HIBURAN

Chunk cabar Tony, Melissa

Chunk cabar Tony, Melissa


MELISSA dan Tony berpasangan sebagai suami isteri dan muncul dengan watak berbeza.


KERJAYA sebagai pelakon tiada ertinya jika tidak melakonkan watak hebat yang mampu mencabar kredibiliti seseorang pelakon itu. Justeru bagi merealisasikannya, setiap pelakon perlu mencari peluang untuk meraih watak yang berbeza setiap kali muncul di arena lakonan.

Perkara ini turut dihadapi dua pelakon berwajah kacukan, Melissa Maureen dan Tony Eusoff yang biasa dilihat melakonkan watak-watak yang selesa dengan pembawaan diri mereka.

Melissa yang mencipta nama menerusi siri TV, Gol dan Gincu biasa dilihat melakonkan watak-watak gadis yang lemah lembut, sementara Tony pula banyak melakonkan watak-watak serius.

Namun pengarah komedi terkenal Azizi Adnan atau nama glamornya, Chunk mahu mencabar kredibiliti lakonan Maureen dan Tony menerusi drama terbaru arahannya berjudul, Ceraiya.

Drama ini hanya boleh ditonton secara online di gua.com.my bermula 1 September lalu dari Isnin hingga Jumaat. Setiap episod digarap dalam tempoh empat minit itu menampilkan Maureen dan Tony menerusi watak sepasang suami isteri, Niki dan KP. Mereka tidak sehaluan dan ingin bercerai sebelum menjelang Aidilfitri, tetapi mereka terpaksa menangguhkannya kerana ayah KP diserang penyakit jantung.

Sepanjang perjalanan balik kampung untuk beraya bersama keluarga Niki, pelbagai peristiwa pahit manis yang ditempuhi pasangan ini dan telah membuka mata KP dan Niki tentang erti sebuah perkahwinan.

Menurut Chunk, menerusi drama tersebut dia bermatlamat ingin membawa kegembiraan kepada masyarakat yang menghadapi tekanan dan masalah kehidupan pada masa kini.

Walaupun Ceraiya menceritakan tentang keruntuhan sebuah rumah tangga, drama 15 episod ini disulami unsur-unsur komedi yang pastinya boleh dijadikan pengajaran dan iktibar buat penonton.

Chunk yang menegaskan dirinya sebagai seorang yang suka mencabar diri sendiri ingin membawa sesuatu yang agak berbeza dengan mengarah seseorang pelakon bagi menghidupkan watak yang agak berbeza.

Cabaran itu diserahkan kepada pelakon-pelakon supaya mereka dapat menunjukkan kehebatan masing-masing tatkala melakonkan perwatakan yang berbeza itu.

"Bagi seseorang pelakon yang berjaya, mereka harus boleh membawa perwatakan yang agak berbeza dan mencabar supaya mereka dapat menunjukkan kehebatan sebenar mereka," tegas Chunk.


CHUNK (tiga dari kanan) bersama pelakon-pelakon yang menjayakan drama Ceraiya.


Mengulas mengenai watak KP yang dilakonkan Tony, kata Chunk, Tony sudah biasa melakonkan watak-watak serius tetapi dia ingin melihat sisi humor dalam diri Tony muncul menerusi watak tersebut.

"Saya pernah mendengar bahawa Tony merupakan seorang yang kelakar. Oleh itu, saya pilih dia bagi watak utama dalam drama ini supaya dia boleh berlakon dengan gaya tersendiri," ujarnya.

Melissa jadi ganasMenerusi watak Niki lakonan Melissa pula, ia menyediakan cabaran buat Melissa kerana watak itu adalah sebagai isteri yang panas baran dan bersikap ganas selain kelakar.

"Ia merupakan satu ujian kepada Melissa yang perlu membawa watak agak kelakar, ganas, dan panas baran, walaupun begitu beliau telah memberikan lakonan yang memuaskan," jelas Chunk.

Menjadikan Steven Chew sebagai pengarah idolanya, Chunk bermatlamat ingin menghasilkan karya komedi yang dapat bersaing dengan karya komedi antarabangsa.

Bagi merealisasikannya, Chunk memberi kebebasan kepada para pelakon di bawah arahannya dalam menghidupkan watak mereka.

Menurutnya, skrip dan lakonan yang kelihatan seperti mengarut dihasilkan supaya lakonan para pendukung watak kelihatan tidak terhad dalam suatu lingkungan sahaja di samping membolehkan pelakon menghayati lakonan dengan selesa.


Process time in ms: 78