KESIHATAN

Bunyi bising Tourett

Bunyi bising Tourett

Besar kemungkinan bunyi bising yang dilakukan oleh anak anda adalah tidak disengajakan. Sebaliknya ia berpunca daripada Sindrom Tourett yang dapat dikelaskan sebagai gangguan mental.




ANAK bongsu pasangan Sulaiman dan Mariah, Suhaimi, 9, sering dimarahi teman sepermainan. Malah guru di sekolahnya juga perlu memberi arahan yang berulang agar Suhaimi diam ketika sesi pembelajaran berlangsung.

Kata mereka, Suhaimi suka buat bising. Normal secara fizikal, Suhaimi bagaimanapun sering menghasilkan bunyi yang pelik dan kadangkala menjengkelkan seperti mendengus berulang kali.

Namun mereka tidak tahu, malah ibu bapa Suhaimi juga tidak menyedari, bahawa Suhaimi tidak melakukannya dengan sengaja. Sebaliknya apa yang berlaku adalah di luar kawalan Suhaimi.

Menurut Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Wan Salwina Wan Ismail, sindrom ini berkait rapat dengan gangguan pada otak. Ia dikenal pasti sebagai Sindrom Tourett (ST).

“Untuk mengenal pasti sindrom ini, gejala-gejalanya adalah tic. Tic adalah pergerakan atau pertuturan berulang-ulang yang berlaku secara spontan dan di luar kawalan,” katanya.

Tambah Wan Salwina, tic terbahagi kepada dua. Tic motor, seperti kelipan mata, pergerakan kepala atau bahu, mimik muka dan sebagainya.

Tic vokal pula termasuklah batuk, echolalia (menyebut perkataan yang sama berulang kali), coprolalia (menyebut perkataan lucah berulang kali) dan banyak lagi.


PENGHIDAP Tourett tidak sengaja menghasilkan bunyi yang dianggap menjengkelkan.


Lebih kerap berlaku di kalangan budak lelaki berbanding perempuan, ST biasanya bermula dengan tic motor yang ringkas dan seterusnya akan menjadi lebih kompleks.

Kadangkala tic kompleks boleh menyebabkan kecederaan kepada diri kerana ia melibatkan pergerakan seperti menampar pipi, menumbuk muka, menggigit dan sebagainya.

“Tic vokal biasanya bermula lebih kurang satu hingga dua tahun selepas munculnya tic motor. Kekerapan berlakunya tic boleh berubah-ubah, begitu juga dengan keseriusannya seperti berlakunya pergerakan atau bunyi yang lebih kuat.

“Antara faktor yang boleh menyebabkan ia menjadi lebih kerap ialah stres, jangkitan kuman dan demam,” jelasnya.

Secara amnya, menurut Wan Salwina, mekanisme penyakit ini terjadi tidak diketahui dengan jelas.

Bagaimanapun, terdapat satu corak yang menunjukkan ia melibatkan faktor genetik iaitu ia dapat diwarisi. Bahagian otak yang dikenal pasti terlibat ialah ganglia basal. Ketidakseimbangan dopamin di dalam otak juga mempunyai kebarangkalian untuk mengakibatkannya.

Tidak berupaya membunuh, namun penghidap mampu mencederakan diri atau mencederakan orang lain sekiranya berlaku pergerakan yang agresif dan kuat, seperti menampar pipi, menumbuk muka, menggigit, membaling barang atau memukul orang.

Walaupun ia bermula pada peringkat usia kanak-kanak, hampir 50 peratus daripadanya berlanjutan sehingga dewasa. Umur lazim penghidap adalah antara dua hingga 15 tahun, dengan umur purata 7 tahun.

Merawatnya, jelas Wan Salwina, ialah sama ada menggunakan ubatan seperti antipsikotik, contohnya haloperidol, sulpiride, risperidone psychoeducation, atau alpha-adrenergic, contohnya clonidine.

Pemulihan tingkah laku yang dapat dilakukan melalui pembalikan habit dan bimbingan pula menggunakan teknik-teknik untuk menangani tic. Kumpulan sokongan dan bantuan diri adalah laluan alternatif yang boleh dicari atau ditubuhkan.




Pembedahan neuro boleh juga dilakukan tetapi merupakan pilihan yang paling ekstrem dan biasanya dilakukan ke atas pesakit yang mengalami gejala yang sangat serius dan tidak memberi tindak balas terhadap mana-mana ubat atau pemulihan tingkah laku.

Jika teman sepermainan sudah merasakan Suhaimi mengganggu ketenteraman mereka ketika bermain atau guru tersinggung kerana ‘kedegilan’ Suhaimi yang ingkar dengan arahan untuk mendiamkan diri di dalam kelas, bayangkan pula kesannya ke atas penghidap yang tidak mempunyai kawalan ke atas ‘keaktifan’ sindrom ini.

“Rasa malu dan rendah diri, kurang keyakinan diri, masalah dari segi pergaulan sosial, sukar mendapat kawan, dipulaukan dan sebagainya adalah antara kesan sekiranya penyakit ini tidak dirawat.

“Pesakit juga boleh mengalami kemurungan dan berisiko untuk mencederakan diri sendiri,” jelas Wan Salwina.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47