NEGARA

Ayam dijual melebihi harga siling

Ayam dijual melebihi harga siling


AYAM bersih dijual RM6.50 sekilogram di Pasar Borong Selangor semalam.


KUALA LUMPUR – Harga siling ayam masih belum dimansuhkan, namun penternak, pemborong serta para peniaga ternakan berkenaan nampaknya sudah tidak lagi mematuhi penetapan harga siling untuk ternakan itu.

Malah berdasarkan tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa pasar utama di seluruh negara mendapati, hampir semua peniaga menjual ayam pada harga melebihi harga siling iaitu RM6 seperti yang ditetapkan kerajaan.

Kini, rata-rata peniaga menjual ayam pada harga antara RM6.50 dan RM7 sekilogram dan lebih ‘menakutkan’ peniaga terbabit telah menguar-uarkan untuk menaikkan lagi harga ternakan itu minggu depan.

Ketika ini, harga pasaran ayam di ibu negara, Johor Bahru serta Kota Bharu ialah RM6.50 sekilogram manakala di Pulau Pinang antara RM6.80 dan RM7 manakala di Seremban sudah mencecah RM7 sekilogram.

Diramalkan, harga ayam pada minggu depan akan melebihi RM7 untuk setiap satu kilogram walaupun sudah ada bandar-bandar utama di Semenanjung yang sudah menjual pada harga itu.

Peniaga yang ditemui mendakwa mereka terpaksa menjual pada harga tinggi kerana pemborong menjualnya melepasi paras siling.

Ketika ini kebanyakan peniaga terpaksa mendapatkan bekalan daripada pemborong dengan harga RM5.90 hingga RM6.10 berbanding harga yang dibenarkan hanya RM5.40.

Pemborong pula menyalahkan penternak yang menaikkan harga ayam di ladang yang dibeli pada harga RM4.60 sedangkan harga siling yang ditetapkan ialah sebanyak RM4.

Menurut seorang peniaga di Pasar Borong Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Zairi, kenaikan harga ayam itu dikatakan akibat kenaikan harga minyak dan diesel.




“Sejak harga minyak naik pada 4 Jun lalu, peniaga sudah mula menaikkan harga ayam daripada RM5.50 kepada RM6.50 iaitu sekitar 70 sen hingga RM1.

“Namun harga itu dijangka akan meningkat kepada RM7 sekilogram minggu depan ekoran harga ayam dari ladang dinaikkan,” ujarnya.

Sementara itu, Perunding Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Dr. Abdul Rahman Md. Saleh menjelaskan, pihaknya terpaksa menjual pada harga RM4.60 bagi sekilogram ayam kepada pemborong ekoran kos penternakan yang semakin meningkat.

“Penternak kini semakin tertekan dengan keadaan semasa kerana kos yang terpaksa ditanggung oleh penternak ialah sebanyak RM4.53 sedangkan harga yang ditetapkan kerajaan ialah RM4.

Ketika ditanya mengenai harga ayam yang dijual melebihi harga siling Rahman menjelaskan, pemborong yang menetapkan harga dan bukannya penternak.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, Pengarah Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Hamidun A Jalil ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai tindakan peniaga ayam yang didapati menjual melebihi harga siling di pusat bandar ini.

“Kami memahami situasi peniaga yang tersepit selepas terpaksa membayar harga yang agak tinggi daripada pembekal.

“Bagaimanapun,kami menasihatkan peniaga ayam supaya mematuhi harga siling yang ditetapkan,” ujarnya.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 62