NEGARA

Perdana: Tiga pemilik bengkel ditahan BPR

Perdana: Tiga pemilik bengkel ditahan BPR

KUALA LUMPUR - Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan tiga pemilik bengkel di Terengganu bagi membantu siasatan isu kos penyenggaraan Proton Perdana V6 milik kerajaan negeri itu yang didakwa terlalu tinggi.

Ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an itu telah direman selama empat hari bermula semalam.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, tangkapan pertama dilakukan Jumaat lalu manakala dua lagi ditahan kelmarin.

Menurut beliau, BPR turut menyita lapan Proton Perdana V6 Executive kegunaan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri tersebut bagi membantu siasatan.

"Empat buah daripada kereta berkenaan disita Khamis lalu manakala bakinya disita sehari kemudian,'' kata beliau semasa dihubungi semalam.

Mohd. Shukri memberitahu, selain tiga yang ditahan, BPR juga telah mengambil keterangan lebih daripada 10 individu lain berhubung isu tersebut.

"Kita juga tidak menolak akan memanggil lebih ramai lagi individu lain untuk membantu siasatan,'' katanya.

Dalam perkembangan lain pula, Proton menggantung serta-merta operasi sebuah pusat servis di Terengganu kerana tidak menggunakan alat ganti tulen, mengenakan caj keterlaluan dan melakukan kerja-kerja penyenggaraan di luar tempoh jaminan.

Pengarah Urusan Proton Holding Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir pada sidang akhbarnya berkata, pihaknya juga mendapati hanya 35 daripada 67 kereta Proton Perdana digunakan kerajaan negeri dihantar ke bengkel bertauliah.

"Daripada jumlah kos penyenggaraan RM1.07 juta bagi 16 buah kereta itu, cuma RM78,048 sahaja yang direkodkan manakala bakinya tidak direkodkan di pusat servis kita," katanya.

Sehubungan itu katanya, satu pasukan audit dalaman akan dihantar ke Terengganu bagi menjalankan siasatan ke atas semua pusat servis mereka di negeri itu.


Process time in ms: 32