RENCANA UTAMA

Kenyir tumpuan pemancing

Kenyir tumpuan pemancing

Biasanya, pengusaha bot akan menyediakan umpan kepada pemancing seperti buah kelapa sawit untuk memancing ikan kelah, anak ikan untuk menaikkan ikan sebarau.




SIAPA yang tidak kenal dengan keindahan panorama di Tasik Kenyir, Terengganu? Ia menjadi tempat kunjungan ribuan pelancong dari dalam dan luar negara hanya untuk menyaksikan keajaiban alam flora dan faunanya.

Malah, sudah menjadi impian bagi setiap kaki pancing ikan air tawar yang menjadikan Tasik Kenyir sebagai satu daripada lokasi yang wajib dikunjungi untuk memburu spesies ikan yang dikategorikan sebagai ganas seperti toman, sebarau serta ikan kelah.

Turut menjadi impian pemancing ialah ikan-ikan sungai seperti lampam dan baung yang dikatakan mudah didapati di situ. Inilah impian 40 ahli Kelab Memancing Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang mengunjungi tasik tersebut baru-baru ini.


SUASANA damai Tasik Kenyir pada waktu pagi.


Setelah segala persiapan selesai dengan cepat hasil kerjasama daripada semua peserta, bas milik majlis tersebut bertolak dari ibu pejabatnya pada pukul 10 malam menuju ke Kuala Terengganu dan sampai di Tasik Kenyir pada kira-kira pukul 6 pagi.

Bagaimanapun, kami telah tersalah lokasi menyebabkan bas terpaksa menuju ke Stesen Janakuasa Sultan Mahmud yang mengambil masa tiga jam.

"Ramai dalam kalangan kami yang menyertai aktiviti ini adalah kakitangan baru dan masih belum mengenali di antara sama lain. Di harap, aktiviti seperti ini berjaya mencapai tujuannya," kata Ketua Unit Kebudayaan dan Keseniaan merangkap Pengerusi Kelab Memancing MPKj, Mohd Shahril Rapkah.


NASRUL NASIR berbangga dengan tangkapan ikan toman yang menggunakan gewang. Gambar kanan, IKAN sebarau, lampam dan anak toman yang berjaya dipancing.


Setibanya di stesen janakuasa tersebut, kami melihat beberapa buah bot yang dikenali sebagai boat house yang digunakan untuk membawa penumpang ke beberapa destinasi di Tasik Kenyir terutama ke kawasan taman negara.

Semua peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dengan empat buah bot. Boat house yang menempatkan seramai 15 orang penumpang itu turut dilengkapi dengan tempat tidur, bilik air, meja makan dan dapur serta kelengkapan untuk memasak.

Terdapat juga sebuah bot yang menyediakan kemudahan televisyen dan saluran Astro.


AHLI Kelab Memancing Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bergambar kenangan sebelum pulang.


Setelah sampai ke lokasi, umpan dipasang dan dilabuhkan ke dasar tasik. Sementara itu, beberapa peserta ditugaskan untuk menyediakan makanan.

Pada kebiasaannya, pengusaha bot akan menyediakan tiga jenis umpan kepada pemancing, antaranya buah kelapa sawit untuk memancing ikan kelah dan anak ikan untuk menaikkan ikan sebarau.

Di antara umpan yang dibawa sendiri oleh pemancing ialah cacing, cengkerik, dedak, perut ayam dan juga anak ikan keli. Semua umpan ini selalunya menggunakan kaedah pancing dasar dan kami perlu menunggu ikan meragut umpan tersebut.

Namun berbeza dengan penggunaan umpan hidup seperti anak ikan keli dan anak ikan. Umpan tersebut dibiarkan bergerak di dalam air supaya menarik perhatian ikan-ikan berstatus pemangsa iaitu toman.


SEORANG pemancing sedang menyiapkan peralatan memancing.


Namun terdapat satu lagi kaedah memancing yang masih dikira agak baru di negara ini iaitu menggunakan teknik casting iaitu memancing dengan membaling umpan tiruan yang juga dikenali sebagai gewang.

Teknik ini memerlukan seseorang pemancing berpengetahuan luas mengenai gewang. Mengapa? Setiap gewang yang terdapat di pasaran mempunyai kelainan dari segi warna, bentuk dan corak renangan di dalam air.

Penggunaan gewang perlu sesuai dengan keadaan air dan jenis ikan yang ingin ditangkap. Jika tersalah memilih gewang, terdapat kemungkinan peratusan untuk mendapat ikan yang dihajati sedikit.


ATAS: Selepas penat menanti pancing diragut ikan, masa mengisi perut dengan hidangan ringkas.


Apabila petang menjelang, suasana sekitar Tasik Kenyir begitu damai sekali. Tidak banyak ikan yang berjaya didaratkan sehinggalah waktu malam.

Ketika ini, tumpuan utama ialah untuk menangkap ikan baung dengan menggunakan umpan cacing dan cengkerik, namun usaha kami tidak membuahkan sebarang hasil sehinggalah menjelang pagi keesokan harinya.

Setelah hampir semalaman tidak tidur, penulis mengambil kesempatan untuk mandi. Bagaimanapun, ketika menjirus air ke badan, penulis terkejut kerana terasa air agak panas.

Rupa-rupanya, air tasik yang dipam masuk ke dalam bilik mandi akan melalui bahagian enjin terlebih dahulu menyebabkan air menjadi panas. Ia secara tidak langsung berfungsi sebagai pemanas air. Ini juga menyebabkan mandi pada waktu pagi adalah sesuatu yang sangat menyamankan.

Ketua kumpulan kami, Samsulbahrin Tajuddin, 44, yang juga dikenali sebagai Acoy Buntal merupakan seorang tukang masak yang handal.

Kumpulan yang bersama-sama dengan penulis di dalam bot ialah Zulkhairi Mohamed (Along), Azhar Mustamam (Toman), Mohd Shahrulnizam Hussin (Zam), Hafiz Hashim (Hafiz), Mohd Nasrul Nasir (Nas), S. Marianathan (Merah Mata)

Disebabkan hasil tidak seperti yang dijangkakan, penganjur mengambil keputusan untuk berpindah dari lokasi tersebut dengan harapan nasib kami akan berubah apabila berpindah ke lokasi baru.


RUMAH bot ini dapat menampung 15 penumpang dan dilengkapi ruang tidur, dapur, meja makan dan tandas.


Persetujuan yang dicapai membolehkan kami bergerak menuju ke Sungai Lasir di mana terdapat sebuah air terjun yang indah.

Aktiviti memancing diteruskan seperti biasa dan ketika itu, kami turut gembira apabila melihat ratusan ikan lampam muncul di permukaan apabila nasi dan dedak ditabur di atas air.

Pada malam terakhir, terdapat beberapa spesies ikan berjaya dinaikkan. Lebih mengejutkan apabila ketua kumpulan kami, Samsulbahrin berjaya mendaratkan seekor ikan buntal menyebabkan suasana di dalam bot menjadi kecoh dengan gelak ketawa ditambah dengan perasaan hairan kerana spesies tersebut cuma boleh didapati di laut sahaja.

Bagaimanapun, persoalan terjawab apabila salah seorang daripada peserta menjelaskan memang terdapat spesies ikan buntal sungai.

Keesokan harinya, kami bertolak pulang ke Stesen Janakuasa Sultan Mahmud dan sebagai penutup program tersebut, Timbalan Yang Dipertua MPKj, Abdullah Marjunid yang turut bersama sepanjang program, menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya menaikkan ikan terberat dan hadiah untuk kumpulan yang mendapat hasil terbanyak.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31