RENCANA UTAMA

Bagai menunggang kuda

Bagai menunggang kuda

Chef selebriti, Chef Zam, mengakui kukur kelapa berupaya menghasilkan santan yang lebih segar dan asli.




PERNAHKAH anda mendengar teka-teki dahulukala: 'Ada satu kuda sakti, badannya kayu kepalanya besi, naik orang tidak berhenti, kadang petang kadang pagi'.

Di kalangan orang muda, mungkin terlalu sukar mencari jawapannya lantaran ia benda yang hampir tidak lagi dijumpai di rumah-rumah hari ini.

Namun, bagi yang sudah biasa memarut kelapa secara tradisional, alat kukur kelapa tentunya terlintas di fikiran.

Dalam masyarakat moden hari ini, sememangnya tidak dapat dinafikan kukur kelapa kurang relevan.

Mesin kelapa elektrik lebih dikenali generasi sekarang, apatah lagi dengan lambakan santan kotak, menyebabkan kukur kelapa sekadar menjadi barang pameran muzium.


KEBANYAKAN kukuran tradisional diperbuat daripada kayu dengan mata besi bergerigi di hujungnya.


Bagi menghidupkan semula tradisi ini, Muzium Negara sedang mengadakan Pameran Kukur Kelapa yang akan berakhir hujung bulan ini. Bersempena Festival Kuala Lumpur pula, satu pertandingan mengukur kelapa telah dianjurkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Sesetengah kukur kelapa menjadi istimewa kerana nilai kraf tangannya. Namun bukan itu saja keunikan alat ini.

Chef selebriti, Zamzani Abd. Wahab, 37, atau Chef Zam, mengakui kukur kelapa berupaya menghasilkan santan yang lebih segar dan asli.


KELAPA merupakan bahan utama dalam masakan masyarakat Asia.


Menurut Chef Zam, pengguna kini mempunyai beberapa pilihan untuk mendapatkan santan kelapa.

Ini termasuk santan segera yang dijual dalam peket, santan siap perah dan kelapa parut yang dibeli di kedai. Satu lagi pilihan, kata beliau, ialah mengukur sendiri kelapa di rumah menggunakan kukur kelapa.

"Isi kelapa yang dikukur lebih halus kalau diparut dengan betul. Ia akan menghasilkan santan yang lebih lemak dan tahan lebih lama.

"Santan ini mempengaruhi keenakan masakan terutama pengat dan pulut kerana ia lambat basi," ujarnya,

Tambah Chef Zam, kebanyakan santan segera tidak asli kerana telah dicampur dengan tepung. "Ia juga tidak tahan lama bila dimasak."

Ringkas cerita, ujar chef yang berasal dari Kuala Terengganu ini, santan peket tidak boleh menandingi kehebatan rasa santan sebenar apatah lagi yang diperoleh menggunakan kukur kelapa.


KUKUR kelapa masih dijual di Chow Kit.


Menurut Pengarah Muzium Negara, Ibrahim Ismail, secara umumnya, kukur kelapa adalah peralatan memasak tradisional harian yang digunakan oleh masyarakat dahulu.

Namun, belum dapat dipastikan lagi sejak bila kukur kelapa diperkenalkan dan dari mana asal usulnya.

"Kukur kelapa sinonim dengan masyarakat Melayu dan India, tetapi kami masih dalam proses penyelidikan untuk mencari lebih banyak maklumat mengenai asal usul kukur kelapa ini," ujarnya kepada Kosmo!.

Penyelidik Muzium Negara, Zarinah Saripan, memberitahu terdapat pelbagai jenis, bentuk, saiz dan ciri kukur kelapa yang dipaparkan pada Pameran Kukur Kelapa yang sedang berlangsung.

"Ia bagi memperkenalkan orang ramai kepada kukur kelapa ini," katanya.


KELAPA yang diparut dengan kukur lebih halus dan sedap dibuat inti kuih.


Ujarnya lagi, badan kukur kelapa biasanya diperbuat daripada kayu manakala matanya yang bergerigi menggunakan besi.

Mata besi yang tajam itu boleh mengukur atau memarut isi kelapa yang telah dibelah dua, menghasilkan cebisan-cebisan halus yang kemudian diperah bagi mendapatkan santannya. Kelapa parut itu juga enak dibuat inti kuih.

Bagaimanapun, kemunculan mesin kelapa telah menggantikan kukur kelapa tradisional ini. Mesin kelapa lebih membolehkan kerja mengukur lebih cepat dan mudah. Ini menyebabkan generasi muda semakin tidak mengenali apa itu kukur kelapa.

Secara umumnya, jelas Zarinah, kukur kelapa boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kukur duduk, kukur silang dan kukur kotak.

Pada peringkat awal penciptaan kukur kelapa, ia berbentuk seakan binatang berkaki empat yang dipelbagaikan gaya dan rupa.

Kebanyakan kukuran tradisional dibentuk daripada sebatang kayu yang bersekali di antara tempat duduk dengan tempat meletakkan besi mata kukur.

"Untuk kukuran jenis kukur silang, ia boleh dilipat. Bentuknya seperti rehal. Manakala untuk kukuran jenis kotak pula, ia berkembang mengikut arus kemodenan.

"Bentuk kekotak ini memudahkan pengguna menyimpan mata kukur dengan selamat selepas digunakan memandangkan ia boleh dilipat dan disimpan di dalam kukuran," katanya.


SALAH satu motif ukiran pada badan kukur.


Kukur kelapa yang dipamerkan di Muzium Negara ini mempunyai pelbagai bentuk ukiran yang sangat unik dan kreatif.

Sesebuah kukur biasanya menggunakan kayu jenis leban, cengal dan nangka.

Ciri-ciri kayu yang tahan lasak, mempunyai urat kayu yang padat dan ira kayu yang halus, permukaan yang berkilat serta mudah disobek adalah antara pilihan pengukir untuk menghasilkan pelbagai ukiran pada kukur.

Bentuknya yang mudah dan ringkas membolehkannya diangkat menjadi satu barang seni hasil kreativiti tukang ukir. Ini dapat dilihat melalui ukiran yang terdapat di bahagian badan, kaki dan leher kukur.

Antara contoh motif ukiran pada kukur kelapa ialah bunga kerak nasi, bunga pepulut, biji saga kenering, tali pintal, Langkasuka dan kain batik.

Di sebalik motif ukiran yang dihasilkan pada kukuran, ia mempunyai makna dan falsafah tersendiri.

Kukur orang Melayu Pattani di Terengganu dan Kelantan mengggunakan motif daun sulur kacang, ketam guri dan ketumbit.




Tambah Zainah, jenis kukuran pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu kukuran jantan dan kukuran betina. Kukuran jantan digunakan oleh kaum wanita manakala kukuran betina digunakan oleh kaum lelaki.

"Kukuran jantan dapat diketahui melalui ukiran di bahagian bawah badan kukuran. Manakala kukuran betina mempunyai tempat duduk lebar, leher yang panjang dan kawasan kukur yang besar serta panjang.

"Gaya duduk pada kukuran ini seolah-olah menunggang kuda," kata Zarinah yang mengajak orang ramai menyaksikan pameran kukur kelapa di Muzium Negara sekarang.

Menurut Pengurus Acara, Festival Kuala Lumpur, Hassan Saad, pertandingan kukur kelapa di Pasar Seni diadakan memandangkan semakin ramai masyarakat di Malaysia yang melupai tradisi ini.

"Kerana arus kemodenan, ramai yang tidak mahu menggunakan kukur kelapa. Ini kerana mereka mahu menjimatkan masa dan tenaga.

"Sebab itu mereka tidak lagi menggunakan kukur kelapa ini," ujar beliau.

Sebenarnya kukur kelapa masih lagi dijual khususnya di Chow Kit. Ini menunjukkan ia terus mempunyai permintaan terutama daripada generasi yang sememangnya hidup dan membesar dengan alat ini.

"Kadang-kadang sesetengah masyarakat menggunakan kukur kelapa kerana mereka selesa dengannya.

"Sebenarnya, tradisi ini patut dikekalkan supaya muda-mudi zaman sekarang tahu mengenai peralatan tradisi ini," ujar Hassan lagi.

Infiniti!»

Perabot daripada kayu pain terpakai

KAYU pain disimpan rapi di dalam bengkel untuk mengekalkan ketahanannya sekali gus tidak mudah rosak.

Varia!»

Melahirkan jutawan bidang penternakan

SITI FATONAH (dua dari kanan) bersama Mohamad Jamil (dua dari kiri) di hadapan Akedemi Usahawan MJ Fatonah di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47