AKADEMI

Latih murid jimat tenaga

Latih murid jimat tenaga

Mewujudkan kesedaran dalam kalangan generasi muda adalah penting kerana mereka akan menjadi pemimpin, ahli perniagaan dan pengguna pada masa hadapan.


meningkatkan kesedaran murid mengenai kepentingan penggunaan tenaga yang efisien membantu mengurus sumber alam yang lebih baik.


TAHUKAH anda menjelang tahun 2025, Asia bertanggungjawab terhadap peningkatan sebanyak 45 peratus permintaan minyak global dan 25 peratus dalam pertumbuhan permintaan gas asli?

Permintaan tenaga oleh Malaysia sahaja boleh mencecah sehingga 74 juta tan minyak setahun menjelang tahun 2020, sementara pertumbuhan penggunaan tenaga elektrik akan menjadi tertinggi pada kadar 6.1 peratus setiap tahun.

Mendedahkan jumlah tersebut, Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi Philips Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Rajah Kumar berkata : "Dengan peningkatan harga minyak dan tenaga elektrik, ia menjadi satu keutamaan untuk menggunakan tenaga dengan sebaik mungkin, sama ada di rumah, pejabat mahupun di kelas.

"Oleh yang demikian, pada tahun ini, kami telah memutuskan untuk memberi fokus bagi mewujudkan kesedaran murid sekolah rendah terhadap penjimatan tenaga dengan menggalakkan mereka mengubah minda ke arah menjalani gaya hidup yang lebih efisien tenaga."

Beliau berkata demikian semasa pelancaran kempen asimpleswitch atau kempen Kecekapan Tenaga Philip-Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (Cetree) yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis pelancaran kempen ini diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rajah menambah: "Objektif kempen ini ialah untuk mendedahkan komuniti bagi menguruskan tenaga dengan lebih efisien.

"Ini adalah pembelajaran penting untuk mengelakkan pembaziran tenaga, khususnya dengan pengumuman kenaikan tarif tenaga elektrik yang akan efektif pada 1 Julai ini."

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah (Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan), Mohd Anuar Ab Hamid dan Dekan Pusat Pengajian Fizik USM, Prof. Madya Dr Haslan Abu Hassan.




Ini adalah penganjuran fasa kedua kempen kecekapan tenaga asimpleswitch anjuran Philips dengan kerjasama Cetree dan pada kali ini, kempen itu melibatkan 20 buah sekolah rendah di Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Melaka.

"Menjimatkan penggunaan tenaga merupakan jalan penyelesaian yang terbaik terutama dengan peningkatan harga petrol dan juga tarif utiliti seperti tenaga elektrik.

"Jadi, mewujudkan kesedaran dalam kalangan generasi muda adalah penting kerana mereka akan menjadi pemimpin, ahli perniagaan dan pengguna pada masa hadapan. Oleh itu, dengan ilmu yang dipelajari dari peringkat awal, kempen ini diharap dapat membimbing dan menyenangkan hidup mereka pada masa hadapan," ujar Rajah lagi.

Seiring dengan usaha mengubah sikap masyarakat agar berubah kepada gaya hidup yang lebih cekap tenaga, roadshow kempen asimpleswitch di sekolah bertujuan mendidik golongan murid sekolah rendah mengenai pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

Pada masa yang sama, pengisian kempen itu membolehkan murid berkongsi tip-tip mudah tentang bagaimana cara menjimatkan tenaga pada setiap hari.

Tidak menggunakan pendekatan sehala, kempen tersebut lebih bersifat interaktif dan menggunakan permainan yang menyeronokkan supaya dapat merangsang minda pelajar.

Sehubungan itu, di SK Klang Gate baru-baru ini, murid sekolah itu telah menyertai aktiviti permainan versi Monopoly dan Snakes & Ladders yang direka khas dengan memberi fokus kepada penggunaan tenaga yang cekap dan menjimatkan.

Selain itu, murid juga terlibat dalam program pertukaran mentol di mana mereka telah berjanji untuk mengubah gaya hidup yang lebih efisien tenaga dengan menandatangani panji asimpleswitch sambil menukar lampu pijar mereka untuk mendapatkan mentol jimat tenaga Philips.

Sebuah 'dinding janji' juga telah diwujudkan bagi memberi ruang kepada murid meletakkan resolusi mereka untuk menggunakan tenaga dengan lebih cekap.

Pertandingan mewarna turut dianjurkan kepada murid yang lebih muda agar program sehari itu bukan sahaja berilmu tetapi juga menyeronokkan.

"Mengubah cara hidup kepada yang mementingkan kecekapan tenaga bukanlah sukar sangat. Ia boleh semudah mengubah mentol pijar di rumah dengan mentol jimat tenaga.

"Penyelidikan Philips telah menunjukkan sekiranya setiap rumah di Malaysia menggantikan lampu pijar 60 watt (W) dengan tiga 11W lampu jimat tenaga, ini akan membawa kepada penjimatan tenaga hampir 1.5 bilion kilowat sejam.

"Dengan memberikan contoh 5.5 juta rumah di Malaysia, ini bermakna penjimatan setahun dapat mencecah sehingga RM400 juta," ujar Rajah.

Sebagai meningkatkan lagi usaha, sebuah showhome bergerak yang merupakan sebuah kenderaan berkuasa minyak kelapa sawit juga dipamerkan pada kempen tersebut.

Kenderaan tersebut telah direka khas untuk mendidik masyarakat terhadap tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga. Ia mengandungi lima kiosk ilmu yang melibatkan aktiviti ringkas tetapi memberikan pengalaman praktikal iaitu pengetahuan umum terhadap tenaga boleh diperbaharui, peralatan elektrik cekap tenaga, termal solar, tenaga elektrik solar dan biomas.

"Kenderaan ini adalah sebuah alat pembelajaran yang baik. Ia bertindak sebagai duta dengan memaparkan sumber tenaga boleh diperbaharui serta berkongsi cara menjimatkan tenaga dalam kehidupan seharian," ujar Rajah yang memaklumkan bahawa kenderaan tersebut merupakan kaedah yang efektif dalam mewujudkan kesedaran di kawasan-kawasan perkampungan seluruh negara.




Difahamkan, selepas SK Klang Gate, showhome Tenaga Cekap Bergerak Philips-Cetree akan mengembara di beberapa sekolah lain seperti SK St Frances di Melaka, SK Jalan Bahagia Temerloh (Pahang) dan SK Bukit Mertajam (Pulau Pinang).

Menurutnya, kesedaran mengenai penggunaan tenaga yang cekap harus disemai sejak usia yang muda kerana ia akan membentuk sikap dan amalan yang lebih bertanggungjawab terhadap golongan yang semakin meningkat dewasa dan diharap dapat terus diamalkan pada usia yang lebih matang.

"Inisiatif ini bukan sahaja membantu menguruskan tenaga dan wang, tetapi juga membentuk keupayaan menggunakan sumber semula jadi dan seterusnya memelihara alam untuk generasi seterusnya," kata Rajah lagi.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47