RENCANA UTAMA

Masih relevan

Masih relevan

Tidak semua kawasan boleh menggunakan telefon bimbit seperti sekolah harian, asrama penuh dan kawasan yang tidak mendapat talian telefon bimbit.


SEBELUM ini, telefon awam hanya menawarkan slot syiling sahaja.


“ALAMAK kredit telefon habis pula. Nak buat panggilan telefon pun tak boleh, apatah lagi nak hantar SMS (sistem pesanan ringkas). Macam mana ni?. Inilah antara situasi yang biasa dihadapi oleh individu yang tidak dapat membuat sebarang panggilan dan menghantar SMS, sekiranya kehabisan kredit telefon bimbit.

Jika mempunyai kredit yang banyak dan bateri penuh sekali pun, proses panggilan dan SMS tetap tidak dapat dilakukan sekiranya kawasan tersebut tidak mempunyai liputan talian. Justeru, jalan penyelesaiannya ialah membuat panggilan di pondok telefon awam yang berhampiran.

Sejak penggunaan telefon bimbit semakin meluas dan mudah didapati kerana dijual pada harga yang murah, ia menyebabkan orang ramai berlumba-lumba membeli alat komunikasi canggih tersebut.

Malah, ada yang sanggup mengenepikan soal harga asalkan dapat memiliki telefon bimbit supaya tidak digelar individu ketinggalan zaman. Kebanyakan pihak merasakan telefon bimbit pada hari ini merupakan suatu keperluan wajib atas tujuan komunikasi (panggilan, SMS dan menghantar gambar).




Lagipun telefon bimbit yang bersaiz kecil dan ringan ini, mudah disimpan dan dibawa ke mana sahaja. Sebarang panggilan peribadi, urusan kerja atau panggilan kecemasan dapat dilakukan serta-merta tanpa mengira lokasi dan waktu.

Ternyata arus kemodenan komunikasi pada era ini semakin berkembang dan meningkat. Selain kemunculan telefon bimbit, orang ramai juga berjinak-jinak berkomunikasi menerusi e-mel dan chatting menggunakan program yahoo messenger atau google talk.

Persoalannya, adakah era teknologi moden ini sedang menghakis sistem komunikasi manual iaitu telefon awam? Masih relevan lagikah penggunaan telefon awam kepada masyarakat moden kini? Atau ia sekadar hiasan di tepi jalan dan menunggu masa dirosakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab?

“Telefon awam masih relevan dan diperlukan. Walau secanggih mana pun zaman itu, telefon awam yang mula bertapak sejak zaman Jepun tidak boleh dihapuskan begitu sahaja.

“Perlu difahami bukan semua orang mampu memiliki telefon bimbit. Begitu juga, tidak semua kawasan boleh menggunakan telefon bimbit seperti sekolah harian, asrama penuh dan kawasan yang tidak mendapat talian telefon bimbit,” jelas Pengarah Urusan Pernec Corporation Berhad, Shaharom Md Shariff.


PENGGUNA kini lebih tertumpu pada telefon bimbit.


Penggunaan makin kurang

Namun beliau tidak menafikan sejak kemunculan telefon bimbit, penggunaan telefon awam semakin berkurangan.

Menurutnya, tahun 2005 menunjukkan penurunan penggunaan telefon awam sebanyak 15 peratus, sejak orang ramai begitu obses pada telefon bimbit. Bermula daripada golongan dewasa hinggalah kumpulan kanak-kanak, mereka pasti memiliki satu atau dua telefon bimbit peribadi.

Keadaan ini menyebabkan Time Dotcom Bhd. yang mencatatkan kerugian sebelum cukai lebih rendah sebanyak RM177.076 juta, pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006 berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM237.926 juta pada tahun 2005.

Kerugian ini disebabkan hasil kutipan yang lebih rendah terutamanya, hasil suara borongan dan hasil telefon awam yang terjejas teruk.

Meskipun mengalami penurunan, Shaharom memberitahu, anggaran 50,000 telefon awam di Malaysia masih mendapat sambutan dalam kalangan pekerja asing untuk menghubungi keluarga mereka di kampung.


TELEFON awam jenis GSM bakal digunakan untuk menghantar SMS.


Begitu juga dengan pelajar sekolah harian dan penuntut sekolah berasrama penuh. Tanpa telefon awam, ia menyusahkan para pelajar menghubungi ahli keluarga.

Ini kerana sekitar tahun 2006, Kementerian Pelajaran tidak membenarkan penggunaan telefon bimbit di semua sekolah termasuk berasrama penuh.

Menurut Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, keputusan itu dibuat kerana kementerian mendapati guru dan ibu bapa tidak bersedia memikul tanggungjawab serta memantau penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah.

“Selain itu, telefon awam juga diperlukan oleh penduduk di kawasan pedalaman yang tidak mendapat liputan talian telefon bimbit secara meluas. Lagipun, berbual menerusi telefon awam lebih menjimatkan (13 sen seminit) berbanding telefon bimbit yang dianggarkan 30 sen seminit.

“Harga panggilan murah yang ditawarkan ini menarik perhatian pelajar kolej dan universiti. Saya difahamkan, siswa lebih gemar berbual lama menggunakan telefon awam manakala telefon bimbit untuk perbualan singkat dan menghantar SMS ,” ujar Shaharom ketika ditemui Kosmo!, di pejabat Pernec di Ulu Kelang, Selangor.

Dalam pertemuan ini, beliau turut menjelaskan kepentingan telefon awam di tempat-tempat awam seperti perhentian bas, lapangan terbang, stesen bas dan kawasan bandar.

Pernec merupakan syarikat Malaysia yang bekerjasama antara Amanah Raya Berhad (Skim Amanah Saham Bumiputra), NEC Corporation (Jepun) dan Permodalan Nasional Berhad. Syarikat yang mula dilancarkan pada 1973 ini menjalankan aktiviti perniagaan yang menawarkan perkhidmatan informasi dan teknologi komunikasi (ICT) kepada pengguna tempatan dan antarabangsa.

Selepas Telekom Malaysia Bhd. (TM) menjual keseluruhan kepentingan ekuiti anak syarikat, TM Payphone Sdn. Bhd, sebanyak RM22 juta kepada Pernec, kini Pernec bertanggungjawab mengendalikan operasi telefon awam di bawah pengurusan Pernec Paypoint Sdn. Bhd.


VANDALISME berlaku kerana pengguna tidak puas hati apabila telefon awam tidak berfungsi dengan baik. - Gambar hiasan


Seiring kemunculan helo

Memastikan telefon awam sentiasa berfungsi dengan baik, tanpa sebarang masalah, Pernec melakukan pelbagai pembaharuan dan proses naik taraf. Ini terbukti apabila munculnya 7,000 model telefon awam berwajah baru yang diberi nama helo. Gabungan warna merah putih dan corak-corak buih pada pondok telefon helo menampilkan gaya ceria dan segar.

Pada masa yang sama, Pernec sibuk menjalani proses penukaran 40,000 telefon awam TM kepada telefon helo. Sehingga kini, kira-kira 2,000 unit pondok telefon lama sudah digantikan dengan pondok awam helo. Difahamkan juga, sebanyak 500 unit telefon awam diperbaharui setiap bulan.

“Pengguna berpeluang menggunakan duit syiling atau kad telefon helo bernilai RM10 dan RM20 di semua telefon awam helo di setiap negeri.

“Bukan itu sahaja, helo juga menawarkan perkhidmatan panggilan tempatan dan antarabangsa menggunakan kad panggilan pra bayar helo (teknologi Voip),” ujar Shaharom yang menjelaskan pihak Pernec kini dalam proses merangka untuk meletakkan antena wi-fi di pondok telefon awam bagi memudahkan penggunaan internet dalam kalangan pengguna.

Istimewa lagi, seiring dengan kecanggihan teknologi, Pernec kini dalam proses perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai slot menghantar SMS menerusi telefon awam yang dilengkapi dengan sistem GSM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Muzium Telekom, Mohd Affandi Abdullah, menyifatkan sebelum kemunculan telefon bimbit, orang ramai bergantung pada telefon talian tetap dan telefon awam untuk membuat panggilan.

Atas alasan tersebut, beliau memberitahu bahawa penggunaan telefon awam masih relevan digunakan, terutamanya di kawasan yang sibuk dan mempunyai populasi penduduk yang tinggi. Antaranya di Kuala Lumpur, Ipoh dan Taiping, Perak, Johor dan Pulau Pinang.

Paypoint kawal telefon awam

Telefon awam cukup sinonim dengan masalah vandalisme. Tidak lengkap rasanya, jika wayar ganggang telefon tidak diputuskan, dicungkil punat nombor, peti simpanan syiling dipecahkan dan pondoknya ditampal iklan serta poster yang begitu serabut.

Mengapa masalah ini harus berlaku? Sedangkan, pada hakikatnya telefon awam dibina untuk memudahkan orang ramai.

Berdasarkan statistik vandalisme 2001 hingga Jun 2007 yang dikeluarkan oleh Muzium Telekom Malaysia, tahun 2004 menyaksikan angka vandalisme yang paling tinggi (10,898 kes), berbanding 7,404 kes pada tahun 2003.




Namun begitu, kes ini turun mendadak bermula tahun 2005 (7,851 kes); 2,002 kes pada tahun 2006 dan paling sedikit berlaku sehingga Jun 2007 (241 kes).

Difahamkan, penurunan masalah vandalisme ini, gara-gara kemunculan telefon bimbit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pernec Paypoint Sdn. Bhd., Rahamat Tulla Allah Pitchy, biasanya vandalisme berlaku kerana pengguna tidak berpuas hati apabila telefon awam tidak berfungsi dengan baik. Tidak ketinggalan juga ia dilakukan oleh golongan yang nakal.

“Siapa yang tak sakit hati apabila hendak membuat panggilan penting, tiba-tiba telefon awam rosak (menelan duit syiling atau suara tidak kedengaran). Disebabkan itu, kami mengambil inisiatif mewujudkan Sistem Pengurusan Paypoint untuk mengawal telefon awam di 11 zon utama,” kata Rahamat sambil menunjukkan operasi sistem tersebut.

Sistem ini dipantau selama 24 jam sehari oleh petugas Pernec Paypoint yang akan melihat segala butiran dan panggilan yang dibuat oleh semua rangkaian telefon awam di Malaysia. Dalam sistem tersebut juga dipasangkan sebuah tanda amaran yang akan berbunyi sekiranya telefon awam di sesebuah kawasan mengalami kerosakan dan gangguan.

Sebaik sahaja meneliti masalah yang tertera pada skrin komputer, dengan kadar segera, petugas akan menghubungi krew penyelenggaraan berdekatan supaya membaiki telefon awam yang rosak.

Selain itu, menerusi sistem itu juga, pihak Pernec dapat melihat jumlah wang yang terdapat dalam peti telefon awam. Setelah penuh sehingga paras yang ditetapkan, krew penyelenggaraan akan mengutip wang tersebut. Biasanya, proses ini dilakukan dua kali sebulan.

“Justeru, kami dapat mengurangkan masalah vandalisme dan kecurian wang syiling di telefon awam. Saya juga berharap rakyat Malaysia lebih bersikap prihatin dan bertanggungjawab menjaga telefon awam.

“Elakkan menampal sebarang iklan dan poster yang boleh mencacatkan telefon awam. Sebaliknya, tampal di papan iklan yang disediakan,” ujar Rahamat mengenai telefon awam yang memerlukan kos sebanyak RM4,000 seunit untuk didirikan.

Process time in ms: 16