RENCANA UTAMA

Nadi Kuala Lumpur

Nadi Kuala Lumpur

Selepas lebih tujuh dekad beroperasi, Jalan TAR terus menjadi nadi kepada bandar raya ini.




JALAN Tuanku Abdul Rahman kekal sibuk sejak lebih setengah abad lalu. Sebut saja Jalan TAR, pasti terbayang suasana manusia berpusu-pusu dan deretan kenderaan yang menderu melintasi jalan utama di pusat bandar raya Kuala Lumpur itu.

Melepasi waktu pejabat, persekitaran menjadi lebih meriah tatkala lampu-lampu neon jalan dinyalakan. Bayangkan pula ia bersulam dengan cahaya daripada lampu kereta.

Menjadi destinasi orang ramai yang mencari fabrik, permaidani dan pakaian siap daripada pelbagai pilihan, syurga tekstil ini tidak pernah putus pengunjung.

Laluan sepanjang 1.9 kilometer ini pada asalnya dinamakan Jalan Batu sebelum ditukar kepada Jalan Tuanku Abdul Rahman sempena nama Yang di-Pertuan Agong yang pertama, pada tahun 1960 iaitu tiga tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Daripada landskap yang dipenuhi paya, sawah bendang, ladang getah dan ladang kelapa, kesemuanya ditukar kepada bangunan kedai dan pusat perniagaan.

Selepas lebih tujuh dekad beroperasi, Jalan TAR terus menjadi nadi kepada bandar tua ini.

Bangunan-bangunan lama seperti Coliseum, Shoe Central, A&W, P. Lal Store dan banyak lagi masih berdiri dan beroperasi. Biarpun tidak serancak suatu ketika dahulu, setiap satunya mampu menarik kelompok tertentu.

"Panggung wayang ini sentiasa ada filem untuk ditayangkan. Sesebuah judul ditayangkan selama seminggu. Sekali dalam sebulan, iaitu Sabtu keempat, filem Melayu akan ditayangkan. Selebihnya ialah filem Tamil.

"Penonton tak penuh panggung tetapi sentiasa ada. Musim cuti sekolah ramai. Paling ramai apabila kami tayang filem Rajnikanth dan Kamal Hassan.


SANSIWAR asyik melayan pelanggan di lot kedai No. 4, Lorong Bunus 6.


"Panggung penuh selama tiga minggu berturut-turut," penjaga panggung, Md. Ramjan Jali, bercerita.

Tambahnya, disebabkan kedudukannya di tengah-tengah pusat bandar, orang ramai mudah singgah untuk mengisi masa yang ada dengan menonton filem yang diputarkan.

Melihat orang ramai lalu lalang di ruang lobinya, beberapa orang diperhatikan membaca poster filem Tamil yang baru ditampal. Ada yang menjenguk kaunter untuk mencari waktu tayangan. Ada juga yang sekadar berlalu pergi selepas itu.

"Bangunan ini, bersama-sama kafe dan hotelnya, berada di bawah jagaan Badan Warisan Negara. Walaupun tidak ada masalah besar, usaha pemuliharaan sama ada dari segi struktur atau kebersihan sentiasa dilakukan," jelas pengurus bangunan, Sofie, 31, yang mengambil alih pengurusan operasi bangunan itu sejak 10 tahun lalu.

Bangunan yang diwarisi peguam Chua Guan Hock daripada bapanya, Dr. Chua Boon Teck dan Madam Khor Joo Saik, ini suatu ketika dulu dapat memuatkan 888 kerusi. Bagaimanapun ia menjalani perubahan apabila tempat duduk ditukar baru. Lebih luas dan selesa, bilangan tempat duduk berkurang kepada 828.

Bangunan lama yang dibina sejak 1920 ini masih mengekalkan ciri kolonialnya. Bilik projektornya juga masih menyimpan projektor yang berusia lebih kurang 15 tahun, spoon yang berusia lebih tua daripada pengurusnya sendiri dan pemutar filem yang sedia ada sejak bangunan ini dibina.

"Walaupun panggung wayang lama, kami mempunyai sistem bunyi terbaru dengan tujuh amplifier dan sistem platter yang dapat memudahkan urusan menggulung filem," jelas juruteknik bilik projektor, K. Vellu, 58.

Di depan bangunan Coliseum, Laman Tuanku Abdul Rahman membentangkan sebuah kawasan yang sekali-sekala dihiasi pemandangan artis melayahkan berus membuahkan nukilan kreativiti masing-masing.

Andai ada acara rasmi, di situ jugalah pentas didirikan dan persembahan seni diadakan.

Jalan TAR tidak sedikit pun lengang. Bersambung dengan Jalan Raja Laut yang menempatkan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Sime Darby, dan kampus Cosmopoint serta bank dan pejabat, kenderaan dari pelbagai jenis bertali arus.


GEDUNG TEKSTIL Kamdar antara yang masih menjadi destinasi beli-belah di Jalan TAR.


Dilengkapi pelbagai kemudahan pengangkutan awam, daripada bas, teksi sehinggalah kepada Transit Aliran Ringan (LRT), pemandangan orang ramai melintas jalan dan berjalan kaki begitu lazim di sini.

Melewati lot-lot kedai tudung dan kain yang berderet di Lorong Bunus 6 yang bercabang dari Jalan TAR itu, seorang peniaga wanita yang asyik melayan pelanggan berkongsi pengalamannya berniaga di salah sebuah jalan yang tersibuk di Kuala Lumpur itu.

"Pernah pada Januari 1972, pada hari kedua mak cik berniaga di sini, Kuala Lumpur dilanda banjir besar. Pada waktu itu, polis meminta kami menghentikan operasi. Lama juga banjir itu.

"Kami tutup kedai lebih kurang seminggu. Tapi selepas itu tidak ada lagi kejadian sebesar itu yang sehingga membuatkan kami tutup kedai," kongsi Sansiwar Mogek, 52.

Mengakui menerima tempias daripada pergolakan politik yang sekali-sekala melanda negara, Sansiwar bagaimanapun bersyukur kerana tidak ada satu pun daripadanya menjejas periuk nasinya.

Berniaga sejak lebih 37 tahun yang lalu, Sansiwar, yang mulanya menyambung perniagaan abangnya menerima tempahan menjahit baju, juga melalui perubahan jenis perniagaan apabila kemudiannya menjual kain tudung dan baju kurung pasang siap.

"Pembeli tidak pernah putus. Bukan dari Malaysia saja, ada yang datang sejauh dari Australia, Brunei, Singapura dan negara-negara dari rantau luar Asia yang lain.

"Ada yang datang semula selepas kunjungan pertama, dan ada juga yang menelefon minta diposkan tudung-tudung ini ke tempat mereka," katanya.

"Pelanggan sama ada mendapatkan tudung daripada jenis yang sama atau bertanyakan tudung daripada trend terbaru. Apabila ada yang mencari tudung yang kami tidak bekalkan, kami terima tempahan dan akan mencarinya untuk mereka. Kami akan bantu yang mana termampu," ujar Sansiwar.

Daripada hasil perniagaan di situ, ibu tunggal ini dapat menyekolahkan anak tunggalnya sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Melintasi kompleks beli-belah Sogo dan singgah ke Kompleks Pertama, pandangan diasak dengan pelbagai barang jualan, daripada yang paling canggih sehinggalah kepada barangan tradisional.

Jalan TAR bukan saja menempatkan aktiviti perdagangan atau komersial, malah turut memainkan peranan sebagai pusat kebudayaan, pentadbiran dan pendidikan.


K. VELLU meneruskan operasi penayangan filem di Pawagan Coliseum.


Memberi kehidupan kepada bandar batu Kuala Lumpur, ia berbeza berbanding Washington DC dan Canberra yang memainkan fungsi sebagai ibu kota pentadbiran semata-mata atau New York yang mengkhusus sebagai pusat komersial atau perdagangan.

Nah, ibu kota Malaysia sudah tidak mengikut acuan bekas penjajahnya. Biarpun mengekalkan beberapa tinggalan Inggeris, peranan yang dimainkan bangunan-bangunan yang ada adalah mengikut pembentukan rakyatnya sendiri.

Sama ada Kuala Lumpur akan tersungkur atau terus 'bernyawa', penghuninya yang akan menentukan. Pendek kata, selagi mereka mahu Kuala Lumpur hidup, ia tidak akan mati.

Process time in ms: 16