SUKAN
Elaine tersingkir awal

BEIJING - Cabaran negara dalam acara taekwondo pada Sukan Olimpik XXIX kini digalas Che Chew Chan selepas rakan senegaranya, Elaine Teo tersingkir bagi kategori 57 kilogram semalam.
Kegagalan Elaine itu menyaksikan Chew Chan adalah atlet tunggal negara yang masih menggalas hajat kontinjen Malaysia bagi menghadiahkan pingat selepas pemain badminton negara, Lee Chong Wei meraih perak sebelum ini.
Pada pusingan pertama pagi semalam, Elaine tewas 4-7 kepada bekas juara Eropah, Azize Tanrikulu dari Turki.
Disebabkan Azize berjaya mara ke pusingan akhir, Elaine mempunyai peluang meraih pingat apabila turun buat kali kedua dalam saingan repechage di mana dua gangsa menjadi rebutan.
Seandainya dia menang, Teo berpeluang merebut pingat gangsa dengan berdepan atlet Itali, Veronica Calabrese.
Begitupun, bekas juara dunia, Diana Lopez berjaya menyekat hasrat Elaine untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa apabila atlet Amerika Syarikat itu menang 3-0 dalam pusingan pertama repechage.
"Saya tetap puas hati walaupun kalah pagi tadi (semalam). Tetapi saya agak kecewa dalam kategori repechage kerana saya tidak dapat menyerang balas Lopez.
"Saya hanya menantinya melakukan serangan dan dia pula menggunakan strategi yang sama.
"Jika saya memulakan serangan, dia akan mudah memerangkap saya," kata Elaine.
Sebelum ini, Elaine menghadapi beberapa masalah dalam penyertaan keduanya pada temasya Olimpik.
Ekoran kesilapan pada borang penyertaan di peringkat kelayakan Asia, dia terpaksa bertanding bagi kelas lebih tinggi dan terpaksa menambah berat badannya sehingga empat kilogram.
"Saya beraksi dalam kelas dua yang lebih tinggi daripada biasa. Selepas ini saya akan mengurangkan berat badan saya untuk kembali ke kelas 51kg," kata Elaine yang tewas pada pusingan pertama kategori 47kg pada temasya di Athens empat tahun lalu.
Esok Chew Chan akan turun menggalas cabaran negara dalam kategori 67kg di Gimnasium Universiti Sains dan Teknologi Beijing. - Bernama

Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.



Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


