HIBURAN
Karyawan hantar memorandum
Isu lagu asing di radio tempatan

ALUNAN lagu asing terutama Indonesia yang berkumandang bebas di corong-corong radio dan ruang udara Malaysia bukan satu senario yang luar biasa.
Apa yang tidak kena?Ada yang melihat senario tersebut memberi konsekuensi kurang sihat buat industri muzik tempatan.
Isu ini sebenarnya sudah lama berputar rancak di negara ini, cuma belum ada sebarang langkah ataupun penyelesaian tertentu yang dijana bagi menangani perkara tersebut.
Kalau sebelum ini kuota 60:40 atau garis panduan radio perlu dipatuhi, kini Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mahu merobah situasi itu dan membawanya ke tahap baru dengan mengadakan sebuah perhimpunan besar-besaran bersama penggiat seni tempatan tidak lama lagi.
Menurut Presidennya, Freddie Fernandez, satu majlis akan dijalankan dengan menampilkan pelbagai artis dalam minggu ini bagi menyelesaikan kekusutan ini.
"Pada majlis itu, kita akan menandatangani satu petisyen dan kemudiannya dihantar kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
"Kita akan memohon beliau menyokong perancangan kami untuk menetapkan 90:10 kuota iaitu 90 peratus untuk lagu tempatan selebihnya adalah bagi lagu-lagu asing mencakupi Indonesia," katanya semasa ditemui di pejabat Karyawan Petaling Jaya baru-baru ini.
Jelas Freddie lagi, upacara menandatangani petisyen itu akan dilaksanakan 12 Ogos (hari ini) berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 3 petang.
"Kami menjemput dan mengalu-alukan semua karyawan seni untuk hadir menandatangani petisyen itu, malah turut memeriahkan majlis.
"Dengan kehadiran golongan artis, kami harap petisyen ini dapat membantu meningkatkan kemajuan industri hiburan tanah air.
"Malah, pada masa sama dapat kurangkan putaran lagu-lagu asing. Dengan ini, karya tempatan dapat dinaikkan sekali gus memulihkan keadaan yang makin tenat ini," ungkapnya.
Freddie menganggarkan kuota sebanyak 60:40 mendatangkan rasa tidak puas hati kepada semua pihak terutama para karyawan.
"Kalau boleh kami ingin kuota lama itu dihapuskan segera sebelum kejadian lebih buruk melanda industri ini. Saya mendengar banyak rungutan daripada pihak terlibat yang tidak selesa dengan peraturan itu, malah seakan-akan kurang memberi impak terhadap lagu orang kita.
"Lalu kami ingin mengurangkan kesengsaraan karyawan di negara ini dengan menghantar memorandum melaksanakan kaedah 90:10 kepada Shaziman.
"Biasanya kalau perkara itu telah dapat perhatian dan diteliti sejelas-jelasnya daripada pemimpin, saya percaya masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya serius.
Majlis menandatangani petisyen itu kata Freddie bakal dihadiri kira-kira 200 orang karyawan seni.
"Kami anggarkan sebanyak 200 orang yang hadir, tetapi jika kita dapat kumpulkan 500 tandatangan penggiat seni, maka saya cukup gembira dan mengalu-alukan kedatangan mereka," ungkap Freddie.
Varia!»

JUM-P rawat masalah hati
ABDUL MALEK menunjukkan produk keluaran syarikatnya.



Spa batuan sungai
Karya kreatif di alam maya
Awasi bengkak keras


