NEGARA

Jadi mangsa 'kontraktor hantu'

Jadi mangsa 'kontraktor hantu'


SABIRIN menunjukkan salinan laporan polis serta jalan tempat projek 'hantu' di Johor.



JOHOR BAHRU - Dalam keadaan ramai kontraktor berebut untuk memenangi tender projek, ada beberapa pihak pula menang percuma tetapi bingung bila mengenangkan ia dilakukan tanpa pengetahuan mereka.

Beberapa mangsa memberitahu Kosmo!, nama syarikat dan tandatangan mereka telah digunakan untuk mendapatkan projek oleh pihak yang belum diketahui hingga kini.

Akibatnya, mangsa bukan sahaja berhadapan dengan masalah syarikat disenarai hitam apabila projek 'hantu' itu gagal, malah dikejar pula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kebanyakan projek tersebut hanya membabitkan kerja-kerja kontraktor kelas F dengan kos di bawah RM100,000.

"Kes ini umpama orang lain makan nangka, orang lain yang dapat getahnya,'' kata seorang mangsa, Sabirin Bidin.

Beliau memberitahu, komplot itu menyebabkan orang lain meraih untung tetapi syarikatnya pula berhadapan dengan tuntutan cukai.

Seorang lagi mangsa, Yusri Rashid memberitahu, syarikatnya telah disenarai hitam kerana dikatakan gagal menyiapkan projek membina jalan kampung di Jemaluang bernilai RM45,000.

Masalahnya ialah Yusri mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai projek itu.

Kedua-dua mangsa yang telah membuat laporan polis mengenai kes penipuan itu serta meminta pihak berkuasa khususnya Badan Pencegah Rasuah segera tampil menyiasat.


Process time in ms: 46