NEGARA

Kereta bawa Anwar dipintas polis

Kereta bawa Anwar dipintas polis


AZIZAH keluar dari Parlimen selepas menerima berita suaminya ditahan.


KUALA LUMPUR - "Sedang saya memandu kenderaan pelbagai guna Mazda yang biasa digunakan untuk membawa Datuk Seri (Anwar) dan keluarganya tiba-tiba kami dihalang oleh tiga kereta peronda."

Demikian dakwaan Abdullah Sani Said, 49, yang merupakan pemandu peribadi Penasihat Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 25 tahun lalu.

Katanya, ketika itu dia bersama Anwar dan dua peguamnya iaitu R. Sivarasa dan S.N. Nair dalam perjalanan pulang ke rumah Anwar di Bukit Segambut selepas memberi keterangan di pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Difahamkan, Anwar mengambil keputusan untuk pulang ke rumah kerana hendak mengerjakan solat dan makan tengah hari sebelum pergi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama peguam dan ditemani anaknya, Nurul Izzah.

Menurut Abdullah, kejadian pukul 12.50 tengah hari itu berlaku 50 meter dari rumah Anwar.

"Ketika itu saya nampak kira-kira 20 anggota polis yang lengkap bersenjata dan ada yang memakai topeng telah mengelilingi kenderaan saya sebelum salah seorang mereka memperkenalkan diri sebagai polis," katanya ketika ditemui di IPK Kuala Lumpur di sini semalam.

Menurutnya, polis tidak bertindak kasar dan menjemput Anwar masuk ke dalam kenderaan mereka dengan cara baik dan tidak memaksa, tidak digari atau mengheretnya.

Sementara itu, S.N. Nair ketika ditemui pula berkata, tiga minit sebelum kenderaan yang dinaiki mereka ditahan, dia menerima panggilan daripada pegawai penyiasat kes liwat itu bertanyakan sama ada Anwar akan datang atau tidak.

"Saya kata 'ya' kerana anak guam saya memang telah bersetuju hendak memberi keterangan pada hari ini (semalam) selepas ke BPR.

"Kemudian, dalam sekelip mata, kereta kami ditahan dan keluar polis yang mengatakan mereka ingin mengambilnya (Anwar) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, Anwar mula memberi keterangan kira-kira pukul 2.50 petang semalam di tingkat tujuh bangunan itu dan mungkin akan direman sekiranya polis tidak melepaskannya dalam tempoh 24 jam dari mula dia ditahan.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31