STAILO

Sulaman tekat

Sulaman tekat


GAMBARAJAH menunjukkan bagaimana kain baldu ditegangkan pada pemidang kayu.



DALAM majlis perkahwinan orang Melayu, terdapat pelbagai rekaan yang menyerlahkan kreativiti seni seseorang dari aspek reka bentuk pelamin hingga barang-barang hantaran. Antara kerja tangan yang menjadi warisan tekstil Melayu adalah tekat menekat.

Pada masa kini, tidak ramai orang Melayu mengutamakan sulaman tekat sebagai kelengkapan barang-barang untuk perkahwinan. Tidak seperti zaman dahulu, terutama masyarakat Melayu di negeri Perak, menyediakan kelengkapan perkahwinan dengan barangan tekatan adalah satu keperluan.

Mereka telah menempah lebih awal iaitu setahun sebelum tarikh perkahwinan. Tekatan yang ditempah biasanya barangan perkahwinan seperti kipas, penyangkut kelambu, kusyen, cadar, sarung bantal, beg tangan, kasut, tepak sirih, pelamin, tikar akad nikah atau tikar Langkat atau dikenali sebagai tikar sila (yang merupakan lima lapisan tikar yang dibaluti baldu kuning, disulami tekat benang emas bermotif bunga dan awan larat).

Tekatan boleh juga dijadikan sebagai kelengkapan untuk upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam al-Quran dan seumpamanya.

Biasanya di kalangan masyarakat Melayu di Perak, tekat merupakan hasil kerja tangan untuk pemakaian kebesaran dan hiasan raja sehari.

Tekatan ini merupakan barangan bagi orang berada kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah. Menghasilkan tekat juga memerlukan waktu yang lama dan hasil produk yang berdekoratif serta indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan dan setelah digunakan.

Terdapat dua jenis tekatan iaitu tekat timbul atau tekat bersuji dan tekat gubah. Perbezaan antara tekat timbul dan tekat gubah adalah tekat timbul menggunakan benang emas sahaja dalam dekorasinya tetapi tekat gubah menggunakan penambahan manik-manik.

Teknik membuat tekat perlu menyediakan bahan asas seperti benang emas, benang putih, kain baldu dan mempulur. Mempulur dihasilkan dengan menggunakan bahan daripada kertas tebal dan kanji (gam). Penggunaan mempulur inilah yang akan menjadikan bentuk sulaman itu timbul.




Langkah pertama, kita perlu melukis bentuk atau motif bunga-bunga tekat di atas kertas tebal atau kertas surat khabar yang ditindih beberapa helai menggunakan gam kanji dan diakhiri dengan sekeping kertas manila.

Lebar batang mempulur lebih kurang antara lima milimeter (mm) hingga tujuh mm. Kemudian bentuk bunga tekat atau motif dipotong dan diasingkan.

Di kampung, biasanya mempulur ini diletakkan di bawah tikar supaya ia sentiasa sama leper dan tegang.

Motif tekat yang biasa dilukis adalah motif flora seperti daun dan bunga kekwa, buah delima, daun bunga melor dan bunga lawang. Pada 1980-an, terdapat rekaan motif-motif baru seperti bunga kerak nasi, bunga kerawang, bunga cempaka hutan dan bentuk geometri corak Islamik.

Seterusnya kain dasar daripada kain baldu berwarna gelap seperti hitam, biru tua, merah tua atau ungu ditegangkan pada pemidang kayu. Terdapat dua jenis pemidang kayu iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki.

Kemudian mempulur diletak ke atas kain baldu dan dijahit dengan benang kapas pada batang-batang mempulur agar ia tidak bergerak.

Seterusnya, benang emas akan dipintar ke cuban dan ditekat ke atas mempulur serta ditindih dan dikait jahit oleh benang putih melalui jarum yang menanti di bawah pemidang.

Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas haruslah disusun rapat supaya sulaman tekat akan kelihatan lebih teratur dan kemas. Benang emas akan menutup seluruh bentuk mempulur dan ia kelihatan timbul.

Teknik dan bahan dalam tekat gubah agak berbeza daripada tekat timbul. Dalam tekat ini, rotan sega digunakan sebagai mempulur yang biasanya menghasilkan motif banji atau corak kisi-kisi dan corak catur.

Corak ini biasanya dijadikan bingkai seperti penutup tepi bantal dan tepi tepak sirih. Selain itu, dalam kebanyakan tekat gubah mempulur tidak digunakan, sebaliknya benang emas atau perak diatur beberapa helai mengikut motif yang dikehendaki di atas kain baldu.

Benang metalik ini kemudian ditekat dengan benang sutera merah melintasi benang metalik tersebut, bagi memegang kedudukannya.

Benang merah ini dijahit dengan jarak tertentu secara teratur menghasilkan satu corak garisan merah. Selain itu, sebagai tambahan, manik-manik dan labuci dijahit pada ruang kosong kain dasar bagi menyerikan lagi sulaman tekat gubah ini.

Secara umumnya, kerja tekat menekat adalah satu kerja yang rumit. Ia memerlukan penelitian dan kesabaran.

Upah menjahit tekatan ini dikira secara berapa unting benang emas yang digunakan pada corak bunga tekat.


KESUKARAN melakukan tekat selain bahannya yang mahal menyebabkan produk tekat suatu ketika dahulu merupakan barangan untuk golongan berada.


Sekiranya motif bunga lawang itu menggunakan lima unting benang emas dan jika harga seunting benang emas itu RM10 maka jumlah itu didarabkan dengan lima unting. Jadi, upahnya RM50 tidak termasuk harga bahan.

Kerja tangan tekat menekat kini telah diambil alih oleh sulaman mesin. Walaupun mesin dapat membuat sulaman dalam pelbagai corak mengikut motif-motif tekat, namun hasil sulamannya tidak seindah hasil kerja tangan sulaman tekat timbul mahupun tekat gubah.

Process time in ms: 47