SUKAN

Rentak Kedah makin garang

Rentak Kedah makin garang


PEMAIN Kelantan, Badri Radzi (kiri) bersaing dengan pemain Melaka pada aksi Piala Malaysia di Stadium Mohammed IV malam tadi.



SELEPAS berjaya mempertahankan gelaran juara Piala FA pada perlawanan akhir menentang Selangor Sabtu lalu, Kedah terus mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menundukkan Pulau Pinang 1-0 dalam aksi Kumpulan B saingan bola sepak Piala Malaysia malam tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Batu Kawan itu, skuad Kenari dilihat lebih banyak melakukan percubaan ke gawang lawan khususnya pada separuh masa pertama namun gagal menepati sasaran.

Bagaimanapun, sorakan penyokong skuad Kenari mula menggamatkan suasana apabila Mohd. Khairil Muhymeen bijak menanduk hantaran Nelson Sam Martin sekali gus menghadiahkan gol kemenangan buat pasukannya pada minit ke-45.

Aksi separuh masa kedua lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Pasukan pelawat yang dilihat mempunyai beberapa peluang keemasan menerusi Mohd. Fadly Baharom bagaimanapun gagal menambah jaringan apabila beberapa percubaan yang dilakukannya berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Faizal Mohd, Yusoff.

Tuan rumah turut berpeluang menyamai kedudukan tetapi dinafikan penyudah yang lemah.

Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menyifatkan kemenangan yang dicipta anak buahnya semalam berpunca daripada semangat juang yang tinggi selepas mereka menjuarai Piala FA minggu lalu.

"Saya amat bangga dengan apa yang telah ditunjukkan oleh pemain Kedah kerana walaupun jelas nampak kelesuan selepas mengharungi lima perlawanan penting sebelum ini, tetapi mereka masih mampu mengutip 3 mata penuh malam ini," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, Kuala Lumpur turut mencatat kemenangan apabila menewaskan Sabah 3-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

Di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu, tuan rumah, Kelantan menewaskan Melaka 3-1 dalam saingan Kumpulan A.

Kelantan yang dilihat terdesak untuk meneruskan rentak cemerlang di gelanggang sendiri memulakan malam ceria itu dengan jaringan pembukaan oleh Badri Radzi pada minit ke-19 diikuti jaringan menerusi sepakan penalti juga oleh Badri pada minit ke-52.

Gol ketiga Kelantan hadir pada minit ke-70 menerusi Farisham Ismail Melaka mendapat gol saguhati menerusi Kofi Etsiba Shaw sembilan minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Pada perlawanan lain, Negeri Sembilan tewas 1-2 kepada Terengganu sementara Selangor membenam Sarawak 3-1.

Pada perlawanan Kumpulan C, Pahang seri 2-2 dengan Perak di Kuantan sementara Perlis tunduk 1-2 kepada UPB-MyTeam di Kangar.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula tunduk kepada Johor PBT 1-3.

Varia!»

Kumpul wang terbit novel

Novel cinta sangat sinonim dengan kaum wanita sama ada pembaca atau penulis.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31