AKADEMI
Komuniti Islam Kemboja
Apakah pengalaman baru yang diperoleh oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menyelami kehidupan mereka?

DILAHIRKAN sebagai anak Malaysia dan hidup dalam suasana aman damai merupakan satu nikmat yang begitu membahagiakan. Apatah lagi pihak kerajaan sentiasa menyediakan keperluan rakyat.
Antaranya termasuklah soal pendidikan. Disebabkan itu, sebaik sahaja mencecah umur empat tahun, golongan ibu bapa disaran menghantar anak ke tadika sebagai persediaan melangkah ke sekolah rendah pada usia tujuh tahun.
Namun begitu, bukan semua negara mampu melakukan proses sedemikian. Faktor kemiskinan sentiasa menghalang masyarakat untuk mendapat pendidikan yang sempurna.
Inilah yang dihadapi oleh komuniti Islam di Kemboja. Sebagai golongan minoriti, kanak-kanak yang menghuni di kawasan pedalaman Kemboja seperti Kampung Krobay, Kampung Sway Ta -Hen, Kampung An Ton So, Kampung Ta Su dan Kampung Anko Ban terlalu dahagakan ilmu dan arus kemodenan.

Menyedari nasib yang dialami penduduk di sana, Unit Khidmat Masyarakat, Bahagian Pembangunan Pelajar dan 20 pelajar persatuan khidmat masyarakat CENSERVE, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mengambil inisiatif menganjurkan program kemanusiaan di Kemboja baru-baru ini.
Kumpulan ini membawa sedikit kelainan apabila pihak penganjur turut membawa tujuh pegawai tadbir dan dua daripadanya adalah doktor perubatan.
Program berkhatan yang dianjurkan ini melibatkan 174 kanak-kanak. Mereka dikhatankan oleh Dr. Dinon Mohd dan Prof. Dr. Ariff Othman serta dibantu pelajar perubatan. Program berkhatan itu berlangsung selama lima hari.

Menurut Ahmad Adlan Mohamed Khalidi, pengalaman menetap di Kemboja memberikan suatu pengalaman yang cukup istimewa.
Meskipun kemesraan bersama penduduk kampung terhalang kerana perbezaan bahasa, namun itu bukanlah halangan.
"Penduduk kampung tidak mahir berbahasa Melayu. Justeru, sebelum bertolak ke negara itu, kami cuba mempelajari bahasa harian mereka. Selainnya, kami menggunakan bahasa isyarat atau bahasa tubuh ketika berkomunikasi.
"Saya bersyukur kerana dapat mencapai misi program seperti melakukan aktiviti yang dirancang merangkumi aspek pendidikan, tugasan khas dan kajian setempat," ujar pelajar tahun empat jurusan Seni Reka dan Seni Gunaan itu.

Sebaik sahaja tiba di Kampung Dam Sbai di wilayah Battambang yang mengambil masa empat jam perjalanan dari Siem Reap, kumpulan pelajar bermalam di sebuah rumah penduduk, Ustaz Musa Sulaiman.
Rasa terharu dan gembira kerana tuan rumah memberi layanan yang baik. Malah, beliau banyak membantu memudahkan urusan komunikasi dan saluran bantuan kepada penduduk.
Sepanjang berada di sana, para pelajar menghidangkan pelbagai aktiviti seperti menghulurkan bantuan, mengajar, mengecat masjid, mengemas kawasan sekitar, melakukan aktiviti bermodul pendidikan serta permainan, bernasyid, olahraga dan melakukan aqiqah.
Sementara itu, pelajar tahun akhir jurusan Perbandingan Agam, Rozaidi Rusmin memberitahu, mereka berkesempatan menghantar bantuan ke kampung-kampung yang terlibat dan ada juga yang dihantar terus ke rumah dan masjid.
"Antara masjid yang terlibat ialah Kampung Taqwa, Muhammadi dan Cina. Bantuan seperti telekung, kain pelikat, minyak wangi, kopiah dan wang tunai diberikan kepada penduduk dengan dibantu juru bahasa dan ustaz di sana," tambahnya yang pernah menyertai khidmat masyarakat membantu Orang Asli dengan menganggotai kumpulan COMRADE.
Penduduk di Kemboja juga lebih gemar dan selesa tinggal di perkampungan air dengan membina rumah di atas bot.
Walaupun tinggal di atas bot, para penduduk masih berinteraksi bersama komuniti lain dalam membincangkan perihal agama dan urusan dapur. Terdapat sebuah bot yang dijadikan kedai untuk menjual barang elektrik, barang dapur dan sayur-sayuran.
Sekiranya ingin menonton televisyen, lazimnya mereka menggunakan generator.
Selain itu, penduduk bergantung hidup pada air sungai dan hujan bagi mendapatkan bekalan minuman. Kehidupan keluarga pula disara dengan pekerjaan menangkap ikan, mencandat sotong, berniaga kecil-kecilan seperti menjual air kotak, roti, buah-buahan, sayur-sayuran dan rokok.
"Kedaifan di sana juga telah menyebabkan kami mengalami sakit perut seperti cirit-birit dan terpaksa mandi menggunakan air sungai. Saya tidak menyesal sebaliknya insaf kerana menyedari betapa pentingnya air dan susahnya hidup tanpa bantuan teknologi," jelas Abdul Qadir Hairi Abu Hassan pelajar jurusan Teknologi Maklumat.
Di samping aktiviti bersama penduduk kampung, para pelajar turut mengumpul data penduduk dan peratusan penduduk miskin dan kaya di kawasan yang dilawati.
Begitu juga dengan Tasik Tonle Sap yang masyhur sebagai tasik terbesar di Asia Tenggara. Ternyata tasik tersebut menjadi tumpuan pelancong asing untuk menikmati hidangan makanan di restoran terapung.
Sebelum pulang, peserta juga meluangkan masa bertandang ke perkampungan air dan seterusnya memberi bantuan dalam bentuk wang tunai.

Program di Kemboja dirasmikan oleh Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIAM, Hamidon Abdul Hamid bersama pegawai kanan dan mufti di Kemboja. Program ini juga mendapat bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.




Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


