HIBURAN
Nokhtah cinta Linda dan Fahrin

DUA tahun seperti belangkas ketika menghadiri banyak majlis berkaitan dunia seni, hubungan mereka terjawab sudah.
Kisah hubungan cinta atau persahabatan mereka yang sebelum ini memberi banyak teka teki kepada pihak lain akhirnya bertemu titik nokhtah. Antara Fahrin Ahmad dan Linda Onn tidak semesra dulu lagi. Itu yang pasti.
Apa juga klasifikasi hubungan mereka, baik Linda atau Fahrin mengakui mereka tidak akan pergi dengan lebih jauh lagi dalam hubungan berkenaan.
“Memang kami tidak serapat dulu lagi,” demikian luah Fahrin kepada Kosmo! ketika ditanya mengenai kisah terbaru membabitkan hubungannya itu.
Menurut Fahrin dia sudah serik untuk melalui episod persahabatan yang diterjemahkan sebagai ‘teman tetapi mesra’ seperti pernah dilaluinya sebelum ini.
“Yang sudah tu sudahlah. Apa yang penting selepas ini saya hendak berkawan dengan perempuan untuk dijadikan isteri. Saya sudah serik dengan hubungan ‘teman tapi mesra’,” katanya dengan bahasa yang tersirat penuh makna.
![]() |
|
KATA Fahrin, dia sudah serik menjalin hubungan sebagai ‘teman tetapi mesra’ seperti ini. |
Diminta mengulas lanjut status hubungannya dengan Linda, kata Fahrin dalam persahabatan tidak mustahil berlaku banyak masalah. Demikian juga yang berlaku apabila bercakap tentang hubungan dengan personaliti wanita berkenaan.
“Mungkin kami tidak serapat macam dulu lagi. Biasalah sebagai kawan-kawan selalu akan ada masalah. Tetapi kita tetap akan berkawan sampai bila-bila,” kata aktor kacak ini.
Fahrin sempat memberitahu bahawa dalam kehidupannya dia sering mendoakan yang terbaik buat Linda tanpa mengira apa status hubungan mereka selepas ini.
Malah ketika Kosmo! memberitahu kenyataan Linda bahawa wanita itu bercadang berkahwin hujung tahun ini, begini komen Fahrin.
“Kalau benar dia sudah hendak kahwin, saya gembira. Memang dalam usia sekarang dia patut sudah berkahwin pun.”
Sementara itu Kosmo! turut mendapat penjelasan daripada Linda sendiri mengenai hal berkenaan.
Linda tidak menolak untuk memberitahu duduk perkara sebenar hubungan itu dalam status terkini.
![]() |
|
LINDA ONN |
“Saya tidak pernah bercinta dengan dia, macam mana saya boleh putus hubungan dengannya?”
Linda ternyata tidak menolak untuk mengulas hal itu malah, dia masih lagi tetap dengan pendiriannya dan berulang kali menegaskan bahawa mereka berdua sekadar teman biasa.
Kenyataan yang sama dan berulang-ulang daripada personaliti berkenaan setiap kali ditanya mengenai status hubungannya dengan Fahrin.
Linda memberitahu merujuk kepada hubungannya dengan Fahrin sebelum ini tidak wujud perasaan istimewa dalam dirinya. Fahrin hanya sekadar teman baik, itu sahaja.
Justeru Linda juga mengatakan perkataan pertunangan mahupun perkahwinan sudah pasti bukan milik mereka berdua.
“Kami tidak akan pergi jauh sama ada di alam pertunangan mahupun perkahwinan,” ujarnya memberikan gambaran terkini hubungannya dengan aktor kacak itu.
Pun tatkala mendengar nada suara daripada kenyataannya itu, ia seolah-olah memberi gambaran kepada penulis bahawa jawapan sebenarnya ialah ‘ya, memang kami putus’.
Tetapi sejauh mana hati mereka terluka dengan perpisahan itu, yang tahu akan kebenarannya hanyalah Linda dan Fahrin sahaja.
![]() |
|
FAHRIN AHMAD |
Tanpa berselindung Linda memberitahu, sejak kisah ‘cintanya’ itu di gembar-gemburkan ia telah memberikan banyak tekanan kepadanya.
Malah Linda berkata: “Kalau boleh saya nak pakai baju T dengan tulisan ‘saya bukan kekasih Fahrin!’ agar orang ramai tidak perlu bertanyakan soalan yang sama kepada saya.
“Sampaikan beberapa rakan saya juga tanya, kenapa saya tak mahu mengaku bahawa kami bercinta? Macam mana saya nak mengaku kalau benda ini tidak benar?” ulasnya lagi.
Kahwin hujung tahun ini
Walaupun menafikan cerita cinta, Linda tidak berselindung dan memberitahu bahawa dia bakal mendirikan rumah tangga pada hujung tahun ini ataupun selewat-lewatnya awal tahun depan.
Runsing kepala memikirkan kenyataan Linda yang satu ini.
Jika Fahrin sekadar teman dan sahabat, siapa pula jejaka bertuah yang berjaya mencuri hati wanita tinggi lampai ini.
Ditebak pertanyaan adakah kini dia sudah pun memiliki calon lain yang lebih sesuai sebagai teman hidup? Begini jawapan Linda.
“Setakat ini saya ada beberapa kenalan. Tetapi jika anda tanya bilakah saya akan tutup diari bujang saya, perancangan saya ialah sama ada pada akhir tahun ini ataupun awal tahun depan. Itu pun jika ada jodoh,” katanya jujur.
Penyampai radio Era yang juga merupakan seorang ahli perniagaan ini juga menegaskan dia hanya akan berkahwin selepas rumah barunya yang terletak di satu lokasi eksklusif di Kuala Lumpur siap dibina.
“Yang penting, selepas rumah baru saya siap. Ia berkemungkinan besar pada akhir tahun ini,” tuturnya yang juga tidak sabar-sabar untuk membuka restoran barunya, My Asam Pedas Shop di sekitar Tesco Ampang tidak lama lagi.







Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak