RENCANA UTAMA

Kegilaan sukan jalanan

Kegilaan sukan jalanan

Mereka pernah patah buku lali dan terkoyak ligamen hingga perlu dibedah. Mengapa selepas 20 tahun, peminat fanatik papan selaju ini terus aktif?




BERMODALKAN wang sebanyak RM250 yang diperoleh selepas menjual basikal BMX miliknya, Johary Fitry Khairuddin membeli papan selaju pertamanya yang berbentuk seperti ikan di gedung permainan kanak-kanak Toys "R" Us, 20 tahun lalu.

Anak muda ini mengenali sukan papan selaju menerusi televisyen dan permainan video, selain iklan Milo yang ditayangkan pada tahun 1988.

Bersemangat untuk mencuba perkara baru yang lebih agresif, Johary tidak pernah terfikir bahawa dia akan terus meluncur sehingga sekarang.

Gelanggang pertamanya adalah jalanan di sekitar Ipoh, Perak. Pada masa itu, tiada medan luncur di bandar raya itu. Papan selaju yang dimilikinya juga terhad. Kebanyakan yang ada merupakan hadiah kemenangan dalam pertandingan yang disertainya.

"Mula-mula saya main di Ipoh. Kena marah dan dihalau polis itu perkara biasa. Sebenarnya di mana-mana pun begitu sebab sukan ini dikaitkan dengan masalah vandalisme.

"Tetapi anda perlu tahu semuanya bermula di jalanan. Seronoknya bermain di jalan atau kaki lima ialah kerana keadaan yang bebas dan rasanya lebih mencabar.

"Di sana, ada banyak permukaan yang tidak boleh diluncur tetapi kami akan cuba juga," jelasnya yang pernah terlibat dalam iklan McDonald's, Toyota, Coca-Cola serta X-Mild dan menerima bayaran lumayan untuk melakukan aksi-aksi stunt.


PERMAINAN papan selaju sinonim dengan sukan jalanan kerana di situlah ia bermula.


Lebih dikenali dengan panggilan Joe Ipoh, dia mengakui meluncur papan ini bukannya semudah bermain bola sepak atau sukan lain. Indikatornya, ramai sekali yang berputus asa selepas sekian lama cuba menguasai kemahiran mengendalikan papan selaju.

Biarpun begitu, pada tahun 1989, Joe membuktikan kebolehannya dengan menyertai Asian X-Games di Phuket Thailand. Kemudian, pada tahun 1992, dia menjadi juara pertandingan sukan ekstrem itu di Jakarta.

Joe juga berpeluang ke pertandingan di Amerika Syarikat (AS). Malangnya, dia gagal memperoleh visa untuk ke sana pada saat-saat akhir.




Walaupun sudah banyak mengecap kejayaan dalam pelbagai pertandingan, Joe memberitahu dia mengambil masa hampir tiga tahun untuk meyakinkan ibu bapanya supaya menyokong minatnya itu.

"Boleh dikatakan semua ibu bapa tidak membenarkan anak mereka main papan selaju sebab ia bahaya. Namun apabila mereka sudah dapat lihat pencapaian, sokongan itu hadir secara sendiri.

"Masa dulu, saya memang gila main skateboard. Saya pernah pergi ke Kuala Lumpur untuk skate dan balik semula ke Ipoh pada hari yang sama.

"Namun sukan ini tetap ada risikonya. Buku lali saya pernah patah dan ligamen terkoyak sampai kena buat pembedahan. Kaki pula jadi lembik.

"Biasalah kalau sakit badan. Tapi saya lain pula, kalau tak skate sakit badan. Sekarang, saya cuma boleh skate selama dua jam. Dahulu, saya skate dari pagi sampai malam," kenang Joe, disambut derai tawa rakan-rakannya.

Kini, pada usia 35 tahun, hobi itu telah bertukar menjadi kerjaya. Joe sekarang merupakan jurulatih peribadi yang memberi khidmat tunjuk ajar dan latihan kepada mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam sukan ekstrem ini. Caj yang dikenakan Joe ialah RM30 sejam.

"Sebagai jurulatih, saya ajar pelatih supaya memakai pad keselamatan bagi mengelakkan kecederaan. Selain itu, mereka diajar cara menggerakkan papan selaju, mengimbang badan dan sebagainya.

"Berapa lama hendak mahir, bergantung kepada individu. Mereka kena rajin berlatih dan tidak boleh paksa diri untuk mahir dalam tempoh tertentu," katanya lagi.

Joe turut menawarkan perkhidmatan menyewa peralatan extreme park bergerak, di samping aktif memasarkan papan selaju atas jenamanya sendiri - H.U.Y.O, singkatan Hard.Unique.Youthful.Original.

"Papan selaju H.U.Y.O sudah habis. Sekarang sedang tunggu stok baru sampai dari China," jawab Joe ketika diminta menunjukkan papan selajunya untuk tujuan fotografi.

Bercerita tentang kos sukan ini pula, Joe memberitahu harga sebuah papan selaju bergantung pada jenamanya. Paling mahal ialah sekitar RM500. Memandangkan ia diperbuat daripada kayu, jadi ketahanan alat ini banyak dipengaruhi oleh corak penggunaannya.

"Satu hari pun boleh patah sebab ia papan. Kalau salah landing (mendarat) pun boleh rosak. Paling penting, jangan kena air, sebab papan boleh jadi lembut dan mudah patah," terangnya bersungguh-sungguh.

Itu cerita Joe Ipoh. Seorang lagi old timer (otai) sukan ekstrem ini yang senang dipanggil sebagai Boy Ipoh telah memeriahkan dunia papan selaju tempatan sejak lebih 20 tahun lalu.

Pemilik nama Adlan Farazi Mohd Ariff, 30, ini masih aktif dalam sukan yang sudah menjadi darah dagingnya.

"Minat terhadap sukan ini timbul selepas melihat seorang mat saleh dan remaja Cina bermain papan selaju di gelanggang sepak takraw di Ipoh.

"Jadi, saya minta ayah dan mak belikan skateboard. Akhirnya dapatlah skateboard California Pro yang berharga RM200," katanya yang pernah mendapat penajaan daripada pihak Zone 5 Skateboard, kedai papan selaju yang beroperasi di Kompleks Kotaraya, Kuala Lumpur.

Pengalaman luas Boy Ipoh dalam sukan ini membolehkannya dilantik sebagai juri di bawah naungan Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (ESAM).

Petang itu, Boy hadir bersama anak lelakinya, Ahmad Adlan Anaqi, 8. Sama seperti bapanya, Anaqi lincah mengendalikan papan selaju yang sekali sama besar dengan saiz badannya.

Seorang lagi otai sukan ini ialah Kieron John Brodie, 29. Dia sudah 16 tahun terlibat dalam sukan yang sedang berkembang ini.

Jelas Kieron, menerusi sokongan daripada kerajaan dan para penaja, sukan ini mampu untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi. Cuma, peluncur tempatan memerlukan pendedahan yang lebih meluas, bukan sekadar bertanding di negara-negara Asia.

Peluncur di China misalnya, ada yang dihantar untuk bertanding di Los Angeles, Amerika Syarikat dan belajar dengan ramai pakar di sana.

"Menonton televisyen atau video sangat berbeza berbanding melihat sendiri orang membuat kesilapan. Anda akan dapat belajar dengan lebih pantas.

"Selain pendedahan, peluncur tempatan juga memerlukan tunjuk ajar daripada jurulatih berkaliber. Malangnya, kita tiada jurulatih seperti itu," jelas Kieron dalam nada terkilan.

Menurut Boy Ipoh pula, walaupun sukan ini semakin berkembang, tahap kemahiran peluncur tidak banyak kemajuannya.


REKA bentuk medan luncur di negara ini dikatakan kurang berkesan dalam melahirkan pemain bertaraf dunia.


Antara kekangannya ialah reka bentuk halangan yang dibina di medan luncur di Malaysia sama sahaja, jadi cara permainan peluncur juga tidak banyak berubah. Itu belum ditambah dengan isu medan luncur yang tidak diselenggara dengan baik.

Masalah penaja juga terus berlarutan. "Jika anda seorang tukang basuh pinggan, jangan berhenti kerja kerana sukan ini tidak menjanjikan wang yang lumayan.

"Berbanding di China dan Indonesia, penaja di sana membayar gaji kepada pemain tajaan mereka. Jadi, pemain boleh hidup dan bukan setakat membawa jenama dalam pertandingan.

"Lagipun, anda perlu mempunyai reputasi yang hebat sebelum mana-mana kedai papan selaju memilih anda.

"Namun kebanyakan penaja ini hanya akan menaja papan selaju, topi dan kemeja T, bukannya makanan," kata Kieron serius.

Varia!»

Kumpul wang terbit novel

Novel cinta sangat sinonim dengan kaum wanita sama ada pembaca atau penulis.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31