VARIA

Kalau tak sakit, tak sedap

Kalau tak sakit, tak sedap


PELANGGAN juga boleh mendapatkan khidmat urutan akibat terseliuh, patah tulang dan sebagainya.


"KALAU tidak sakit, maka tidak sedap." Begitu jenaka seorang tukang urut ketika berseloroh dengan salah seorang pelanggan yang sedang diurut.

Mungkin bagi mereka yang tidak pernah mengurut sudah pasti 'ketakutan' untuk mencuba urutan tradisional jika terdengar kata-kata tukang urut terbabit.

Namun, itu bukan alasan bagi mereka yang tidak pernah berbuat demikian untuk mencuba mengurut badan di Pusat Rawatan Alternatif (urutan tradisional dan mandi wap herba) di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu.

Dengan 20 orang tenaga profesional termasuk 12 tukang urut lelaki dan lapan wanita tidak timbul soal gender bagi mengurut setiap pelanggan yang hadir baik lelaki atau wanita.

Pengurus pusat itu, Malik Yunus, berkata, sememangnya setiap pelanggan akan merasa sakit dan jika tidak merasai apa-apa maka ia bukan urut tradisional.

Jelasnya, dengan urutan yang diberikan setiap bahagian sudah pasti mempunyai tempat-tempat khusus di mana adakalanya pelanggan akan terasa sakit.

"Jangan khuatir, ia perkara biasa bagi membetulkan urat-urat yang tersimpul bagi membolehkan pengaliran darah," katanya.

Tempat yang diwujudkan di bawah program khas Satu Daerah Satu Industri oleh Pejabat Daerah Setiu itu kini berdiri gah sebagai sebuah pusat sehenti menghimpunkan semua tukang urut tradisional seluruh daerah terbabit.

Para pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis urutan termasuk urutan badan, rawatan urutan ibu sebelum dan selepas bersalin, pemulihan tenaga batin serta urutan untuk strok.

Pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat akibat terseliuh sendi, patah tulang dan lain-lain rawatan berdasarkan aduan pengguna.

Jika pelangan khuatir mengenai status tukang urut di tempat tersebut, kesemua mereka merupakan petugas profesional yang diiktiraf di bawah program Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Malah, kesemua tukang urut terbabit telah mengikuti kursus urutan di bawah kendalian Unit Alumni, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor.


PUSAT Rawatan Alternatif ini mempunyai tenaga kerja yang terlatih dan diiktiraf.


Malik, 56, berkata, secara purata 20 orang pelanggan datang untuk mengurut setiap hari di pusat terbabit. Kadangkala masa operasi terpaksa dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi kerana sambutan yang luar biasa.

"Kadang-kadang tempat tidak cukup untuk mengurut," ujarnya yang memberi jaminan setiap pelangan akan menerima perkhidmatan jika mereka sudah datang untuk mengurut.

Bayaran setiap pelanggan sebanyak RM25 sejam untuk urutan biasa seluruh badan dan RM15 bagi mandian wap herba.

Bagi lain-lain rawatan urutan kadar bayaran dikenakan mengikut jenis penyakit dan tempoh rawatan yang diperlukan oleh pelanggan.

Pusat terbabit menyediakan lapan buah katil bagi tujuan urutan, dua bilik mandian wap herba, dua bilik menunggu (lengkap dengan penghawa dingin dan televisyen) dan dua tempat solat.

Turut menanti pelanggan ialah sebuah bilik berehat lengkap dengan katil sekiranya pelanggan perlu bermalam.

Selepas mengurut para pelanggan boleh membeli ubat-ubat tradisional untuk merawat beberapa jenis penyakit.

Mereka yang berminat boleh mengunjungi tempat tersebut setiap hari yang dibuka bermula dari pukul 8 pagi hingga 11 malam.

Infiniti!»

Belajar bersama program TV

HUSNA FATIHAH (kiri) dan Muhd. Harith Fahmi teruja menggunakan aplikasi UPSR iBuddy.

Varia!»

Elemen nasionalisme dalam lagu

MONOLOQUE meluahkan rasa cinta terhadap kebudayaan tanah air menerusi lagu-lagu ciptaan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0