KESIHATAN

Plastik T cegah kehamilan

Plastik T cegah kehamilan

Bagaimanakah alat yang bersaiz tiga sentimeter yang dimasukkan ke dalam rahim ini membantu kehamilan lebih terancang?


PASANGAN suami isteri perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima kehadiran cahaya mata.


KEHAMILAN yang tidak terancang, adakalanya membawa berita menggembirakan, tetapi ia juga boleh membawa konflik rumah tangga dan masalah psikologi kepada sesetengah pasangan yang belum bersedia menerima cahaya mata.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (O&G), Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Ho Choon Moy, merancang kehamilan membantu wanita-wanita hari ini mengimbangi masa antara keluarga dan kerjaya mereka.

Dianggarkan kira-kira 220,000 wanita seluruh dunia mengalami kehamilan yang tidak terancang setiap hari.

"Dengan 80 juta kehamilan tidak terancang secara global ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk merancang keluarga."

"Pada tahun 1998, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 37 peratus kehamilan tidak terancang disebabkan penggunaan kaedah pencegah kehamilan yang tidak konsisten dan betul."

Beliau tidak menafikan kemungkinan terdapat kegagalan dalam aplikasi alat perancang kehamilan dan perlindungan daripada penyebaran penyakit seksual.

"Kaedah perancangan keluarga berada dalam pasaran tempatan sejak tahun 2000 tetapi masih ramai yang belum mengetahui mengenai Intra Uterine System (IUS).

"Dicipta pada tahun 1970-an di Finland dan dilesenkan sebagai alat pencegah kehamilan pada tahun 1990-an, IUS merupakan satu kaedah efektif dalam merancang kehamilan," kata Choon Moy.

Katanya, IUS merupakan sejenis alat plastik kecil yang bersaiz tiga sentimeter, mudah lentur dan berbentuk T. Ia mengandungi hormon pencegahan kehamilan sebanyak 52 miligram yang dimasukkan ke dalam rahim.

"Sarung pada alat ini akan melepaskan hormon levonorgestrel yang amat sedikit pada kadar yang tetap dan berkesan sehingga lima tahun," ujar beliau ketika forum awam bertajuk Revolusi Kesihatan Wanita anjuran syarikat farmaseutikal, Bayer Schering Pharma Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.




Sungguhpun rekaan IUS dengan alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUD) pada zahirnya adalah sama, namun kedua-duanya adalah berbeza.

"Paling utama ialah IUS merupakan satu alat yang diperbuat daripada plastik mudah lentur dan mengandungi hormon levonorgestrel bagi mencegah kehamilan, manakala IUD pula merupakan sebuah alat yang mempunyai tembaga."

Lazimnya, pengguna IUD akan mengalami pendarahan haid yang lebih teruk dan jangka masa yang lebih panjang. Sebaliknya, penggunaan IUS menyebabkan pendarahan yang sedikit dan pendek, malah mereka yang menggunakan sistem ini kebanyakannya hanya perlu memakai pelapik seluar dalam.

Sesuai untuk mereka yang ingin merancang keluarga dan aktif dalam sukan renang dan selam skuba, penggunaan IUS mempunyai banyak kelebihan.

"IUS mencegah persenyawaan manakala IUD pula mengelakkan penempelan telur yang disenyawakan di uterus.

"Oleh yang demikian, pembentukan embrio tidak akan berlaku apabila memakai IUS," kata beliau.

Penggunaan IUS dipercayai tidak memberikan kesan pada aras kolesterol, mekanisme pembekuan darah, kawalan diabetes, kepadatan tulang mahupun tekanan darah.

"Mengambil masa hanya lima minit untuk dimasukkan ke dalam rahim, IUS bertindak dengan menebalkan mukus servik, sekali gus menghalang sperma mensenyawakan telur.

"Dinding rahim yang menipis menjadikan persekitaran itu tidak sesuai untuk pergerakan sperma dan penempelan telur yang disenyawakan," jelas Chee Moy.

Sehingga kini dianggarkan 10 juta wanita dunia terutama di benua Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menggunakan IUS.

IUS juga sesuai untuk wanita yang mengalami haid yang banyak kerana ia mengurangkan penebalan tisu endometrium. Ini bermakna kedatangan haid menjadi lebih ringan dan singkat.

"Satu lagi kelebihan besar IUS ialah ia tidak memberikan kesan kepada susu badan dan kesan yang diberikan boleh diubah.

"Ini bermakna, selepas IUS dikeluarkan, wanita boleh hamil semula," kata Choon Moy.

Proses pemakaian dan pengeluaran yang mudah, tidak menyakitkan, ringkas dan tidak perlu menggunakan ubat bius.

"Wanita yang mengalami fibroid boleh menggunakan IUS kerana ia membantu mengurangkan pendarahan," kata pakar ini lagi.

Beliau juga tidak menggalakkan pemakaian IUS kepada mereka yang inginkan cahaya mata dalam masa terdekat. Choon Moy menjelaskan, pemakaian sistem itu amat berbaloi iaitu antara RM15 sehingga RM20 sebulan untuk jangka masa lima tahun.

"Kosnya lebih kurang sama seperti anda membeli tuala wanita untuk setiap kedatangan haid," kata beliau.

Tambahnya, IUS sesuai digunakan oleh wanita menopaus.

Bagaimanapun, IUS juga mempunyai kelemahan seperti kedatangan haid yang tidak teratur dalam masa tiga bulan pertama penggunaan.

"Pendarahan berlaku kerana dinding rahim masih tebal dan dalam proses penipisan. Tetapi selepas itu si pemakai akan mendapati bahawa darah haidnya menjadi semakin sedikit dan tempoh haid yang singkat," jelas Choon Moy.

Katanya, secara purata antara 10 sehingga 20 peratus pengguna IUS tidak mengalami pendarahan haid langsung selepas setahun penggunaan.


PAKAR perubatan beranggapan alat Intra Uterine System dianggap teknologi mengawal kehamilan paling signifikan sejak penciptaan pil pencegah kehamilan.


Menjelaskan lebih lanjut : "Ini tidak bermakna pengguna putus haid. Fungsi ovari juga tidak terjejas dan hormon masih dilepaskan seperti biasa. Ia berlaku kerana endometrium menipis.

"Ketiadaan haid hanyalah sementara dan pengguna tidak perlu bimbang kerana apabila IUS dikeluarkan, haid akan pulih seperti sediakala."

"Kebanyakan pakar perubatan beranggapan IUS merupakan teknologi mengawal kehamilan yang paling signifikan sejak penciptaan pil pencegah kehamilan," katanya.

Process time in ms: 15