VARIA

Lelaki pupus di IPTA

Lelaki pupus di IPTA

Benarkah sistem pendidikan Malaysia hari ini tidak kondusif untuk memupuk minat kaum lelaki terhadap pelajaran? Atau adakah ia hanya sekadar alasan kepada sikap malas pelajar lelaki?


BENARKAH faktor sekeliling seperti rumah yang sempit, teknik pengajaran lisan dan sistem pendidikan berteras peperiksaan membantutkan minat kaum lelaki dalam akademik? - Gambar hiasan


FENOMENA penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti dibangkitkan lagi. Statistik kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009. Kenapa pelajar lelaki semakin pupus di universiti?

Fenomena ini meresahkan banyak pihak termasuk pakar dalam dasar kepimpinan Profesor Madya Dr. Azahari Ismail yang ditemubual di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Azahari berkata fenomena kekurangan pelajar lelaki di universiti adalah isu kompleks yang berpunca daripada faktor berkait, secara langsung dan tidak langsung, yang perlu diteliti secara mendalam kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada negara dan masyarakat.

Beliau berkata fenomena kepupusan itu akan memberi implikasi besar kepada agama, sosio-ekonomi dan psikologi masyarakat, khususnya institusi keluarga, kerana lazimnya lelaki adalah ketua keluarga.

"Terima atau tidak, kejayaan seseorang itu bergantung kepada pendidikan, jadi kalau bakal-bakal bapa ini tiada pendidikan bermakna institusi keluarga akan hancur.

"Ini akan menyumbang kepada masalah lain seperti fenomena 'bapa kelam' iaitu bapa yang tidak berperanan. Sudahlah isteri pandai daripada dia, nak cakap banyak tak boleh dan dalam sesetengah kes, gaji bini lebih banyak. Bapa ini powerless and meaningless (tak ada kuasa, tak berperanan)," katanya.

Dalam mengupas isu itu, Azahari mengaitkan kurikulum sistem pendidikan negara yang menyerap sistem pendidikan moden barat yang lebih kondusif kepada pelajar wanita sebagai faktor menyumbang kepada fenomena kepupusan pelajar lelaki di universiti itu.

Beliau berkata sehingga tahun 1800, sistem pendidikan Barat moden dicipta bagi memenuhi keperluan masyarakat yang dikuasai lelaki pada ketika itu sehingga berlakunya pergerakan mendapatkan hak sama rata untuk wanita di Amerika Syarikat (AS) di mana pakar-pakar akademik perempuan mencari jalan mengimbangi gender dalam pendidikan.

Bermula daripada itu, sistem pendidikan telah diubah secara menyeluruh daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran, kandungan kurikulum dan penilaian supaya lebih kondusif untuk membantu pelajar perempuan.

"Pada 1974, saya telah bercakap dengan Edna Saffy (President National Women Organisation Chapter South East America) yang memberitahu saya bahawa beliau menjalankan kempen untuk menggalakkan profesor (di AS) terutama di fakulti pendidikan untuk mengubah kurikulum ke arah itu.

"Ini penting kerana pemikiran pada waktu itu ialah pasca hippie dan antiperang yang secara tidak langsung mengubah haluan pendidikan," katanya.

Beliau berkata kurikulum itu telah berjaya memudahkan pelajar wanita berjaya dalam pengajian.

Azahari yang juga pengarah yang merangka program siswazah menganggur di negara ini pada 1986 berkata, pada ketika itu, keseimbangan antara pencapaian lelaki dan perempuan di AS tidak parah kerana nilai judaeo-christian, frontier mentality dan individualism masih kuat sekali gus mendesak lelaki untuk berusaha.

Berlainan dengan Malaysia, beliau berkata negara ini telah mengubah sistem pendidikan tanpa sedar (kerana kebanyakan ahli akademik sekitar 30 atau 40 tahun lepas belajar di AS) sedangkan nilai tradisi tempatan tidak mantap menyebabkan ramai pelajar lelaki hilang jati diri.

"Ramai lelaki yang melalui proses ini hilang jati diri dan tidak bersungguh-sungguh. Sebab itu saya kata fenomena kepupusan itu parah dan Amerika sendiri mula merasa kesannya selepas 40 tahun," katanya.

"Budaya komunikasi pelajar lelaki bergantung pergerakan atau penggunaan visual dan grafik dalam pembelajaran.

"Secara langsung, pengajaran secara lisan lebih membantu pelajar perempuan berbanding pelajar lelaki yang memerlukan elemen bukan lisan dalam meningkatkan keupayaannya memahami sesuatu subjek," katanya.

Dalam konteks itu, Azahari menegaskan kurikulum yang lebih secocok dengan stail dan keperluan psikologi wanita serta sistem penilaian yang bersifat penilaian akademik (baru akhir-akhir ini diubah dengan memasukkan elemen kokurikulum) secara tidak langsung menyebabkan longgokan pelajar wanita.

"Bagaimanapun fakta bahawa ramai perempuan dalam universiti bukan masalah, atau gejala tidak baik. Itulah satu rahmat besar sebab masa merdeka dulu berapa ramai perempuan belajar tetapi yang menjadi masalah ialah semakin pantas kadar kekurangan pelajar lelaki itu," katanya.

Dalam konteks itu, Azahari mencadangkan satu jawatankuasa kerja khas kebangsaan di peringkat kementerian dan universiti ditubuhkan untuk mengkaji dan mencari penyelesaian kepada fenomena kepupusan pelajar lelaki itu.

"Ini bukan perdebatan dalam usaha untuk membangunkan golongan wanita tapi apa yang penting usaha untuk memastikan pelajar lelaki tidak terus terpinggir dan memberikan implikasi negatif kepada negara," katanya. - Bernama

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 31