NEGARA

Penasihat PKR akhirnya ditahan

Penasihat PKR akhirnya ditahan


ANWAR (tengah) keluar dari Ibu Pejabat BPR di Putrajaya semalam selepas memberi keterangan.


KUALA LUMPUR - Tidak sampai 24 jam selepas polis mengeluarkan kata dua kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tampil memberi keterangan, dia akhirnya ditahan petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditahan pukul 1 petang di Segambut iaitu kira-kira 50 meter dari rumahnya oleh sepasukan polis Bukit Aman.

Menurut beliau, penyokong atau ahli keluarga Anwar tidak perlu bimbang mengenai keselamatan Anwar kerana dia mengesahkan Anwar berada dalam keadaan selamat dan sedang membantu polis dengan memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Dalam proses tangkapan terhadap Anwar, polis telah menjalankan tugas secara profesional berdasarkan kepada keperluan tersebut (keselamatan) dan tidak berlaku sebarang tindakan yang melanggar garis panduan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di Bukit Aman semalam.

Mohd. Bakri berkata, polis telah menahan Anwar semasa dia dalam perjalanan kerana tidak mahu membuat tangkapan di dalam rumahnya kerana ia berkemungkinan boleh menimbulkan kekecohan.

"Polis mempunyai waran tangkap dan lokasi penahanan dibuat mengambil kira dari sudut keselamatan operasi yang dijalankan terhadap pegawai, anggota polis termasuk terhadap tertuduh yang diambil tindakan," jelasnya.

Selepas ditahan, jelasnya, polis telah membenarkan Anwar yang dibawa ke IPK Kuala Lumpur ditemani oleh peguamnya selain turut dibenarkan berjumpa dengan ahli keluarganya.

Mohd. Bakri terus meninggalkan bilik sidang akhbar selepas membacakan keterangan yang ditulis pada dua helai kertas tanpa menjawab pertanyaan wartawan tempatan dan luar negara.

Dalam pada itu, di IPK, kira-kira 300 penyokong Anwar berkumpul di pekarangan IPK sehingga lewat malam. Seorang wanita yang menimbulkan kekecohan ditahan. Sebahagian lagi penyokong Anwar berkumpul di rumahnya.

Sementara itu, di Sepang, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, penahanan Anwar adalah amalan biasa dalam siasatan kes jenayah dan dibuat mengikut proses undang-undang.

Beliau berkata, adalah menjadi amalan kepada semua pihak termasuk Anwar, selaku tertuduh untuk tampil dan memberikan keterangan bagi membolehkan polis membuat siasatan secara adil.

"Polis tahu apa yang mereka lakukan dan polis hanya jalankan tanggungjawab bagi menyiasat kes ini," kata beliau sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini petang semalam dari Brunei.

Process time in ms: 31