HIBURAN

Buah hati baru Hattan?

Buah hati baru Hattan?


JIWA rock dan kehidupan sosial bergelar artis tidak menjadi alasan buat Hattan menyahut seruan mengerjakan haji ketika tubuhnya masih berkudrat.


DUDA popular bernama Hattan ini tidak mampu mengelak apabila tampil bersama seorang gadis tinggi lampai pada majlis kesyukuran dan doa selamat penggambaran telemovie terbaru lakonannya, Hanya Aku di Rumah Pengasih, baru-baru ini.

Lirik matanya nakal saat dikerling para wartawan. Yang nyata, lelaki berusia 43 tahun ini arif benar dengan mata-mata yang memerhatikannya, terutama tatkala ada wanita cantik menemaninya ketika berpergian.

Sebelum bersama gadis yang dikatakan berasal dari daerah kelahirannya ini, Hattan pernah dikaitkan dengan beberapa nama popular seperti Farah Dhiya, Kat Mentor dan Siti Elizad.

Mengenali Hattan, dia bukan jenis yang gemar memberi jawapan no comment. Dengan selamba gadis yang tampil ayu berkebaya dan berkain batik ini diperkenalkannya sebagai Wawa.

"Kalau dalam ayat yang klise, kami sedang mengenali hati-budi masing," beritahu penyanyi judul Memburu Rindu ini berseloroh.

Seperti biasa, dia tidak mahu terburu-buru bercerita lebih jauh atau apa sahaja berhubung soal hati dan perasaan. Kata Hattan, cukuplah sekadar dia bersikap terbuka dan mengakui bahawa gadis berusia 25 tahun yang baru dikenali sejak beberapa bulan itu sedang bertakhta sebagai 'kawan' di hatinya.

"Saya nak kenal dia lebih dalam lagi, sebab itulah saya ikhlas bawa dia bersama. Saja nak kenalkan dia dengan apa yang saya buat sekarang, tentang Rumah Pengasih, kami berkawan-kawan jelah bukannya bercinta-cinta," ujar Hattan bertegas.

Sepanjang perbualan, anak lelakinya, Adam Iman tidak mahu berganjak dan sesekali mencelah tidak selesa ayahnya berkali-kali diasak persoalan yang serupa berulang-kali.




Faham benar keletah anak tunggalnya itu, Hattan menjelaskan, Wawa seorang gadis berpendidikan dan jika hubungan mereka bisa berpanjangan, Wawa boleh membantunya merealisasikan impian untuk membuka sebuah taska, satu hari kelak.

Tentang hubungan ini, tidak banyak yang boleh dikongsi bersama kerana apa yang bermula masih lagi terlalu awal untuk direncanakan.

Bakal bergelar Haji

Di sebalik kisah terbaru ini, Hattan sebenarnya ada perkhabaran manis yang pastinya menggembirakan semua.

Jika diizinkan Tuhan, hajat besar Hattan mahu mengerjakan haji ke Tanah Suci Mekah akan termakbul hujung tahun nanti.

"Buat masa ini saya masih menunggu jawapan rasmi. Saya difahamkan keputusan kuota haji akan dikeluarkan pihak Tabung Haji sekitar minggu ini atau minggu depan.

"Insya-Allah, kalau segala-galanya berjalan lancar, saya dan Adam akan berangkat ke Mekah pada 29 November nanti," luah Hattan yang sebelum ini pernah sekali menunaikan umrah juga bersama anaknya, Adam sekitar pertengahan tahun, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai lakonannya sebagai Jamil menerusi telemovie Hanya Aku yang turut dibintangi oleh Que Haidar dan Sheila Rusly itu, Hattan mengakui, walaupun lakonan bukan fokus seninya, inilah kali pertama dia menikmati istilah puas terhadap apa yang telah dilakukan menerusi drama itu.

Jelas Hattan, sebelum ini perasaan yang sama pernah dirasainya menerusi filem Selubung, berbelas tahun lalu.

"Karakter Jamil beri banyak ruang untuk saya luahkan emosi yang selama ini tak ada dalam watak-watak yang pernah saya jayakan.

"Terus-terang saya katakan, saya terima tawaran berlakon drama ini bukan kerana duit tetapi kerana watak yang ditawarkan. Bekerja dengan JS Pictures juga satu pengalaman yang seronok dan saya sukakan cara mereka bekerja," beritahu Hattan memuji produksi milik Azman Yahya atau Jinggo dan isterinya, Sheila Rusly.

Hanya Aku sebuah drama yang mengisahkan kehidupan para penagih yang tinggal di Rumah Pengasih meletakkan Hattan sebagai Jamil, penagih dadah yang sudah beristeri, lakonan Wan Norazlin.


ANAK dan wanita sememangnya dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam diari peribadi Hattan.


Sambil mengagumi keberkesanan lakonan Wan Norazlin yang lama menyepi dari bidang lakonan, Hattan menyifatkan keterlibatannya menerusi drama ini sebagai satu sumbangan totalnya terhadap masyarakat dalam usaha memerangi dadah secara habis-habisan.

"Kalau tak banyakpun, saya harap penonton akan dapat iktibar menerusi lakonan kami semua," beritahu Hattan yang sebenarnya tidak sabar menanti kemunculan Hanya Aku yang dijadualkan ke udara di saluran Astro menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47