RUANG

Bilik terapung atas air

Bilik terapung atas air

Air kolam mengalir di bawah bilik dengan ikan kap Jepun dan ikan emas berenang-renang menghiasi pemandangan dari dalam bilik tamu Abdul Majid Husan dan Zaliha Hussain.


GABUNGAN material binaan dan kemasan dekorasi yang berlainan memberi impak pada sudut ini.


KONTRAKTOR kelas F dan pengusaha kantin sekolah, Abdul Majid Husan, 55, dan Zaliha Hussain, 50, tampak sederhana pertama kali ditemui di pintu gerbang Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor.

Menyusuri kawasan perumahan yang agak baru dibangunkan itu, kami tertanya-tanya adakah suasana resort yang disebut tuan rumah dapat diperoleh dalam landskap yang masih lapang dan kurang menghijau itu.

Malah deretan rumah kosong yang masih banyak membuatkan 'kegersangan' kawasan itu agak kuat terasa.

Pintu pagar kayu dan besi berbunga menyambut kami di muka depan rumahnya. Pada bahagian pagar simen ditanam dua pohon buah naga dan beberapa pokok bunga kertas yang dipotong gaya bonsai. Kemas dan terjaga rapi.

Laman depannya yang dapat memuatkan dua buah kereta dibiarkan kosong beralas kepingan batu simen dan batu sungai.


POKOK buah naga juga menjadi entiti landskap yang menarik.


Pandangan dilempar ke sisi sebelah kiri rumah. Rumput karpet tumbuh menghijau. Ia turut dihiasi kepingan simen seperti kayu. Susunannya yang berjarak sekata antara satu sama lain bagaikan menyambut setiap langkah kaki.

Di situ sepohon pokok bunga kertas bonsai berdiri kaku. Unik dek batangnya yang menampung kelompok daun dan bunga berlainan warna. Sekali pandang seperti sudah mati, hakikatnya bunga kertas itu tumbuh melalui batang yang bagaikan rangka itu.

Merapati dinding pagarnya ialah pokok berpelepah besar seperti keladi gergasi. Menyusun tumbuhan landskapnya dengan bijak, pada dasar tumbuhan sederhana besar itu ditanam tumbuhan tutup bumi atau renek serta disusun ketulan batu putih.

Pergola kayu menambah karakter pada laman ini. Membentuk terowong ke pintu masuk belakang, tiangnya dibiar dilingkari tumbuhan memanjat. Menariknya, yang tumbuh ialah pokok anggur.

Namun kerana masih muda, buahnya belum kelihatan sama ada berwarna hijau ataupun merah. Tumbuhan lain yang ada termasuklah kesidang dan bonsai.


HALAMAN rumah yang indah memudahkan Abdul Majid dan Zaliha menghabiskan waktu kualiti bersama anak-anak tercinta.


Tiba di pintu rumah belakang, sebuah set meja kerusi berkonsep resort menanti. Pada latarnya kedengaran bunyi air mengalir tenang. Tidak sukar mencari kolam yang menjadi puncanya.

Menyimpan ikan kap Jepun dan ikan emas di dalamnya, pemandangan dan bunyi yang mengiringi cukup mendamaikan. Inilah resort yang dimaksudkan.

Angin menderu sepoi-sepoi bahasa. Suasana diredupkan lagi dengan pokok buluh dan tumbuhan akuatik yang berdiri tinggi pada bucu-bucu kolam.

Berbeza berbanding kolam yang lazim ditemui di rumah-rumah yang pernah dikunjungi, kolam ini mengalir sehingga ke bawah bilik tamu yang dibina menghadap kolam itu. Malah dari lantainya boleh nampak ikan-ikan berenang di bawahnya.


SET sofa dengan sarung putih polos sudah cukup menyerikan ruang menonton televisyen.


Menurut Zaliha, bahagian hujung bilik itu merupakan bahagian tambahan, membolehkan kolam itu dipanjangkan sehingga ke bawah bilik berkenaan. Ini memberikan efek bilik itu umpama terapung di atas air. Disebabkan itulah tiada tiang kelihatan dari arah kolam.

Ruang tamu yang merupakan bahagian utama rumah ini mengubah suasana. Menempatkan sofa merah baldu potongan moden berdekatan pintu lungsurnya, langsir yang dipasang disuai padan dengan tempat duduk itu.

Daripada merah sehinggalah jingga, pilihan warna itu menaikkan suasana ceria biarpun set perabot hitam putih mendominasi ruangan itu.

Satu lagi bahagian menarik di dalam kediaman ini ialah tangganya yang telah dibina semula.

Cuba menampilkan kelainan, tangga barunya dimulakan dengan anak tangga yang lebih besar dari bawah dan diperbuat daripada papan balak. Tiada rel pemegang, menjadikan bahagian itu kelihatan lebih luas.


KEDIAMAN ini menggabungkan gaya resort dan moden kontemporari.


Dapur dibina kecil kerana sebagai pengusaha kantin, masak-memasak lebih banyak dilakukan di tempat kerja. Pulang ke rumah, hanya kerja-kerja memasak yang ringan dilakukan.

Mengaplikasi konsep dapur rumah lama, galang kayu dibariskan pada bahagian atasnya sebagai sistem pengudaraan konvensional.

Ciri lain yang menambah baik elemen rumah yang menggabungkan konsep resort dan moden kontemporari ini ialah pemasangan sistem penggeranya.

Beroperasi 24 jam sehari, rumah ini tidak disempadani sebarang jeriji besi yang biasanya membuatkan penghuninya berasa seperti berada di dalam penjara.

Tidak perlu diaju soalan siapa perekanya, Abdul Majid pantas mengiyakan hasil kerjanya. Nyata, pengalamannya selama 12 tahun membuahkan hasil sehinggakan hampir setiap minggu rumahnya dikunjungi tetamu yang mahu melihat sendiri kreativitinya.

Rencana Utama!»

Impian setiap kaki pancing

MAZNAH (tiga dari kanan) berjaya menangkap seekor ikan layaran seberat 60 kilogram pada hari kedua RPBIC 2014 di perairan Rompin.

Varia!»

Rekrut ahli melalui Facebook

AHLI-AHLI militan ada yang direkrut melalui laman Facebook. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15