RENCANA UTAMA

8,000 tan pasir dicuri sehari - <i>Aktivis rayu gubal akta khusus perlombongan galian ini</i>

8,000 tan pasir dicuri sehari - Aktivis rayu gubal akta khusus perlombongan galian ini


AKTIVITI pengorekan pasir perlu dipantau demi memastikan ekosistem alam sekitar tidak terjejas dalam jangka masa panjang. – Gambar hiasan



AKTIVITI perlombongan pasir secara haram yang semakin berleluasa hanya mampu dibanteras jika kerajaan segera mewujudkan satu akta khusus sekali gus menyelamatkan ekosistem alam daripada terjejas.

Perkara itu ditegaskan Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohd. Nizam Mahshar kepada Kosmo! Ahad. Menurut beliau, sehingga kini belum ada undang-undang khusus pengawalan aktiviti itu di seluruh negara.

“Siapakah yang bertanggungjawab sebenarnya. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pejabat tanah atau kerajaan negeri. Malah peranan JPS juga difahamkan terhad mengikut kawasan yang ditetapkan,” katanya.

JPS ujar Mohd. Nizam, pernah suatu ketika bercadang untuk mewujudkan ‘akta sungai’ sebagai medium spesifik dan berkesan dalam pengawalan kegiatan perlombongan pasir namun ia tidak dilaksanakan sehingga kini.

“Memburukkan lagi keadaan ialah kekurangan penguatkuasaan. Jika cakera padat cetak rompak ada penguat kuasa, kenapa pasir yang merupakan antara komoditi utama negara semacam tidak dipedulikan,” kesalnya.

Menyentuh mengenai kesan aktiviti kuari pasir terhadap ekosistem alam, beliau memberitahu, perlombongan tidak terkawal itu boleh mengganggu hakisan tanah, kehidupan marin dan keselamatan orang ramai.

Impak lebih besar pastinya kawasan perumahan yang berdekatan dengan sungai kerana jika hakisan terus berlaku, kediaman penduduk terbabit dikhuatiri mendap dan akhirnya terus tenggelam ‘ditelan’ oleh bumi.

“Ia juga boleh menyebabkan sungai menjadi semakin dalam dan arus menjadi lebih laju seterusnya membahayakan kanak-kanak yang mandi waima orang dewasa yang berenang di sungai tersebut,” katanya.

Hakisan sungai yang berterusan jelas Mohd. Nizam, turut memberi kesan kepada kawasan pertanian. Pencemaran air di sungai dan laut pula boleh menjejaskan mata pencarian utama nelayan kecil iaitu ikan.

“Sumber protein itulah yang menjadi pendapatan nelayan. Sudahlah sara hidup ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang, pasir dilombong berlebihan ini menyukarkan hidup mereka lagi,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor mendapati negeri tersebut kerugian jutaan ringgit kesan daripada aktiviti perlombongan pasir secara haram yang dianggarkan kira-kira 6,000 hingga 8,000 tan sehari.




Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Yaakob Sapari berkata, hukuman yang tidak setimpal menyebabkan aktiviti itu gagal dibanteras.

“Ia punca pencemaran sungai selain disebabkan masalah kekurangan penguat kuasa di pejabat tanah dan galian. Justeru kerajaan negeri akan menghentikan permit aktiviti ini tidak lama lagi,” jelasnya.

Sumber boleh diperbaharui

MUNGKIN ramai yang menyangka pasir diambil terus dari perut bumi akan kehabisan seperti nasib dialami oleh galian berasaskan fosil iaitu minyak dan gas yang bakal ‘kering’ di seluruh dunia menjelang tahun 2020.

Hakikatnya, pasir yang secara lazim banyak digunakan untuk sektor pembinaan hartanah dan prasarana fizikal seperti jalan raya, merupakan sumber mineral yang boleh diperbaharui semula dan tidak akan pupus.

Malah di Malaysia, pengambilan pasir untuk kegunaan komersial yang dibenarkan itu dikawal rapi pihak berkuasa menerusi pelan perancangan secara lestari dan tidak dibiarkan dilombong dalam amaun berlebihan.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Yunus Abdul Razak sambil menjelaskan purata nilai keseluruhan pasir yang dijual setahun telah melebihi RM300 juta.

“Sebenarnya masyarakat tidak perlu bimbang kononnya pasir akan ‘kering’ sebab galian ini diganti melalui proses semula jadi asalkan tidak dikorek secara berlebihan dan berterusan untuk yang tempoh lama,” jelasnya.

Beliau yang juga Presiden Institut Geologi Malaysia dan Persatuan Geologis Malaysia bagaimanapun menambah, pengambilan mineral tersebut tanpa mengikut garis panduan sebenar boleh menjejaskan penggantian semula pasir yang hilang.




Justeru, pemberian permit pengambilan pasir sentiasa dipantau dan dikawal setiap tahun untuk memastikan sesebuah kuari pengeluaran itu tidak kehabisan.

“Ini yang patut dibimbangi kerana sumber pasir di Malaysia tidak banyak iaitu dari sungai, kaki bukit, pantai dan bekas lombong. Namun ia juga bisnes menguntungkan khasnya untuk sektor pembinaan,” katanya.

Di Malaysia, Perak merupakan negeri terbanyak mengorek pasir dengan hampir 300 permit telah dikeluarkan diikuti Johor yang memiliki lebih 100 pengusaha, serta Pahang, Terengganu dan Sabah di bawah 100 permit.

Yunus menambah, memandangkan bisnes kuari pasir amat lumayan dengan nilai jualan pada tahun 2006 sebanyak RM350 juta, pasir penting dipelihara sebagai aset berharga negara kita.

Bahan binaan paling ideal

PASIR merupakan antara bahan asas yang terpenting untuk sektor pembinaan. Jika berlakunya kekurangan bahan mentah itu, ia akan menyebabkan sebahagian besar sektor perumahan negara terjejas.

Secara umum, pasir juga bahan pelengkap untuk proses kritikal dalam menyiapkan rumah idaman selain penggunaan bahan mentah lain seperti simen, besi, kayu, atap, batu bata dan tenaga buruh.




Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia, Ng Kee Leen (gambar) berkata, jumlah pasir yang digunakan untuk membina rumah atau bangunan tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada saiz bangunan dibina.

“Contohnya banglo lima tingkat, jumlah penggunaan pasir pasti lebih banyak berbanding rumah kos rendah,” katanya yang mewakili lebih 5,000 ahli berdaftar daripada kontraktor binaan di seluruh Malaysia.

Kadar harga dibahagi kepada tiga jenis iaitu pasir sederhana, kasar dan halus yang ditentukan oleh pasaran semasa berdasarkan permintaan dan penawaran. Harga pasaran semasa ialah RM400 satu tan manakala yang berkualiti baik, harganya bertambah RM30 iaitu RM430 satu tan.

Pada dasarnya stok pasir negara kita mencukupi kerana kita merupakan antara negara pengeluar, malah walaupun ada pasir dieksport, stok untuk keperluan domestik masih lebih daripada mencukupi.

“Namun terdapat pedagang pasir yang mengawal penawaran di pasaran menyebabkan stok bekalan sepatutnya tidak sampai kepada kontraktor. Ini menyebabkan kenaikan harga selain kos diesel,” katanya.




Pengarah Pusat Penyelidikan Perumahan di Universiti Putra Malaysia, Prof. Abang Abdullah Abang Ali memberitahu, tiada teknologi terkini yang dapat menggantikan peranan pasir untuk sektor pembinaan.

“Mungkin kita dapat mengurangkannya semasa proses acuan dengan melebihkan simen untuk memastikan struktur binaan kukuh tetapi menggantikan langsung terus pasir mungkin mengambil sedikit masa.

“Lagipun ia sesuai dengan keadaan suhu dan cuaca di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47