VARIA

Nasi ayam Periuk Besar

Nasi ayam Periuk Besar


SELAIN nasi ayam, restoran ini juga menawarkan ikan bakar.





ADAKAH anda seorang penggemar nasi ayam? Berapa banyak tempat yang sudah anda jelajah untuk merasai keenakan nasi ayam? Bagi penduduk sekitar Kuala Lumpur, jangan lepaskan peluang untuk mencuba keenakan nasi ayam di restoran Nasi ayam periuk besar di Kota Damansara.

Dimiliki oleh Hairul Richy Nor Baharum, restoran ini mula beroperasi sejak 4 Ogos lalu. Ia menawarkan tiga jenis menu hidangan nasi ayam. Beroperasi secara francais, restoran ini cukup terkenal di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Antara menu hidangan nasi ayam yang terdapat di restoran ini ialah nasi ayam madu, nasi ayam panggang dan nasi ayam dot my. Turut disajikan ialah nasi ayam kampung. Keistimewaan yang terdapat pada nasi ayam di sini adalah penggunaan rempah yang menggabungkan rempah Siam dan tempatan.

Menurut Hairul Richy, beliau memulakan restoran ini selepas merasai keenakan nasi ayam di Sungai Rub, Kulim, Kedah. Restoran itu adalah restoran induk di Kota Damansara. Setelah berbincang dengan saudara terdekat, beliau tekad untuk mencuba membuka restoran ini dengan kerjasama rakan-rakan yang lain.

"Restoran ini beroperasi bermula pukul 11 pagi sehingga tengah malam. Kami melatih tukang masak di restoran induk sebelum menggunakan khidmat mereka. Barang-barang mentah seperti rempah dihasilkan oleh syarikat induk," ujarnya.

Restoran ini juga menawarkan ikan bakar. Terdapat beberapa jenis hidangan ikan bakar iaitu ikan bakar segar, ikan panggang dan ikan goreng dot my.

"Kami menyediakan ikan pari, ikan merah, ikan kembung, ikan keli, tilapia dan mas merah. Mas Merah ialah klon daripada ikan merah dan ikan talapia. Ikan bakar mula dijual sekitar pukul 4 petang sehingga malam," ujar beliau yang pernah berlakon dalam siri Mat Despatch.

"Selepas ini, kami akan membuka cawangan di Perak. Saya harap sambutan yang diterima kelak memberangsangkan," tambahnya.

Selain di Kuala Lumpur, restoran Nasi Ayam Periuk Besar juga mempunyai cawangan di Shah Alam, Selangor. Menurut pengasas restoran Nasi Ayam Periuk Besar, Mohd Zaidi Mohd Nor, beliau memulakan perniagaan ini sejak 14 tahun lalu dan kini mempunyai lebih 20 cawangan antaranya di Kedah, Perlis, Perak dan Selangor.

"Kesemua ramuan dan rempah yang digunakan dalam masakan ini disediakan oleh isteri saya, Noriza Abdul Aziz. Semua bahan-bahan seperti sos untuk ayam dan kicap dihasilkan menggunakan ramuan yang dicipta sendiri," ujar beliau yang mempunyai perusahaan di Sungai Rub, Kulim.

Beliau yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin memberitahu: "Kemahiran yang saya miliki ini memberikan kelebihan kepada saya untuk berkomunikasi dengan pelanggan Cina. Ada juga pelanggan saya datang dari Hong Kong dan Jepun. Mereka singgah menjamu selera di restoran saya di Sungai Rub, Kulim, Kedah.

Keenakan nasi ayam di restoran ini sangat membangkitkan selera dan anda patut datang ke sini untuk mencuba sendiri nasi ayam yang sedap ini. Jangan lupa, nikmati juga ikan bakar bersama sos istimewa. Harga yang ditawarkan amat berpatutan dan anda pasti berpuas hati dengan mutu makanan yang disajikan.

Di restoran ini, sistem layan diri digunakan. Jadi, pengunjung yang datang ke restoran ini, boleh memilih bahagian ayam yang mereka kehendaki.

Bagi nasi ayam, harga yang ditawarkan berlainan mengikut jenis ayam yang di pilih. Bagi hidangan Nasi Ayam Madu, harganya ialah RM5.50 sepinggan manakala Nasi Ayam Panggang berharga RM6.00 sepinggan. Nasi Ayam Dot My pula berharga RM6.50 sepinggan. Selain itu, harga yang ditawarkan untuk Nasi Ayam Kampung ialah RM7 sepinggan.

Process time in ms: 16