung. Lidah saya belajar mengalunkan lagu-lagu sebegitu. Lama-kelamaan melodi dan lagu irama asli semakin meresap kuat ke dalam diri saya. Tambah pula, saya percaya, saya juga dikurniakan bakat untuk mendendangkan lagu Melayu asli," katanya.




Sejak itu, Hasraniza nekad untuk mendalami lagu-lagu tradisional. Kerana itulah, dia kini melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan vokal tradisional.

"Lagu asli punya keistimewaan tersendiri. Ia banyak patah lagu, kaya lenggok suara dan alunannya lembut, berbeza dengan jalur-jalur muzik yang lain.

"Memang liriknya banyak menggunakan kiasan dan adakalanya susah difahami. Kalau ada masalah memahami lirik, saya akan rujuk kepada pensyarah," katanya yang berguru dengan pensyarah yang dikaguminya, Rahim Jantan.

Melihat penyertaan sulungnya dalam pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008 mencapai kejayaan gemilang, api semangatnya untuk memartabatkan irama tradisional semakin marak. Ia memperkuatkan lagi keyakinan kepada bakatnya terhadap irama sedemikian.


TIDAK ramai remaja yang sanggup mengenengahkan lagu-lagu irama asli. – Gambar hiasan


Menyanyikan pelbagai rentak lagu asli, ghazal, zapin, inang, masri, joget, keroncong dan sebagainya, Hasraniza menyifatkan irama ghazal antara yang paling susah untuk dinyanyikan.

"Kalau ada masalah dalam nyanyian, saya selalu berbincang dengan rakan saya yang lebih senior seperti Sabihah," katanya sambil melirik pandang ke arah rakannya itu yang juga merupakan penuntut di ASWARA.

Sabihah punya kisah sedikit berbeza, namun berkongsi matlamat yang serupa - selain berkongsi lagu asli kegemaran yang sama iaitu Sembawa Balik. Sabihah, 23, anak kelahiran Batu Pahat, Johor dibesarkan dalam 'keluarga ghazal'.

Neneknya, Allahyarhamah A. Aishah merupakan guru kepada penyanyi Rosiah Chik dan bapanya merupakan pemuzik ghazal.

"Sejak umur tujuh tahun lagi, halwa telinga saya sudah acap kali diperdengarkan dengan irama ini. Semakin saya membesar, irama ini terus bertakhta di hati," kata Sabihah yang terlebih dahulu melakar kejayaan berbanding Hasraniza. Sabihah merupakan juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2007.

Ditanya tentang kesukaran membawa lagu-lagu asli, Sabihah berkata, ia memang sukar untuk dinyanyikan.

"Ada banyak rentak yang dikategorikan lagu-lagu asli. Setiap rentak lagu asli berbeza cara membawanya. Misalnya, ghazal lenggoknya keras sedikit.

"Itulah sebabnya, ada yang menyifatkan, jika seseorang itu boleh menyanyikan lagu-lagu asli, boleh dikatakan 95 peratus daripada rentak lagu yang lain seperti pop dan sebagainya dapat dinyanyikan dengan baik. Tetapi, mereka yang boleh menyanyikan lagu berentak pop dan sebagainya, belum tentu boleh membawa lagu irama asli," ujarnya.

"Buat masa ini, saya belum terfikir untuk menghasilkan album walaupun ada sokongan daripada pihak-pihak tertentu. Bagi saya, saya pentingkan ilmu terlebih dahulu.


LAGU asli dan klasik masih kekal hingga kini, diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.


Semangat untuk mengetengahkan irama asli turut membawa Sabihah dan Hasraniza bersama beberapa rakan lain mencuba nasib dalam program Gangstarz dengan menubuhkan kumpulan Bidyarani. Namun, hajat mereka untuk menjadi kumpulan yang layak bertanding ke peringkat kaca televisyen tidak kesampaian.

Ditanya bagaimanakah pendirian mereka jika ada rakan remaja memperlekehkan apa yang mereka perjuangkan, Sabihah dan Hasraniza sepakat.

"Lagu asli telah berusia ratusan tahun. Uniknya, ia masih ada sehingga sekarang. Guru-guru kami pernah menjadi muda dan mereka memilih jalan ini. Kami cuma generasi penyambung daripada apa yang telah dilakukan agar ia terus lestari. Jika mereka memperlekehkan lagu-lagu irama ini, samalah seperti mereka mempersenda budaya mereka sendiri," tegas mereka.

Nafas kena panjang

PENGLIBATAN remaja perempuan dalam irama asli atau tradisional mungkin lebih baik berbanding remaja lelaki. Difahamkan juga, jumlah remaja lelaki yang mengambil jurusan dalam vokal tradisional tidak seramai remaja perempuan.

Namun, bagi pemenang Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008 kategori lelaki, Azizzul Haqim Md. Anuwar, lagu Seri Mersing telah mula diminatinya sejak umur 10 tahun lagi ekoran ibunya peminat lagu-lagu asli.

“Kena kutuk, kena perli dengan kawan-kawan memang sudah biasa. Mereka kata saya nyanyi lagu nenek-nenek. Tetapi, apabila melihat saya serius dan berusaha memasuki pertandingan demi pertandingan lagu asli, lama-lama mereka faham minat saya dan memberi sokongan,” katanya ketika dihubungi di rumahnya di Kluang, Johor.


AZIZZUL HAQIM MD. ANUWAR memenangi Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008 di RTM.


Ditanya mengapa remaja lelaki kurang meminati lagu-lagu sebegini berbanding perempuan, Azizzul, 20, berkata, ia mungkin kerana sifatnya yang perlahan, mendayu-dayu dan kurang agresif.

“Mungkin juga ada antara mereka yang berbakat tetapi segan, tidak berkeyakinan atau mungkin juga kurang pendedahan. Lihat sahajalah penyanyi tradisional lelaki di negara kita, boleh dikira dengan jari,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan keluarga sendiri.

Sejak berumur 10 tahun lagi, Azizzul menyertai pertandingan lagu-lagu asli. Pada tahun 2002, dia berjaya melayakkan diri ke peringkat negeri Johor dan pada tahun 2006 menjadi naib johan peringkat negeri. Tidak mengenal putus asa, dia mencuba lagi pada tahun 2007 dan berjaya sampai ke peringkat separuh akhir kebangsaan sebelum menempa kejayaan bermakna pada tahun 2008 dengan menjuarai peringkat kebangsaan.

Meminati lagu Seri Banang, Azizzul berkata, menyanyikan lagu asli memang sukar kerana ia memerlukan nafas yang panjang.

“Saya perlu mengekalkan stamina dalam nyanyian dengan melakukan joging dua atau tiga kali seminggu serta membanyakkan latihan,” katanya yang turut berguru dengan johan pertandingan asli kebangsaan 1994, Rahman Kamaruddin.

Process time in ms: 47