ERTI HIDUP

Potret Pulau Bidong

Potret Pulau Bidong


RAZAK begitu bersemangat semasa bercakap tentang perbezaan antara Pulau Bidong sekarang dengan yang pernah menjadi tempat beliau bermain dahulu.



TERANG warna-warna cat minyak yang digunakan. Memilih pendekatan impresionis, dari kejauhan kelihatan kumpulan anak-anak ikan berenang mengelilingi terumbu karang.

Cahaya bersimpah pada batu karang yang berwarna-warni, sekali gus meneranginya yang tenggelam di dasar laut itu. Permukaan air yang berkocak juga bagaikan kedengaran di telinga.

"Ada yang dapat kita pelajari daripada lukisan ini. Batu karang inilah yang melindungi ikan-ikan di dasar laut. Di situlah tempat mereka berehat, membiak, makan dan bermain.

"Samalah juga kita yang tinggal di darat. Selagi ada bukit-bukau, kita masih mempunyai tempat untuk meneruskan hidup," kata artisan, Razak Abdullah, 58.

Beliau bagaimanapun tidak menolak, tafsiran yang datang dijangkakan bercabang antara literal ataupun simbolik. Ini kerana katanya, beliau melukis tanpa menekankan konsep.




Sebaliknya, anak didik Sasterawan Seni Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal ini menjelaskan beliau mendahulukan pemikiran untuk menghasilkan lukisan yang cantik sebelum aspek lain.

"Cantiklah bagi saya," sambungnya sambil tersenyum puas tatkala melihat ke arah lukisan terbesar pernah dihasilkannya yang bertajuk A Safe Heaven.

Teruja dengan warna, Razak menjelaskan beliau gemarkan olahan warna yang tidak terbatas. Dek kerana itu dalam ruang kelam di dasar laut, orang ramai akan dapat memerhatikan cebisan warna terang dititipkan di celah-celahnya. Katanya, itulah 'sentuhan yang tidak disengajakannya.'

"Sudah menjadi tabiat saya untuk menambah warna-warna terang pada tempat-tempat tertentu. Hendak dikatakan untuk mengisi tempat kosong, sebenarnya ia lebih kepada perasaan saya terhadap lukisan ini," katanya.


A Safe Heaven merupakan lukisan terbesar yang pernah dihasilkan Razak.


Bukan saja cantik di mata pelukisnya sendiri, keharmonian suasana dasar laut itu kuat terasa sehingga kami, semakin lama semakin mendambakannya.

Pastinya perasaan sama timbul di kalangan pengunjung yang lain, lebih-lebih lagi bagi anak perantauan yang kini hanya dibalut asap kereta dan debu kota.

Sekeping lukisan bertajuk Red Army pantas menangkap perhatian. Sepit-sepit ketam bertaburan pada dada kanvas. Aplikasi warna-warna panas seperti merah, jingga dan kuning bagaikan membakar semangat askar yang turun berbondong-bondong ke pesisir pantai.




Di bawah terik matahari itu, wajah-wajah ketam yang diilhamkan daripada saluran Discovery Channel itu menyalurkan tenaga yang tidak diduga. Malah kata Razak, semasa beliau menghasilkan lukisan ini, bunyi sepit-sepit itu berlaga antara satu sama lain dan terngiang-ngiang di corong telinganya.

Nah, kalau meneliti hasil nukilan Razak di Galeri Chandan sudah dapat melahirkan rasa yang mengujakan, bayangkan jika anda berpeluang untuk berkunjung dan menikmati sendiri keunikan pulau yang terletak di utara bandar Merang, Terengganu ini.

"Pulau Bidong mempunyai landskap dasar laut antara yang tercantik di Malaysia. Dulu saya selalu ke pulau ini. Seingat saya, setiap kali air surut, batu karang dapat dilihat di pantai.

"Hari ini batu karang hanya ada bermula 100 meter dari pantai," luah anak kelahiran Kampung Losong, Kuala Terengganu ini.

Malah membelek laman blog yang dinukilkan bekas pelarian yang pernah menetap di pulau ini, Pulau Bidong digambarkan ibarat syurga. Terutamanya dengan kepelbagaian spesies tumbuhan dan haiwan yang menghuni serta air jernih yang mengelilinginya.

Belajar berenang sejak berumur empat tahun, dunia bawah air sudah menjadi tempat Razak bermain. Pulau Bidong adalah antara serpihan memori beliau sepanjang proses membesar itu. Namun, setelah pulau itu dijadikan penempatan sementara pelarian Vietnam sekitar 1978, Razak sering merindukan kunjungannya ke sana.

Kepulangan pelarian Vietnam dan Kemboja ke negara masing-masing pada tahun 1991, meninggalkan runtuhan bangunan, pondok buruk dan tunggul berserakan di sana-sini.

Di kawasan pantainya pula ada banyak bot karam. Kisahnya, bot-bot itu dikaramkan untuk menghalang pelarian bergerak masuk ke tanah besar Semenanjung.

Kira-kira 13 tahun berlalu, pulau yang turut menerima jolokan Little Saigon itu sepi sendiri. Hanya sekali-sekala menjadi destinasi kunjungan bekas pelarian dan sukarelawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Sejak lebih tiga tahun lalu, kelibat Razak mula kelihatan tenggelam timbul di dalam air lautnya. Kembalinya ke taman permainan itu bukan lagi untuk bermain, sebaliknya bagi mempertahankan sisa-sisa pulau yang menyimpan begitu banyak nilai nostalgia pemilik Colonnade Gallery di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur ini.

"Tidak ramai pelukis yang dapat berenang, dan tidak ramai juga perenang yang boleh melukis. Jadi sebenarnya pemberian ini seperti cabaran kepada saya.

"Lagipun Pulau Bidong mempunyai hak untuk dipertahankan. Saya merancang untuk menjadi pelukis yang jujur," kongsinya yang mengehadkan tempoh berkarya sehingga 4 petang bagi menjaga kesihatan mata.


RED Army (kiri) menunjukkan emosi antara marah dan semangat. (Kanan) Permainan warna menterjemahkan pandangan dan idea Razak tentang dunia bawah laut dengan gaya impresionisme.


Bermula 2 Ogos hingga pertengahan bulan September, lebih 40 karyanya yang berkisar pulau bersejarah ini dapat diperhatikan di dinding-dinding Galeri Chandan di No. 15, Jalan Gelenggang, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Rupa-rupanya, Pulau Bidong yang dinamakan Pulau Hantu oleh sesetengah komuniti ini masih berbunga harapan.

"Biarkan Pulau Bidong pulih daripada kerosakan yang dideritainya," adalah permintaan hati Razak ketika ini. - FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Rencana Utama!»

Pembunuhan rakyat Syria beramai-ramai

ORANG awam yang disyaki terkena gas sarin di Khan Sheikhoun, Idlib, Syria bergelimpangan di atas tanah.

Varia!»

Polis Shah Alam dekati pelajar Taufiq Islami

Pelajar-pelajar Institut Taufiq Islami teruja dan seronok dapat beramah mesra dengan Shafien (kanan).

Process time in ms: 47